Tarikh : 11/02/2015
Setahun tidak pulang ke rumah selepas berkahwin lagi
SUATU petang sedang saya sibuk menyiapkan satu tugasan, telefon berdering dan terdengar suara halus seorang wanita. Memperkenalkan namanya sebagai Rosenani (bukan nama sebenar), dia ingin berkongsi mengenai kisah rumah tangganya yang dirasakan terlalu berat untuk ditanggung sendiri.
Rosenani merupakan ibu kepada empat orang anak berumur di antara 23 tahun hingga 13 tahun. Dia bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta di Shah Alam.
Perkahwinannya dengan Amirul (bukan nama sebenar) bahagia hinggalah panas yang disangkanya hingga ke petang rupa-rupanya hujan di tengah hari.
Katanya, alangkah bagus jika rumah tangga yang telah mencapai usia 25 tahun itu tetap sama seperti baru-baru berkahwin dahulu. Sentiasa menyayangi, bercakap lembut, tidak bermasam muka dan selalu tersenyum.
Ironinya, dia dan suami sentiasa seperti apa yang disebutkan tadi sehingga dia tidak sedar bahawa suaminya itu juga sebenarnya sudah menjadi milik orang lain.
Cerita Rosenani, walaupun suaminya bukan berkelulusan universiti, disebabkan pengalaman yang dimiliki dalam bidang kejuruteraan, dia berjaya menjawat jawatan tinggi dan menerima gaji yang lumayan.
Dicampur dengan gaji Rosenani, mereka mampu menjalani kehidupan yang mewah. Mereka menyewa sebuah kondominium mewah di Subang Jaya, selepas menjual rumah yang dibeli kerana menurut suami rumah tersebut kecil dan tidak selesa bagi mereka.
Baik dia dan suaminya masing-masing memiliki kereta mewah. Anak yang sulung telah bekerja, anak kedua menuntut di kolej, sementara anak ketiga dan keempat bersekolah di sekolah swasta.
Katanya, Amirul sering juga dihantar bertugas ke luar negara terutama di negara-negara Arab, kadang-kadang sampai sebulan.
Rosenani tidak kisah dan memahami tugas suaminya, malah dia tidak pernah menaruh syak wasangka atau cuba menyoal apa yang dilakukan oleh suaminya di sana.
Jika tidak ke luar negara, ujarnya lagi, suaminya akan pergi bekerja seperti biasa. Kadang-kadang suaminya akan balik lewat kerana melawat tapak projek dan sebagainya.
Namun apa yang penting ialah dia mempercayai suaminya seratus peratus.
“Hinggalah satu hari seorang wanita menelefon saya memberitahu dia telah berkahwin dengan Amirul. Katanya, mereka sudah tiga bulan bernikah di sebuah negeri di Pantai Timur. Tujuan dia memberitahu saya supaya Amirul melaksanakan tanggungjawabnya secara bergilir-gilir.
“Selepas itu, lama saya berfikir sama ada betul atau tidak wanita yang menelefon saya itu isteri kedua Amirul. Sedih ada, marah pun ada tetapi saya harus bertanyakan Amirul dahulu.
“Malam itu setelah Amirul makan dan berehat, saya bertanya kepadanya mengenai perkara tersebut. Betul atau tidak dia telah berkahwin lain. Mulanya dia mendiamkan diri namun setelah didesak, dia mengaku. Saya terkejut dan sedih bukan kepalang. Katanya, walaupun sudah berkahwin lagi dia tetap sayangkan saya.
“Saya tidak sedar saya mengamuk. Malam itu Amirul keluar rumah. Setelah fikiran saya tenang, saya menelefon dan bertanya dia di mana. Katanya dia di rumah isteri keduanya (Hana). Dia memberitahu dia akan pulang kemudian.
“Bagaimanapun dua minggu dia tidak pulang. Saya menelefon Hana dan dia pula marah-marah dengan saya seolah-olah saya pula yang merampas suaminya. Selidik punya selidik, saya dapat tahu tempat tinggal mereka. Saya pergi ke sana dan dapat berjumpa dengan suami saya tetapi Hana memarahi saya dan menghalau saya balik.
“Daripada apa yang saya tahu, pernikahan mereka tidak sah dan bernikah secara sindiket. Saya cuba juga memujuk Amirul tetapi dia tetap tidak mahu pulang ke rumah. Perkara ini berlanjutan sudah setahun.
“Wang perbelanjaan untuk membayar sewa rumah, kereta, sekolah anak-anak dan bil-bil langsung tidak diberi. Anak sulung saya banyak membantu tetapi sampai bila kerana dia juga perlu menyimpan wang untuk masa depannya.
“Oleh kerana sudah tiga bulan tunggakan rumah, kereta dan sebagainya, saya berbincang dengan anak-anak untuk berpindah ke rumah lain.
“Anak-anak bersetuju. Bagaimanapun sementara hendak mendapatkan rumah lain, saya hantar anak-anak ke kampung dan tinggal bersama ibu saya. Selama beberapa bulan saya terpaksa berulang-alik dari kampung ke tempat kerja.
“Hari-hari anak bongsu saya menangis mahu mengikut kerana tidak mahu tinggal di kampung tetapi saya minta dia bersabar. Dalam pada itu, saya menukarkan sekolah anak-anak saya ke sekolah biasa kerana tidak mampu. Mulanya anak-anak keberatan namun setelah dipujuk mereka bersetuju,” kata Rosenani.
Sambungnya, bagi menuntut keadilan, dia telah melaporkan mengenai pernikahan Amirul ke Pejabat Agama. Kes ini masih dibicarakan sehingga ke hari ini.
Walaupun Rosenani sudah puas memujuk Amirul supaya kembali kepadanya dan anak-anak, suaminya itu hanya mendiamkan diri. Dia tidak berkata apa-apa dan berlalu pergi.
Kata Rosenani, Amirul ada juga datang berjumpa anak-anaknya dan nampak kasih kepada mereka tetapi tidak mahu kembali sebagai sebuah keluarga sama seperti dahulu.
“Saya masih menunggu kepulangannya supaya kami dapat bersama semula. Pada ketika ini, perbicaraan kes masih belum selesai. Saya dan anak-anak pula kini menyewa sebuah rumah teres di Shah Alam dan menjalani kehidupan secara sederhana,” ujar Rosenani sambil mengucapkan terima kasih kerana bersedia mendengar ceritanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan