Isnin, 30 Jun 2014

Kes Pukul: Suami Dibebaskan Mahkamah Selepas Isteri Beri Kemaafan

Sumber : MStar
Diterbitkan: Isnin, 30 Jun 2014

KOTA BAHARU: Demi kasih kepada anak-anak, seorang wanita sanggup memaafkan suami yang memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian mata pada bulan lepas.

Tindakan Aaina Azura Rosli, 30, menyebabkan Majistret Nik Habri Muhamad membuat keputusan untuk melepas serta membebaskan Mohd Zailani Kari, 30, daripada pertuduhan selepas tertuduh membayar kompaun RM100 kepada isterinya.

Mohd Zailani, yang bekerja sendiri, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Aaina Azura di rumah mereka di Kampung Alor Mas di sini pada 7 pagi 25 Mei lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Dia turut didakwa mengancam untuk mencederakan isterinya di tempat dan waktu sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan ini, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan memerintahkan tertuduh membayar pampasan sebanyak RM2,000 kepada mangsa.

Jika gagal, tertuduh berdepan hukuman penjara selama lapan bulan.

Mohd Zailani kemudian membayar kompaun, denda dan pampasan berkenaan di depan Nik Habri.

Aaina Azura, yang ditemui pemberita selepas itu, berkata dia memaafkan suaminya demi keluarga.

"Ini demi anak-anak. Kami berkahwin sudah 10 tahun dan ada enam orang anak berusia antara empat bulan hingga 10 tahun," katanya.

Pendakwaan dikendali Pegawai Pendakwa ASP Saiful Nizam Mislah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jumaat, 27 Jun 2014

Pernikahan Sham Kamikaze Tak Sah - Mahkamah

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI
Sumber : Mstar Online
Tarikh : 27 Jun 2014

RAWANG: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada Jumaat memutuskan, pernikahan di antara bekas gitaris kumpulan Kamikaze iaitu Sham dan Nurul Halimin Mohd Salleh pada 16 Januari 2012 adalah tidak sah.

Hakim Syarie, Kamarulzaman Ali memerintahkan perkahwinan itu dibubarkan serta merta secara faraq nikah mulai hari ini.

Faraq nikah ialah pembubaran sesebuah perkahwinan tanpa jatuh talak. Permohonan berkenaan dibuat sekiranya pasangan suami isteri itu ragu terhadap status perkahwinan mereka.

Kamarulzaman memutuskan, wali hakim yang digunakan pada pernikahan yang diadakan di Masjid Ibu, Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang itu tidak dilantik dengan kebenaran mahkamah.

Selain itu, segala urusan pernikahan yang dibuat oleh pihak ketiga juga tidak diiktiraf dan sijil pernikahan mereka adalah palsu.

Bagaimanapun, Kamarulzaman memutuskan anak lelaki mereka iaitu Aisy Danial yang dilahirkan pada 21 Januari lalu adalah anak sah taraf dan Sham atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 38, boleh dinasabkan sebagai bapa kandung.

Sementara itu, Sham ketika ditemui selepas prosiding selesai memberitahu, dia mendapat tahu wali hakim yang digunakan tidak diiktiraf semasa ingin mendaftarkan nama anak mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Januari lalu.

Sham berkata, dia tidak menyangka pernikahan itu mempunyai masalah dan segera merujuk kepada mahkamah bagi mendapatkan kepastian.

"Alhamdulillah semuanya selesai dan apa yang saya lakukan adalah demi melindungi keluarga saya.

"Ia bukan sahaja mengenai taraf anak tetapi juga hak isteri saya di masa hadapan sekiranya sesuatu berlaku kepada saya.

"Ada hikmah disebalik apa yang berlaku dan saya banyak belajar menerusi kejadian ini," jelasnya.

Tambah Sham, dia dan Nurul Halimin akan bernikah semula dalam masa terdekat dengan menggunakan saluran yang betul.

Sham sebelum ini pernah berkahwin dengan Farazila Abdul Jabar pada 17 Ogos 2008 di kampung halaman Farazila di Batu Pahat, Johor sebelum disahkan bercerai oleh mahkamah pada 1 September 2011.

Selasa, 17 Jun 2014

Tuntutan Hak Penjagaan Anak Nurul Izzah Didengar 27 Ogos

Sumber : MStar
Diterbitkan: Selasa, 17 Jun 2014

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa menetapkan 27 Ogos ini untuk pendengaran permohonan hak penjagaan anak yang dikemukakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim mencabar permohonan Nurul Izzah berhubung hak penjagaan dua orang anak mereka.

Raja Ahmad Shahrir Iskandar diwakili peguam Azmi Mohd Rais.

"Saya dilantik oleh defendan untuk mencabar tuntutan plantif. Kami akan mengemukakan hujah bantahan pada 27 Ogos ini," kata Azmi.

Kes itu disebut dihadapan Hakim Syarie, Amran Mat Zain.

Nurul Izzah memfailkan petisyen penceraian terhadap suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar, 35, di Mahkamah Rendah Syariah pada Disember tahun lalu dibawah Seksyen 47(5) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Raja Ahmad Shahrir Iskandar difahamkan menerima petisyen fasakh pada 16 Januari tahun ini.

Pasangan tersebut yang berkahwin pada 9 Mei 2003 dikurniakan dua orang anak berusia tujuh dan empat tahun.

Ahad, 15 Jun 2014

Proses bicara mahkamah syariah ibarat merebut Piala Dunia

Oleh : Tuan Musa Awang
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 16/06/2010

Pihak buat tuntutan perlu ambil inisiatif, bijak rangka strategi raih keadilan, kejayaan


PUSINGAN akhir Piala Dunia 2010 siri ke-19 bermula 11 Jun lalu dan akan berakhir pada 11 Julai nanti. Sebanyak 32 pasukan bertarung bagi merebut piala terulung dalam sejarah bola sepak dunia. Pelbagai strategi diatur, latihan berterusan dan khidmat jurulatih profesional diambil bertujuan meraih kemenangan berprestij itu.

Setakat ini beberapa pasukan sudah bermain pada peringkat awal. Ada pasukan yang menang, seri dan kalah. Anda tentu sudah dapat menjangka pasukan mana yang akan bertemu pada peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Saya bukan hendak bercerita mengenai bola sepak, tetapi saya cuba mengaitkan realiti bola sepak piala dunia dengan apa yang berlaku di Mahkamah Syariah dewasa ini.

Orang yang datang ke Mahkamah Syariah terdiri pelbagai golongan, daripada orang kampung sehinggalah gololongan cerdik pandai. Terma dan prosedur digunakan di mahkamah adalah terma undang-undang yang asing bagi mereka yang bukan profesional dalam bidang perundangan.

Ada juga yang datang ke Mahkamah Syariah hendak meminta pertolongan, sedangkan umum tahu bahawa mahkamah adalah tempat pengadilan bukan tempat bantuan. Pihak yang memohon kepada mahkamah perlu tahu apa yang ingin dipohon.

Mereka bukan saja sekadar tahu bercakap, malah perlu tahu apa yang dicakapkan. Mereka perlu mengambil inisiatif sendiri untuk berjaya dalam tuntutan mereka.

Khamis, 12 Jun 2014

Mahkamah Syariah Putuskan Teoh Bukan Islam Ketika Meninggal Dunia

Oleh: CAVINA LIM editor@mstar.com.my
Sumber : MStar
Diterbitkan: Khamis, 12 Jun 2014

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan bahawa Teoh Cheng Cheng yang didakwa sebagai mualaf bukan beragama Islam ketika wanita itu meninggal dunia.

Hakim Zaim Md Yudin dalam penghakimannya pada Khamis memerintahkan pihak yang pada masa ini menyimpan mayat Teoh supaya menyerahkannya kepada keluarga mendiang.

Hakim turut memerintahkan supaya pihak polis membantu dalam perkara itu.

Beliau turut membenarkan keluarga Teoh untuk menuntut mayatnya dan melakukan upacara pengebumian mengikut kepercayaan keagamaan mereka.

Teoh, 38, ibu kepada empat anak, meninggal dunia di apartmentnya di Jalan Macallum pada Sabtu lalu.

Pada Isnin, upacara pengebumian Teoh dikejutkan dengan kehadiran para pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) di sebuah apartment di Jalan Macallum untuk "menuntut" mayat berkenaan.

Teoh didakwa memeluk agama Islam 17 tahun lalu, yang mempunyai nama Islam, Nora Teoh Abdullah.

Sabtu, 7 Jun 2014

Talaq Bukan Hak Mutlak Suami

Oleh : Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Sumber : Berita Harian - Hak Muslim
Tarikh : xx/xx/2010

Isteri berhak tuntut cerai jika hubungan tidak boleh diperbaiki

Matlamat perkahwinan ialah untuk hidup dalam kasih sayang dan rahmat (mawaddah wa rahmah) yang berterusan antara pasangan suami isteri. Tetapi, kadang-kala rumah tangga tidak dihiasi dengan kasih sayang dan tidak mendapat rahmat Allah SWT kerana satu pihak atau kedua-duanya tidak mengikut adab serta hukum hakam dalam perkahwinan atau tidak melaksanakan tanggungjawab yang dituntut syarak.

Kerenggangan dan kegagalan pasangan itu sedikit demi sedikit akan melebar hingga tidak dapat diperbaiki sekali gus, menghancurkan keharmonian rumah tangga. Sebagai jalan penyelesaian, Islam memberikan jalan keluar iaitu talak atau perceraian.

Rabu, 4 Jun 2014

Nafkah zahir hak mutlak isteri

Oleh : DR. TENGKU NAUFAL TENGKU MANSOR
Peguam Syarie Wilayah Persekutuan
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 16/02/2011

RAMAI lelaki tidak menyedari bahawa antara tanggungjawab terpenting mereka sebagai suami adalah untuk menanggung dan memberi nafkah zahir. Ia dalam bentuk wang ringgit secara bulanan kepada isteri bagi memastikan segala keperluan rumah tangga cukup dan selesa mengikut kemampuan.

Namun senario yang berlaku kepada Puan J , sering kali berlaku sejak kebelakangan ini. Terdapat banyak aduan di pejabat-pejabat agama negeri mahupun di Mahkamah Syariah berkenaan perlakuan suami yang secara sedar atau tidak enggan, ingkar atau lalai dalam menjalankan tanggungjawab menyediakan nafkah.

Suami perlu akur bahawa hak isteri untuk mendapatkan nafkah zahir dalam bentuk wang ringgit adalah hak mutlak mereka.

Jika suami ingkar terdapat peruntukan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (WP) 1984 dan Akta Membaharui Perkahwinan & Perceraian 1976 yang membolehkan pihak Mahkamah Syariah mahupun Sivil (dalam kes bukan Islam) untuk campur tangan dan mengeluarkan perintah sewajarnya bagi memaksa suami menunaikan tanggungjawab tersebut.

Isnin, 2 Jun 2014

Keadilan untuk semua isteri

Oleh : Siti Shamsiah bt. Mohd. Supi
Pegawai Penyelidik
Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik IKIM
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 23/09/2005

Satu hakikat yang harus diterima ialah poligami tidak akan terlaksana tanpa penyertaan sekurang-kurangnya dua orang wanita. Tanpa mengira status wanita itu sebagai isteri pertama, kedua, ketiga mahupun bongsu kepincangan pasti akan berlaku dalam rumah tangga sekiranya satu pihak, kedua-dua belah pihak ataupun kesemua pihak bertindak tanpa mengikut lunas-lunas syarak.

Lazim juga kita mendengar rintihan isteri pertama yang berendam air mata menangisi tingkah laku suami yang tidak menghargai sikap toleransi yang diberikan dan lebih malang lagi apabila keadaan ini diambil kesempatan oleh isteri yang baru. Kita juga tentunya pernah mendengar atau berdepan dengan senario campur tangan pihak-pihak lain terhadap keluarga yang berpoligami. Seorang ibu mendesak anak perempuannya untuk memujuk bakal suami agar menceraikan isteri yang sedia ada supaya si anak tidak berkongsi kasih, tanpa memikirkan bahawa isteri yang sedia ada mempunyai hak untuk meneruskan kehidupannya sebagai isteri kepada lelaki yang terlibat.

Ada kes di mana suami yang mempunyai lebih seorang isteri telah melakukan tindakan nekad untuk membunuh diri kerana tidak dapat membendung perasaan kecewa terhadap isteri-isterinya yang sentiasa berkelahi.

Ahad, 1 Jun 2014

Kakak angkat dilayan suami seperti hamba seks

Oleh : Nurhidayah Muhd Hashim
Sumber : Berita Harian - Hak Muslim
Tarikh : xx/10/2007

SAYA ingin bertanya mengenai masalah kakak angkat yang mengalami krisis rumah tangga serius. Saya mengenali kakak angkat ini kira-kira dua tahun dan sekarang saya menjadi tempat untuknya meluahkan segala masalah dihadapi dengan suaminya yang tidak bertanggungjawab. Mereka sudah berkahwin 10 tahun dan mempunyai tiga anak. Apa yang menyedihkan ialah pasangan ini selalu bergaduh dan setiap kali bergaduh, suami akan meniduri dan melayannya seperti hamba seks iaitu tanpa kerelaan isteri. Suaminya mengatakan bahawa cara untuk menahan isteri supaya tidak memohon cerai adalah apabila isterinya mengandung dan mempunyai anak kecil. Kakak angkat saya juga dipukul dan setiap kali berlaku perkara itu, abang angkat saya akan memberitahu anak bahawa ibunya seorang yang tidak baik dan mendapat hukuman kerana kesalahan dibuat. Kadang-kadang suami tidak memberi duit belanja dapur kecuali selepas mendera dan kemudian meniduri isterinya. Saya sangat simpati mendengar masalah kakak angkat saya. Beliau sangat tertekan dan mungkin boleh menyebabkan melakukan pelbagai perkara tidak sepatutnya. Apakah yang wajar dia lakukan untuk menyelamatkan diri dan haknya. Untuk pengetahuan tuan, kakak angkat saya adalah suri rumah dan tidak berani memberitahu keluarga masalah dihadapinya. Semoga mendapat penjelasan tuan.

Adik angkat lelaki
Selangor

Kami bersimpati dengan apa yang kakak angkat saudara lalui. Semoga beliau dapat bersabar dan tabahkan hati mengharungi ujian ini. Namun begitu, selain bersabar, beliau perlu berusaha kerana Allah tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan orang itu berusaha mengubahnya.

Secara umumnya, perkahwinan adalah gabungan dua insan untuk bersama-sama melalui hidup dengan aman dan saling lengkap melengkapi. Objektif perkahwinan itu sendiri dalam Islam jelas, iaitu sebagai tempat mencari ketenangan dan kebahagiaan di samping menjadi jalan mendapat zuriat yang halal dan salih.

Dengan itu, apabila sesuatu perkahwinan gagal menjadi taman syurga, gagal mencapai objektif perkahwinan, bahkan menimbulkan banyak mudarat kepada pasangan seperti teraniaya, terhina, tidak bahagia, terseksa sama ada secara fizikal atau mental, maka secara dasarnya pihak yang teraniaya berhak untuk keluar daripada ikatan rumah tangga itu.

Dalam kes kakak angkat saudara, kami menasihatkan supaya beliau tidak berdiam diri tetapi mengambil tindakan berdasar beberapa pendekatan.

Pertama, kakak angkat saudara perlu berusaha dengan segera mencari jalan untuk meminta ibu, ayah atau mana-mana ustaz disegani suami untuk campur tangan dengan memberi nasihat kepada beliau supaya mengubah tindakannya melayan isteri sebegitu.

Islam tidak pernah menyuruh seseorang suami memukul sesuka hati, bahkan Rasulullah SAW sebagai teladan kepada semua orang Islam pernah menyebut, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling lembut dengan isterinya dan aku adalah yang terbaik antara kamu.”

Abang angkat saudara sangat tersasar apabila melayan, memukul dan kemudian melakukan penderaan fizikal dan seksual kepada isterinya. Apatah lagi mengatakan dia mendidik isterinya begitu di hadapan anak.

Dia bukan saja membawa mudarat kepada isteri, tetapi juga mudarat kepada psikologi dan jiwa anaknya yang menjadi penonton kepada drama penderaan tidak benar itu. Mana tahu, kemungkinan nasihat orang yang disegani boleh membuahkan hasil dan menyebabkan suami itu bertaubat.
Kedua, jika usaha menasihati beliau gagal dan kakak angkat terus teraniaya secara mental dan fizikal, maka Islam memang membenarkan perceraian. Dalam kes sebegini, kebajikan pihak teraniaya adalah satu keutamaan dan kaedah fiqah ada menyebut bahawa ‘kemudaratan hendaklah dihilangkan’.

Jika kakak angkat saudara mempunyai keberanian berbincang dengan suaminya, maka usahakan mendapat perceraian secara baik. Jika tidak, mungkin pihak ketiga disegani tadi memberi nasihat kepada suami untuk bercerai secara baik.

Bercerai secara baik seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (EUKIS 2003) merujuk kepada perceraian dengan persetujuan suami isteri dan suami melafazkan talak di mahkamah dengan kebenaran.

Kakak angkat saudara tidak boleh menyimpan keruntuhan rumah tangga daripada pengetahuan ibu bapa dan saudara terdekat. Dia perlu memberitahu ibu bapa dan keluarga masalah dihadapi kerana sokongan moral daripada ibu bapa dan saudara terdekat sangat perlu dalam kes sebegini.

Dengan sokongan moral itu, beliau akan lebih tabah dan bersedia menghadapi apa saja kemungkinan.

Jika suaminya enggan bercerai secara baik, maka beliau boleh mengambil tindakan memohon perceraian fasakh di Mahkamah Syariah di mana beliau bermastautin mengikut Seksyen 53 Enakmen sama.

Mengikut seksyen berkenaan, memang diperuntukkan bahawa mana-mana pihak boleh menuntut fasakh atas satu atau lebih alasan yang dinyatakan.

Antara alasan dibenarkan adalah pasangan lazim menyakiti dan melakukan penderaan. Apa yang kakak angkat saudara lalui termasuk dalam peruntukan ini iaitu penderaan secara fizikal dan mental.

Kami juga ingin menasihatkan supaya saudara dapat memperkenalkan kakak angkat kepada kaunselor atau ustazah. Saudara sebenarnya bukan pihak yang paling tepat untuk mendengar kisah kakak angkat kerana saudara tiada hubungan darah dengan beliau.

Banyak kes yang kita temui di mana mangsa yang bercerita dan meluahkan masalah rumah tangga kepada lain jantina, berakhir dengan perkara negatif iaitu bercinta pula dengan orang yang mendengar masalah mereka. Kami harap saudara dapat mengambil tindakan selayaknya supaya perkara sebegini boleh dielakkan.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Sebarang soalan boleh dikirim kepada exco_pgsm@yahoo.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman