Ahad, 27 Oktober 2013

Dera isteri daripada perspektif syariah

Oleh : Nurhidayah Muhd Hashim
Kolum : Peguam Syarie Menulis
Sumber : Berita Harian
Tarikh : xx xx 2008


KITA selalu mendengar atau membaca kisah sedih isteri menjadi mangsa penderaan suami. Ada kes isteri ditampar, ditumbuk, ditendang, diletak seterika panas di tangan, ditarik rambut dan tindakan tidak wajar lain.

Soalan yang terlintas di hati kita, kenapa seseorang suami sanggup dan sampai hati mendera isterinya?

Selisih faham, berbeza pendapat dan berbalah antara suami isteri adalah suatu yang lumrah dan tabii, kerana berkait dengan latar belakang berbeza di antara pasangan.

Setiap orang terbentuk hasil daripada latar belakang keluarga, ilmu pengetahuan dipelajari, kaedah dibesarkan, status dan tahap kehidupan masing-masing yang mempengaruhi cara pemikiran, pendekatan, penilaian terhadap sesuatu perkara.

Sebab itu ada perkara dianggap penting oleh isteri tetapi tidak dianggap penting oleh suami dan begitulah sebaliknya.

Kadang-kadang perbezaan tidak diatasi dengan baik boleh berakhir dengan perbalahan sehingga membawa kepada pukul memukul dan sebagainya.

Dalam menilai suatu perkahwinan, Islam menyarankan kita menerima pasangan seadanya dan selalu berusaha membaiki apa yang kurang.

Perbezaan jangan sampai menjadi pergaduhan besar yang boleh membawa kepada perceraian.



Penderaan dalam bahasa Arab dipanggil darar. Al-Dusuqi, seorang ilmuwan silam daripada mazhab Maliki membincangkan isu penderaan dengan terperinci.

Secara asasnya, penderaan suami ke atas isteri boleh dibahagikan kepada dua iaitu pertama, penderaan secara fizikal, suami menyakitkan tubuh badan isteri dengan perbuatan kasar menggunakan tangan atau alat seperti memukul, menampar, menarik rambut, menendang sehingga luka, lebam-lebam, patah dan cedera.

Kedua, penderaan berbentuk mental dan emosi yang boleh berlaku apabila suami melayan isteri dengan buruk, memanggilnya dengan panggilan menghina, menjatuhkan maruahnya di hadapan orang seperti menyebut, "Wahai anak anjing, perempuan sial, wahai perempuan laknat, anak orang laknat atau ayat lain yang bermaksud menghina dan menjatuhkan maruah isteri atau keluarga isteri.

Begitu juga apabila suami meninggalkan isteri, enggan melakukan persetubuhan tanpa sebab, enggan bercakap sehingga isteri menjadi tidak keruan dan tertekan, atau suami berpaling daripada isterinya di atas katil dengan tujuan mendera turut dianggap sebagai darar.

Ada ilmuwan yang membincangkan mengenai darar di bawah tajuk 'Pemisahan di antara suami isteri kerana berlaku pergaduhan'. Dalam bahasa arab disebut Tafriq Li al-Syiqaq.

Penderaan ke atas isteri selalunya berlaku selepas wujud pergaduhan di antara mereka. Pendapat ini boleh dilihat antaranya dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh tulisan al-Zuhayli dan kitab al-Mar'ah Baina al-Fiqh wa al-Qanun oleh Sheikh Mustafa al-Siba'i.

Sekiranya seorang isteri didera, bolehkah beliau menuntut cerai di mahkamah? Kita cuba dalami apa pendapat ulama berkenaan isu ini.

Ada dua pendapat di kalangan mereka. Mazhab Hanafi, Syafii, Hambali dan Zahiri menolak penganiayaan dan hubungan buruk suami sebagai asas untuk menuntut cerai.

Mazhab Maliki pula mengambil sikap lebih terbuka dengan menerima penderaan sebagai alasan mendapatkan perceraian.

Al-Kasani daripada mazhab Hanafi menyatakan isteri didera berhak membuat aduan ke mahkamah tetapi hakim tidak berhak menceraikan mereka.

Selepas menerima aduan isteri, hakim mesti melarang suami daripada meneruskan penganiayaan itu.

Caranya dengan memanggil suami dan menegur, menghukum dan memerintahkan suami bergaul secara baik dengan isterinya. Isteri harus bersabar dan tidak boleh mendapat perceraian menggunakan alasan penderaan itu.

Al-Syirbini daripada mazhab Syafii pula mengaitkan tanggungjawab dan kuasa suami mendidik isteri nusyuz (derhaka) dengan cara memukulnya sebagai satu bentuk didikan.

Berdasarkan ayat 4, surah al-Nisa yang memberikan tiga tahap didikan ke atas isteri nusyuz iaitu menasihati, memukul dan memisahkan tempat tidur.

Oleh itu, beliau berpendapat apabila suami memukul isteri kerana enggan mendengar nasihat, tidak boleh dikatakan penderaan.

Tetapi jika suami bersikap kejam, memukul tanpa sebab dan melayan isteri secara ganas, tindakan yang boleh dilakukan adalah melantik orang tengah (hakam) untuk berusaha menyelamatkan perkahwinan itu.

Al-Syirbini juga menyebut bahawa memisahkan pasangan terbabit tidak akan menyelesaikan masalah tetapi sekadar menjauhkan isteri daripada suami saja.

Menyelamatkan isteri yang dianiaya perlu dilakukan dengan cara lebih efektif seperti suami dipanggil, ditegur, diberi nasihat, dihukum atau dipenjara sehingga dia bertaubat dan tidak mengulangi lagi penderaan ke atas isterinya.

Mazhab Maliki membenarkan perkahwinan dipisahkan kerana berlaku darar ke atas isteri.

Al-Dusuqim menyatakan, walaupun isteri dibenarkan menuntut cerai kerana darar, tetapi mereka sangat ketat dalam urusan pembuktian.

Syarat yang diperlukan ialah jika seseorang isteri membuat aduan ke mahkamah dan mendakwa didera, dia perlu disokong oleh dua saksi lelaki yang memenuhi syarat saksi.

Jika yang menjadi saksi adalah perempuan, mahkamah tidak boleh meluluskan perceraian dituntut. Jika tidak ada saksi, maka jelas tuntutannya tidak akan dilayan.

Walaupun begitu, mazhab ini agak terbuka dalam menilai bilangan kekerapan penderaan dilakukan suami. Al-Dusuqi menyebut sekiranya sabit suami melakukan darar dengan niat menyakiti isterinya, maka tidak disyaratkan penganiayaan itu dilakukan berkali-kali.

Perceraian boleh disabitkan walaupun darar yang dilakukan ke atas isteri hanya sekali. Itulah pendapat dominan di sisi mazhab Maliki.

Mazhab Maliki membenarkan perceraian kerana didera berdasarkan hadis yang bermaksud, “Jangan melakukan kemudaratan ke atas orang lain dan jangan membiarkan kemudaratan berlaku.”

Oleh itu mahkamah tidak boleh membiarkan isteri yang didera tanpa diberi keadilan. Keadilan untuknya adalah menyelamatkannya daripada suami yang zalim.

Kaedah fiqh 'Kemudaratan hendaklah dihilangkan' juga relevan iaitu sebarang perkara yang membawa bahaya dan kemudaratan hendaklah dihilangkan.

Justeru, jika satu perkahwinan mengandungi unsur darar maka ikatan itu boleh difasakhkan kerana darar yang berlaku ke atas isteri perlu dihilangkan dan mangsa dera hendaklah diselamatkan daripada menanggung kemudaratan.

Bagaimana dengan peruntukan undang-undang dan amalan yang diterima pakai di Mahkamah Syariah negara kita? Apakah boleh seorang isteri yang didera mendapatkan cerai di mahkamah?

Apa yang patut dilakukan oleh seseorang isteri yang didera sama ada penderaan emosi atau fizikal oleh suaminya? Perbincangan seterusnya akan disambung dalam siri akan datang.


Penulis adalah Exco Penerbitan dan Penyelidikan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia

1 ulasan:

Zie'S Bakes berkata...

Assalam, saya ingin bertanya... sekiranya si isteri telah didera oleh si suami dalam tempoh masa yang lama, bagaimana pula?
Ibu bapa saya sering bergaduh dan bapa saya sering memukul , menendang, menampar ibu saya sehingga teruk berlebam... Oleh itu, saya ingin bertanya, sekiranya ibu saya ingin menfailkan cerai, bagaimana ? ibu saya pernah berkata dia sudah tidak tahan diperlakukan begitu... Selain itu, bapa saya pernah berkata bahawa dia akan menceraikan ibu saya setelah nenek saya meninggal... maka saya tertanya-tanya, adakah ini bermaksud sudah jatuh talak ? Lagipun, nennek saya sudah pun 5 tahun meninggal dunia.. Bagaimana pula sekiranya si suami melakukan jenayah dan si isteri mahu bercerai ? mohon dijawab soalan-soalan saya oleh PIHAK SYARIE ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman