Jumaat, 18 Oktober 2013

Pernyataan hasrat rujuk guna SMS tidak sah

Oleh : Mohamad Isa Abd Ralib
Kolum : Hak Muslim
Sumber : Berita Harian
Tarikh : xx 20xx

Hak Muslim: Pernyataan hasrat rujuk guna SMS tidak sah

SAYA bercerai dengan isteri dan disahkan oleh mahkamah atas permohonan isteri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah sah rujuk seorang suami kepada isterinya yang dilakukan secara SMS kepada isteri. Saya menghantar mesej itu, saya memang mempunyai niat untuk rujuk semula bersama isteri. Ayat saya adalah ‘saya rujuk semula dengan kamu’. Tetapi isteri membalas dengan ayat, ‘Saya tak nak walau apapun’. Jarak saya dan isteri ketika itu 180 km, dan kami tidak lagi tinggal bersama sejak SMS berkenaan dihantar kerana isteri enggan rujuk semula. Apakah rujuk saya itu dianggap sah?

SUAMI
Sepang


RUJUK adalah hak suami dalam perceraian talak rajie selagi isterinya masih dalam idah. Ia adalah suatu penerusan kepada perkahwinan sedia ada yang dibuat oleh suami menggunakan lafaz tertentu tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru. Dari sudut kesahannya, rujuk tidak memerlukan lafaz penerimaan daripada isteri. Bahkan ia sah walaupun tanpa pengetahuan dan persetujuan isteri, asalkan menepati syarat rujuk yang diperlukan.



Isteri yang diceraikan tidak boleh merujuk suami yang menceraikannya walaupun isteri itu masih suka kepada suaminya. Sebaliknya suami boleh merujuk isteri yang diceraikan walaupun isteri itu tidak lagi suka kepada suaminya.

Menurut jumhur ulama, ada tiga rukun utama rujuk iaitu suami, isteri dan sighah (lafaz). Kewujudan saksi hanya disunatkan.

Rukun pertama, suami hendaklah seorang yang baligh. Tidak sah rujuk bagi suami yang belum baligh. Suami hendaklah seorang berakal dan tidak sah rujuk sekiranya suami dalam keadaan gila. Suami merujuk isteri hendaklah dengan sukarela. Tidak sah rujuk jika suami dipaksa dan ketika rujuk, suami hendaklah kekal dalam Islam.

Rukun kedua, isteri hendaklah disetubuhi sebelum berlaku perceraian. Tidak boleh merujuk isteri yang diceraikan sebelum disetubuhi kerana isteri seperti itu tidak mempunyai idah. Isteri yang dirujuk itu mesti ditentukan secara khusus.

Jika suami menceraikan beberapa isterinya kemudian ia rujuk salah seorang daripada mereka dengan tidak ditentukan siapa yang dirujuknya, maka rujuknya tidak sah. Isteri diceraikan dengan talak rajie. Jika ditalak dengan talak bain, maka tidak sah rujuk. Rujuk juga hanya boleh berlaku ketika isteri dalam tempoh idah. Tidak sah rujuk selepas terbukti tamatnya idah isteri atau isteri berkenaan murtad ketika dirujuk.

Rukun ketiga, sighah (lafaz) hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan dituju kepada isteri seperti ‘engkau’ atau ‘nama isteri itu’ atau dengan isyarat tunjuk kepada isteri. Sighah itu pula tidak boleh digantungkan (ditaklikkan) dengan sesuatu.

Contohnya suami berkata: “Abang rujuk awak jika awak suka.” Atau: “Abang kembali kepada awak jika emak awak datang.” Rujuk yang digantungkan atau ditaklikkan dengan sesuatu syarat seperti contoh di atas adalah tidak sah.

Jenis lafaz rujuk terbahagi kepada dua iaitu lafaz sareh (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran/simbolik). Contoh lafaz sareh seperti kata suami “Abang rujuk kembali kepada kamu”. Lafaz seperti ini adalah sah dan tidak memerlukan niat. Manakala lafaz kinayah menggunakan bahasa sindiran atau kiasan yang membawa maksud untuk rujuk seperti kata suami “Abang pegang awak”. “Awak masih isteri abang” jika menggunakan lafaz kinayah maka disyaratkan agar suami itu berniat untuk rujuk ketika malafazkan perkataan sindiran itu.

Rujuk yang dilafazkan oleh suami dengan memenuhi semua rukunnya adalah sah walaupun rujuk yang dibuat itu dalam keadaan bergurau. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak boleh dibuat main-main termasuklah nikah, cerai dan rujuk. Apabila dilafazkan dengan jelas, maka ia akan menjadi sah.

Dari sudut peruntukan undang-undang, saudara boleh melihat Seksyen 52 (2) – (9) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003. Antara lain, Seksyen ini menyebut bahawa sekiranya isteri tamat idah, maka tidak boleh dirujuk.

Sekiranya suami melafazkan rujuk tapi isteri tidak bersetuju dengan sebab dan alasan yang dibenarkan hukum syarak, maka dia tidak boleh diperintahkan oleh mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi mahkamah hendaklah melantik satu jawatankuasa pendamai seperti diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

Ini bermaksud, sekiranya isteri tidak bersetuju dengan alasan yang diterima syarak seperti suami menderanya dan jika kembali boleh membahayakan diri isteri, maka mahkamah boleh memerintahkan satu jawatankuasa dilantik. Jawatankuasa ini akan diberi masa enam bulan untuk menilai sama ada wajar mereka kembali sebagai suami isteri atau sebaliknya.

Seorang suami dilarang merujuk dengan maksud jahat seperti bertujuan untuk menyakiti atau menganiaya isteri yang hendak dirujuk. Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 231 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka. Dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum itu sebagai ejek-ejekan dan permainan”.

Dari segi hukum rujuk juga, wajar diperhatikan bahawa hukum asal bagi rujuk adalah harus tanpa dikaitkan dengan perkara lain. Makruh rujuk pula jika perceraian itu adalah lebih baik kepada kedua-dua pasangan suami dan isteri. Sunat rujuk sekiranya suami bertujuan memperbaiki rumah tangga dan masih menyayangi dan ingin memperbaiki keadaan isterinya. Manakala hukumnya adalah haram jika suami rujuk dengan tujuan membalas dendam atau menzalimi isteri yang ingin dirujuknya itu.

Merujuk kepada kes saudara, berdasarkan mazhab Syafei, kedudukan rujuk yang saudara buat melalui SMS adalah tidak sah walaupun mempunyai niat untuk rujuk semula bersama isteri. Lafaz rujuk yang dibuat oleh saudara adalah berbentuk tulisan (kitabah) dan bukannya secara lisan melainkan saudara seorang bisu (tidak boleh berkata-kata). Untuk makluman saudara SMS dianggap sebagai tulisan (kitabah).

Namun begitu sekiranya saudara membaca balik SMS itu secara berlafaz sebaik saja saudara menghantar SMS itu, rujuk itu dianggap sah kerana saudara melafazkan rujuk.

Saudara perlu melafazkan kembali lafaz rujuk berkenaan secara lisan terhadap isteri di dalam tempoh idah isteri saudara. Sekiranya tempoh idah habis, maka saudara dikehendaki menjalankan akad nikah baru dengan bekas isteri saudara. Jika dengan akad nikah yang baru, saudara perlu ingat, bilangan talak saudara dengan isteri tersebut berkurang kepada dua sekiranya sebelum ini bercerai dengan talak satu.

Saudara juga perlu mengambil kira lafaz taklik yang dibaca ketika perkahwinan dahulu, kerana sesetengah negeri meletakkan taklik iaitu sekiranya suami merujuk tanpa persetujuan isteri maka boleh jatuh satu lagi talak.

Perkahwinan, perceraian dan rujuk adalah suatu yang penting dalam Islam. Apabila seorang berkahwin secara baik dan terhormat, maka apabila perkahwinan tidak dapat diselamatkan, sewajarnya perceraian juga dilakukan dengan baik dan terhormat, bukan menggunakan SMS dan sebagainya. Begitu juga apabila suami ingin merujuk isteri, wajarlah berdepan menzahirkan kesungguhan dan keikhlasan suami, kerana ia bukan perkara main-main.

Untuk mengesahkan rujuk yang saudara buat, saya menasihatkan agar saudara dapat membuat permohonan pengesahan rujuk di hadapan Pendaftar, Nikah, Cerai dan Rujuk di Pejabat Agama di tempat saudara. Semoga perkahwinan saudara akan dapat diselamatkan dan beroleh keberkatan.


Jawapan disediakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abd Ralip. Sebarang persoalan berkaatan syariah sila kemukakan menerusi e-mel: admin@pgsm.org.my

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman