Rabu, 30 Oktober 2013

Hakim bubar perkahwinan

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 30/10/2013


Kuala Lumpur: Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam meluluskan permohonan seorang mualaf untuk membubarkan perkahwinan selepas suaminya enggan memeluk Islam.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Ab Malek Awang selepas meneliti afidavit dikemukakan Siti Fatimah Devaki Abdullah, 43, serta keterangan yang diberikan pemohon kepada mahkamah.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, pemohon sudah memaklumkan mengenai penukaran agama kepada suaminya yang berusia 50-an namun selepas tiga kali suci, lelaki itu masih tidak mahu memeluk Islam.

Berkuat kuasa semalam

Justeru, mahkamah memutuskan perkahwinan antara pemohon dan suaminya pada 11 April 1988 itu dibubarkan berkuat kuasa semalam, mengikut Seksyen 46(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.



Terdahulu, pada prosiding semalam, wanita yang tidak diwakili peguam itu memberitahu mahkamah bahawa dia dan suami berkahwin pada 1988, dan mengambil keputusan untuk memeluk Islam pada November tahun lalu.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada suaminya, namun, selepas hampir setahun lelaki itu masih enggan untuk turut sama memeluk Islam, sebaliknya mahu kekal kepada agama asalnya.

Sebab peluk Islam

Bagaimanapun, wanita itu tidak menyatakan sebab dia memeluk Islam ketika prosiding berkenaan.

Dia yang hadir berbaju kurung merah itu kelihatan tenang sebaik keputusan dibacakan dan dilihat beredar dari pekarangan mahkamah sejurus kemudian.

Suaminya tidak hadir ke mahkamah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman