Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30/03/2015
MUKADIMAH - CINTA sejati atau bakal diperdaya? Itu persoalan yang bermain di fikiran apabila terjadi kes wanita berusia lebih 50-an ditipu suami warga asing yang jauh lebih muda daripada mereka.
MOHD. SOKRI HUSIN
Kes sebegini dahulunya terpencil dalam kalangan masyarakat namun kini semakin ramai golongan wanita berusia 50-an yang menjadi ‘mangsa cinta’ warga asing ini.
Ada antara wanita terbabit mengambil keputusan untuk berkahwin di luar negara seperti selatan Thailand dan perkahwinan itu pula tidak didaftarkan di negara ini.
Apabila terjadi kes seperti wang dilarikan suami atau digantung tidak bertali oleh suami yang pulang ke negara asal, wanita yang menjadi mangsa sukar untuk mendapat pembelaan yang wajar.
Dua minggu lalu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd. Faizal Razali turut mendedahkan ada kalangan warga asing yang memohon berkahwin itu berumur 20-an hingga awal 40-an dan pasport atau visa mereka hampir luput manakala kebanyakan wanita Malaysia yang menjadi pasangan mereka berumur 50-an.
Susulan itu, hasil tinjauan Utusan Malaysia di negeri bersempadanan selatan Thailand iaitu Kedah, Perlis dan Kelantan mendapati memang berlaku perlakuan tidak bertanggungjawab warga asing ini terhadap wanita tempatan. Ikuti luahan wanita terbabit akan untung rugi nasib mereka bersuamikan warga asing ini kepada wartawan SAFINA RAMLI, SHOLINA OSMAN, ZAAIN ZIN dan TUAN AIMUNI TUAN LAH baru-baru ini.
Pada masa sama, diselitkan nasihat dan panduan untuk mengelak insiden ini berulang daripada pejabat agama Islam tiga negeri berkenaan.
KANGAR 29 Mac - Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) cuma menerima 107 permohonan pasangan untuk mendaftar perkahwinan di negeri ini pada 2014 berbanding tahun sebelumnya melibatkan 105 pasangan.
Pengarahnya, Mohd. Sokri Husin berkata, kebanyakannya melibatkan pasangan lelaki dari negara ini yang berkahwin dengan wanita Thailand dan pasangan lelaki dan wanita daripada Malaysia yang menikah di Thailand.
“Setakat ini juga kami belum ada rekod warga asing yang masih muda yang didakwa mempergunakan wanita atau lelaki berusia dari negeri ini menggunakan alasan perkahwinan kerana pasport atau visa hampir luput,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini semalam.
Mohd. Sokri berkata, kebanyakan pasangan tersebut memilih untuk berkahwin di Thailand kerana ingin berpoligami dan tidak mendapat keizinan wali.
Katanya, rekod yang dicatatkan oleh JAIPs setiap tahun itu juga bukan melibatkan semua permohonan yang baru berkahwin di Thailand.
“Ada yang sudah lama berkahwin termasuk kes anak sudah mahu bersekolah atau kerana mahu membuat kad pengenalan, barulah pasangan itu datang untuk membuat permohonan pengesahan perkahwinan,” katanya.
Katanya, ada juga yang terus mengesahkan perkahwinan sebaik sahaja melangsungkan perkahwinan di Thailand.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya juga tidak mudah menerima sebarang permohonan berkahwin yang mana setiap permohonan perlu dilengkapi dengan sijil nikah yang diiktiraf daripada lima Majlis Agama Islam (MAI) iaitu Yala, Pattani, Songkla, Narathiwat dan Satun serta disahkan oleh Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Songkla.
“Jika semuanya lengkap, barulah pihak kami akan rujuk kes ini ke Mahkamah Syariah,” katanya.
Katanya, JAIPs akan mengeluarkan sijil pernikahan ke atas permohonan pasangan terbabit selepas mahkamah membuat keputusan meluluskan permohonan tersebut.
Beliau berkata, JAIPs sendiri sebenarnya memberikan kemudahan untuk umat Islam sama ada yang ingin berpoligami atau menghadapi masalah wali.
“Tapi masalahnya rakyat kita sanggup menyusahkan diri sendiri di mana bukan sahaja berhabis ribuan ringgit untuk membayar kos bernikah dan itu pun belum lagi kena mendapat pengesahan dan sebagainya di Thailand,” katanya.
Katanya, kebanyakan umat Islam yang ingin berpoligami masih takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga mengambil keputusan yang menyusahkan diri dan masa depan ahli keluarga.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan