Isnin, 31 Mac 2014

Berdosa jika berprasangka buruk ke atas suami

Oleh : Rohidzir Rais
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 16/03/2014


Sikap tak percaya boleh rosakkan hubungan

Soalan:

Berdosakah saya ustaz kerana tanpa pengetahuan suami sering mengintip beliau. Saya juga sering melihat mesej pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp juga Facebook beliau melalui telefonnya.

Suraya Sulaiman,
Ipoh, Perak

Jawapan:

Berprasangka buruk terhadap orang lain adalah salah dan berdosa. Apa lagi sekiranya dilakukan terhadap suami sendiri. Sikap buruk sangka ini hanya merosakkan hubungan suami isteri yang sepatutnya dibina atas dasar kepercayaan. 

Perbuatan mencari kesalahan suami dan memikirkan perkara negatif terhadap suami adalah dilarang seperti peringatan Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 12. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhi kebanyakan berprasangka kerana sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.”

Kes Liyana, Romie ditangguh

Sumber : Sinar Harian - Skuad
Tarikh : 18/03/2014

Klang: Perbicaraan kes tuntutan cerai fasakh yang difailkan Nur Liyana Abdul Manan, terhadap suaminya, Romie Razin Adilha Abd Jais, ditangguhkan ke 14 April ini.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Zainal Abidin Kusmin, menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Nur Liyana supaya kes ditangguhkan berikutan baru dilantik untuk mewakili wanita itu.

Wanita kena asid cadang fail perceraian

Sumber : Sinar Harian - Skuad
Tarikh : 2014/03/18

Kota Bharu: Seorang wanita yang melecur hampir 40 peratus akibat disimbah petrol sebelum dibakar oleh suaminya awal bulan ini, bercadang memfailkan perceraian kerana tidak tahan dengan lelaki itu yang disifatkan sebagai cemburu buta.

Malah, kejadian hitam itu menyebabkan Rohfadla Abdullah, 35, kemurungan dan enggan berjumpa dengan orang ramai kerana melecur teruk di muka dan badan.

Adik mangsa, Ahmad Shafiq, 21, berkata selepas mengalami penderitaan sepanjang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, hampir dua minggu, kakaknya menyuarakan hasrat untuk bercerai dan mahu memulakan kehidupan baru.

Nurul Izzah, suami diperintah lantik Jawatankuasa Pendamai

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah
Tarikh : 12/03/2014


KUALA LUMPUR 11 Mac - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini supaya melantik segera wakil Jawatankuasa Pendamai dalam kes perceraian mereka.

Hakim Syarie, Ab. Malek Awang menetapkan 1 April ini bagi kedua-dua pihak membawa wakil masing-masing selepas gagal berbuat demikian pada prosiding hari ini.

''Kalau nak teruskan lagi kes ini, sila bawa wakil, asyik tertangguh saja,'' tegur Ab. Malek selepas kes itu sudah tiga kali ditangguhkan.

Peguam syarie, Normawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah selaku plaintif pula tiada sebarang bantahan.

Terdahulu, peguam syarie, Zulkifli Che Yong memaklumkan, beliau baru dilantik bagi mewakili defendan, Raja Ahmad Shahrir dan memohon satu tarikh sebutan lain bagi membawa wakil Jawatankuasa Pendamai.

Nurul Izzah dan suaminya tidak hadir di mahkamah hari ini kerana diberitahu mempunyai urusan lain yang tidak dapat dielakkan.

Perkahwinan Raisuddin, isteri kedua ikut syarak

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 14/03/2014

SHAH ALAM 13 Mac - “Alhamdulillah semuanya sudah selesai. Apa yang saya buat dari awal memang mengikut syarak," kata penyanyi era 1980-an, Raisuddin Hamzah.

Bapa kepada penyanyi Siti Sarah itu berkata demikian selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mengesahkan perkahwinannya dengan isteri kedua, Siti Fatimah Suberi di Songkhla, Thailand pada 2007 adalah mengikut hukum syarak.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Salehan Yatim selepas menolak permohonan bapa mentua Raisuddin, Suberi Abdullah untuk membubarkan perkahwinan antara artis itu dengan Siti Fatimah, 27, secara faraq.

Raisuddin, 58, menikahi Siti Fatimah sebagai isteri keduanya di negara jiran pada malam sambutan tahun baharu 2007.

Suberi, 54, yang tidak berpuas hati dengan pernikahan itu memfailkan permohonan faraq nikah pasangan tersebut mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 pada 26 Oktober 2007.

Sabtu, 29 Mac 2014

Isteri boleh mohon daftar nikah

Oleh : Hasliza Hassan
Sumber : Berita Harian - Agama
Tarikh : 19/11/2012


Sebelum 1994, pernikahan yang tidak mengikut Undang-undang Keluarga Islam di negara ini tidak boleh didaftarkan walaupun mempunyai surat nikah daripada pihak yang menjalankan pernikahan dan sah mengikut hukum syarak.

Implikasi daripada itu memang besar kerana dari sudut perundangan, pernikahan yang tidak didaftarkan di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) membawa makna bahawa pernikahan itu tidak pernah berlaku.

Ketetapan itu mendapat tentangan khususnya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita yang memperjuangkan nasib isteri serta anak-anak yang teraniaya disebabkan kedudukan mereka tidak diiktiraf mengikut undang-undang.

Justeru, Akta Pindaan 1994 telah memasukkan peruntukkan dalam seksyen 12 (2) yang membenarkan perkahwinan yang tidak mengikut undang-undang atau dilakukan di luar negara boleh memohon di mahkamah untuk perintah pendaftaran pernikahan yang bertentangan undang-undang.

Bagi suami isteri yang membuat permohonan bersama untuk mengesahkan perkahwinan yang dilakukan tidak mengikut undang-undang, permasalahan mereka dapat diselesaikan apabila semua bukti dikemukakan, pihak mahkamah membuat siasatan dan akhirnya memberi keputusan.

Itu pun, jika mahkamah mendapati pernikahan itu memenuhi rukun serta syarat sah nikah, barulah perintah kebenaran mendaftar pernikahan diberi. Jika sebaliknya, pihak berkaitan bakal berdepan pelbagai masalah susulan.

Jumaat, 28 Mac 2014

Penjagaan anak dan wanita

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 28/03/2014


WANITA juga memainkan peranan penting dalam sosioekonomi masyarakat. - Gambar hiasan



SALAM sejahtera. Minggu lalu, saya kupas mengenai isu wanita dan hak asasi. Perbincangan ini menunjukkan bahawa wanita sentiasa dilindungi sepanjang hidup oleh penjaga mereka yang terdiri daripada keluarga terdekat atau juga negara dengan ketiadaan penjaga.
Walaupun konsep penjagaan telah dikritik sebagai bersifat kebapaan dan memberikan konotasi yang negatif, pelaksanaan kuasa mestilah selari dengan tujuan undang-undang iaitu memberikan perlindungan kepada wanita berbanding meletakkan sekatan dalam melaksanakan hak mereka.
Hak anak-anak telah termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Dalam Islam Kaherah pada tahun 1990 yang menunjukkan keselarasan antara peraturan umum pada undang-undang Islam selain keperluan moden tentang perkembangan fizikal, emosi dan spiritual anak-anak.

Jumaat, 21 Mac 2014

Wanita dan hak asasi

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 21/03/2014

PADA tarikh 8 Mac 2014, Hari Wanita telah disambut di seluruh dunia. Kebanyakan isu yang diketengahkan ialah berkaitan dengan hak dan diskriminasi terhadap wanita yang juga merupakan isu sejagat.
Tidak kurang juga dibangkitkan isu mengenai keganasan rumah tangga bagi menunjukkan perbezaan gender masih menjadi masalah dalam mewujudkan keharmonian dalam kehidupan berumah tangga.
Perbincangan tentang hak-hak wanita dalam Islam juga sentiasa mendapat kritikan negatif bukan hanya oleh masyarakat Barat tetapi juga oleh aktivis wanita Islam yang menganut pemikiran liberal.
Keluhan wanita Islam yang ditindas disebabkan amalan budaya dilihat bersifat berat sebelah dan sistem perundangan tidak praktikal sehingga interpretasi undang-undang yang dipakai memberikan impak negatif terhadap wanita.
Persepsi ini juga dipengaruhi oleh penulisan-penulisan orientalis Barat yang mentafsirkan kedudukan wanita Islam melalui kaca mata amalan budaya yang menyebabkan agama Islam dianggap sebagai agama yang menindas kaum wanita.
Kekeliruan ini ditambah pula oleh deklarasi antarabangsa seperti Committee on the Elimination of Discrimination against Women (CEDAW) yang dilihat mengutamakan konsep kesamaan gender dan menjadikan undang-undang Islam sebagai halangan utama bagi pelaksanaan inti pati deklarasi tersebut.

Isnin, 3 Mac 2014

Toleransi suami isteri wujud keluarga bahagia

Oleh : Asri Md Saman @ Osman
Sumber : Berita Harian - Agama

Hidup berpandu syariat bentuk rumah tangga sakinah

Perkahwinan adalah ibadah. Neraca ukuran sama ada sesuatu perkahwinan boleh dikira ibadah atau tidak bergantung kepada niat kedua-dua pasangan ketika mereka mendirikan rumah tangga.

Sesungguhnya dalam perkahwinan banyak hikmah dan keistimewaan. Sesiapa yang mampu melaksanakannya dengan sempurna, maka akan mendapat ganjaran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Pensyariatan perkahwinan

Dalil pensyariatan perkahwinan, sabda Rasulullah SAW: “Wahai pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu memikul tanggungjawab perkahwinan, hendaklah dia kahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kesucian). Bagi sesiapa yang tidak mampu (berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menahan nafsunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Suami adalah nakhoda dalam rumah tangga, tetapi sejauh mana suami menunaikan amanah menjaga isteri hingga terbentuk sebuah rumah tangga sakinah?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman