Jumaat, 25 Oktober 2013

Memahami hak selepas bercerai

Oleh : Ahmad Nazib Johari
Kolum : Peguam Syarie Menulis
Sumber : Berita Harian
Tarikh : xx xx 2007

ZAKI (bukan nama sebenar) sudah menceraikan isterinya Linda (bukan nama sebenar) di rumahnya dengan talak satu dan pengesahan perceraian dibuat di mahkamah syariah.

Mereka berkahwin selama 15 tahun dan mempunyai tiga anak. Pasangan itu mempunyai dua kereta dan tiga rumah. Satu daripada rumah itu atas nama Zaki menggunakan pinjaman perumahannya sebagai kakitangan kerajaan.

Dua rumah lagi menggunakan nama Zaki dan Linda. Zaki ingin menjual rumah yang menggunakan namanya seorang dan meletakkan dua rumah lagi sebagai harta sepencarian.

Apakah tindakan Zaki menjual rumah itu dibenarkan menurut pandangan agama dan undang-undang? Apa pula hak Linda jika Zaki ingin menjual rumah itu?

Hak selepas perceraian adalah mendapatkan harta sepencarian bagi suami atau isteri, hak hadhanah atau jagaan ke atas anak, mutaah dan nafkah dalam edah bagi isteri.

Semua ini hak yang boleh dituntut di mahkamah syariah selepas berlakunya perceraian dan dibuat di mahkamah syariah yang berbidang kuasa kepada pemohon. Jika Zaki dan Linda bermastautin di Shah Alam, maka Mahkamah Syariah Shah Alam adalah mahkamah yang mempunyai bidang kuasa ke atas mereka.

Mengikut sudut undang-undang, semua aset yang diperoleh selepas pasangan berkahwin, atau diperoleh sebelum berkahwin tetapi dihidupkan atau disuburkan selepas pasangan berkahwin, dipanggil harta sepencarian.

Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 mentakrifkan harta sepencarian sebagai harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat ditentukan hukum syarak.

Apabila Zaki dan Linda bercerai, maka kedudukan harta yang ada mesti dikenal pasti sebagai harta sepencarian atau tidak. Maksudnya, ada sumbangan kedua-dua pihak walaupun hanya nama Zaki didaftarkan atas rumah menggunakan pinjaman perumahan beliau.



Jika rumah yang ingin dijual jelas termasuk dalam harta sepencarian, maka tindakan Zaki tidak tepat menurut kaca mata agama dan undang-undang.

Apabila harta itu termasuk dalam harta sepencarian, salah satu pasangan boleh membuat tuntutan harta sepencarian di mahkamah tinggi syariah kerana kes berkaitan harta sepencarian mengikut bidang kuasa mahkamah itu.

Mengikut Arahan Amalan Mahkamah Syariah Malaysia No 2 Tahun 2002 iaitu, “Mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung kes membaitkan tuntutan hadhanah, harta sepencarian tak alih dan permohonan injunksi secara sebelah pihak (ex-parte) hendaklah dimulakan prosiding di mahkamah tinggi syariah.”

Dalam kes ini, apabila Zaki ingin menjual rumah atas namanya sebelum diputuskan takat sumbangan antara pasangan itu, atau dalam tempoh perbicaraan berkaitan tuntutan harta sepencarian berjalan, Linda boleh mengambil tindakan undang-undang menghalang bekas suaminya daripada menjual rumah berkenaan.

Linda boleh menuntut perintah tegahan untuk lupuskan harta sepencarian seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 106 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Berdasarkan seksyen itu, mahkamah boleh di atas permohonan Linda (isteri yang memohon), bahawa apa-apa perpindahan harta yang dilakukan suami dalam masa tiga tahun sebelumnya bagi tujuan untuk mengurangkan kemampuan membayar nafkah atau menghalangi isteri daripada hak berhubung harta itu untuk menghendaki orang yang membuat perpindahan itu membatalkan perpindahan harta berkenaan dan memberikan suatu tegahan menahan perpindahan itu.

Bagaimanapun, jika rumah itu dijual sebelum sempat Linda mengemukakan permohonan tegahan, usaha masih boleh diteruskan.

Apabila isteri berjaya membuktikan kepada mahkamah rumah itu sumbangan mereka berdua, mahkamah boleh memerintahkan bekas suami membayar jumlah jualan rumah mengikut bahagian isteri seperti diputuskan mahkamah.

Selain itu, Seksyen 199(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan mana-mana permohonan dalam suatu perkara, mahkamah boleh membuat sesuatu perintah bagi penahanan, penjagaan atau pemeliharaan mana-mana harta yang menjadi hal yang dalam milikan suatu pihak dalam perkara itu.

Berdasarkan peruntukan itu, mahkamah juga akan memberikan suatu perintah penahanan harta berdasarkan perintah interim (sementara) sekiranya pihak bertikai dalam milikan harta berkenaan.

Permohonan tegahan atau penahanan boleh dibuat melalui permohonan ex-parte. Permohonan ini hendaklah dibuat di mahkamah tinggi syariah iaitu apabila tuntutan harta sepencarian dipohon.

Permohonan injunksi akan dilakukan dalam kamar dan hanya dihadiri pihak bertikai bersama peguam di hadapan hakim. Dalam permohonan itu, isteri juga hendaklah menyatakan sebab munasabah memohon injunksi. Prosiding mendapatkan injunksi tidak mengambil masa lama.

Selepas Linda berjaya mendapat perintah injunksi, maka perintah itu perlu diserahkan kepada Zaki bagi memaklumkan beliau ditegah menjual atau melupuskan harta berkenaan.

Jika Zaki gagal mematuhi perintah itu, tindakan menghina mahkamah boleh diambil terhadap beliau kerana mengingkari perintah mahkamah.

Perintah injunksi berkuat kuasa 30 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan melainkan satu permohonan melanjutkan tempoh kuat kuasa perintah dibuat dan ia mesti dilakukan dalam masa 30 hari selepas perintah dikeluarkan.

Setiap pasangan perlu ikhlas dan tidak menafikan hak pasangan lain dalam harta yang diperoleh serta membahagikan hak menurut takat sumbangan yang berhak apabila berlaku perceraian.

Apabila ada pertikaian, maka mahkamah adalah tempat terakhir untuk mencari penyelesaian. Sememangnya terdapat peruntukan undang-undang bagi membantu salah satu pihak yang teraniaya dalam pertikaian atau perebutan harta sepencarian.

Tetapi oleh kerana ia membabitkan prosedur teknikal, orang awam sukar untuk memahaminya. Oleh itu, banyak kes pertikaian harta sepencarian dan pertikaian lain menggunakan khidmat peguam syarie bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan permasalahan berlaku kelak.



Penulis ialah Penolong Setiausaha Agung, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar, sila kirimkan ke alamat admin@pgsm.org.my

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman