Ahad, 13 Oktober 2013

Cerai, rujuk perlu lapor mahkamah syariah

Oleh : Marlina Amir Hamzah
Sumber : Berita Harian

Soalan :-

SAYA bercerai dengan suami talak satu kira-kira tiga tahun lalu tetapi tidak mendaftarkan perceraian itu di mana-mana pejabat kadi atau mahkamah. Setelah 39 hari suami ingin rujuk dan saya menerimanya. Persoalannya, adakah perkahwinan kami masih sah kerana baru kini saya berasa ragu terhadap hukum rujuk. Suami hanya melafazkan rujuk dengan berkata “abang rujuk semula dengan sayang”. Apakah hukuman sekiranya sehingga kini kami masih belum mendaftarkan perceraian dan rujuk itu.


Tidak Jelas Hak



WALAUPUN lafaz cerai berlaku pada tiga tahun lalu, wajar puan melaporkannya di mahkamah demi mendapatkan kepastian sama ada lafaz cerai dilafazkan suami dengan menjatuhkan talak atau sebaliknya, bagi memastikan kedudukan puan terutama merekodkan jumlah talak dilafazkan suami.




Perceraian berlaku terhadap puan adalah antara contoh kes perceraian di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah. Sesungguhnya hanya mahkamah syariah ada kuasa untuk mengesahkan lafaz cerai dilafazkan suami.

Berdasarkan Seksyen 55A Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan seperti berikut:-


“(1) Walau apapun Seksyen 54, seseorang menceraikan isterinya dengan lafaz di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari dari lafaz talak itu melaporkan kepada mahkamah.”


Sekiranya lafaz itu disabitkan oleh mahkamah syariah barulah timbul isu rujuk sama ada sah atau tidak. Berdasarkan apa yang puan nyatakan di atas, suami merujuk dengan menggunakan lafaz “abang rujuk semula dengan sayang”.


Sebagaimana yang pernah dibincangkan sebelum ini, rujuk suami terhadap isteri adalah dengan dua cara iaitu melalui lafaz dan satu lagi melalui perbuatan. Memandangkan suami melafazkan ayat rujuk di atas, apa yang perlu puan dan suami puan lakukan iaitu selepas mahkamah syariah memutuskan lafaz cerai yang dilafazkan suami sah dan menjatuhkan talak.


Puan hendaklah pergi ke Pejabat Agama Islam berhampiran dengan mahkamah syariah untuk mendaftarkan rujuk dilafazkan itu. Sekiranya mahkamah syariah memutuskan lafaz cerai tidak sah maka tidak perlulah puan dan suami mendaftarkan rujuk itu.


Berdasarkan peruntukkan undang-undang, ada denda yang perlu dibayar iaitu disebabkan melakukan kesalahan melafazkan cerai di luar mahkamah syariah dan tanpa kebenaran mahkamah syariah. Sekiranya sabit kesalahan suami puan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.


Dalam seksyen 124 Akta sama yang memperuntukkan seperti berikut:


“Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah itu, maka dia melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara.”


Peruntukkan di atas sebenarnya adalah untuk menjaga hak dan maruah isteri daripada teraniaya disebabkan tindakan sesetengah suami yang suka menggunakan kuasa talak dikurniakan oleh Allah kepada mereka sewenang-wenangnya dan sebagai peringatan kepada pihak suami supaya tidak melafazkan talak di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah.


Sesuatu lafaz cerai yang dilafazkan di luar mahkamah perlu disahkan oleh mahkamah bagi memastikan pihak isteri mempunyai rekod yang diiktiraf undang-undang bagi merujuk kepada jumlah talak dilafazkan suami.


Ada sesetengah kes yang berlaku disebabkan terlalu kerapnya suami melafazkan cerai terhadap isteri di luar mahkamah sehinggakan tidak dapat dipastikan sama ada suami masih mempunyai hak rujuk terhadap isteri atau sebaliknya. Kedudukan pernikahan pasangan terbabit adalah meragukan sehinggalah satu pengesahan daripada mahkamah syariah diperoleh.


Apa yang lebih malang sekiranya ia membawa kepada masalah kesahtarafan anak dilahirkan oleh pasangan itu.


Pengesahan lafaz cerai penting dalam kes membabitkan sebarang permohonan cerai dalam keadaan suami pernah melafazkan cerai atau sebarang bentuk lafaz cerai sebelumnya kerana sebelum sesuatu perkahwinan itu disahkan masih wujud, maka pihak terbabit tidak boleh memfailkan permohonan membubarkan perkahwinan.


Sekiranya diteruskan, kemungkinan yang akan berlaku adalah mahkamah syariah terpaksa membuat perbicaraan dalam perbicaraan bagi permohonan perceraian iaitu untuk mengesahkan lafaz cerai yang dilafazkan terdahulu sama ada sah atau sebaliknya.


Oleh itu penting sesuatu lafaz cerai tidak dilafazkan di luar mahkamah sebaliknya dilafazkan sebagaimana diperuntukkan menurut undang-undang iaitu dengan kebenaran mahkamah dan di hadapan mahkamah.


Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Marlina Amir Hamzah. Sebarang soalan dan komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman