Sabtu, 29 Mac 2014

Isteri boleh mohon daftar nikah

Oleh : Hasliza Hassan
Sumber : Berita Harian - Agama
Tarikh : 19/11/2012


Sebelum 1994, pernikahan yang tidak mengikut Undang-undang Keluarga Islam di negara ini tidak boleh didaftarkan walaupun mempunyai surat nikah daripada pihak yang menjalankan pernikahan dan sah mengikut hukum syarak.

Implikasi daripada itu memang besar kerana dari sudut perundangan, pernikahan yang tidak didaftarkan di Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) membawa makna bahawa pernikahan itu tidak pernah berlaku.

Ketetapan itu mendapat tentangan khususnya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita yang memperjuangkan nasib isteri serta anak-anak yang teraniaya disebabkan kedudukan mereka tidak diiktiraf mengikut undang-undang.

Justeru, Akta Pindaan 1994 telah memasukkan peruntukkan dalam seksyen 12 (2) yang membenarkan perkahwinan yang tidak mengikut undang-undang atau dilakukan di luar negara boleh memohon di mahkamah untuk perintah pendaftaran pernikahan yang bertentangan undang-undang.

Bagi suami isteri yang membuat permohonan bersama untuk mengesahkan perkahwinan yang dilakukan tidak mengikut undang-undang, permasalahan mereka dapat diselesaikan apabila semua bukti dikemukakan, pihak mahkamah membuat siasatan dan akhirnya memberi keputusan.

Itu pun, jika mahkamah mendapati pernikahan itu memenuhi rukun serta syarat sah nikah, barulah perintah kebenaran mendaftar pernikahan diberi. Jika sebaliknya, pihak berkaitan bakal berdepan pelbagai masalah susulan.



Sebenarnya, itulah hikmah diadakan peraturan supaya setiap pernikahan dilakukan mengikut peraturan serta undang-undang ditetapkan supaya apabila timbul masalah dalam rumah tangga, ia dapat diselesaikan mengikut aturan perundangan.

Bagaimana dengan yang sudah terlajak dan berdepan masalah untuk membuktikan pernikahan itu memang berlaku. Contohnya, wanita yang suaminya tidak tampil membuat permohonan pengesahan pernikahan bertentangan undang-undang di mahkamah?

Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata suami atau isteri yang berkahwin tidak mengikut undang-undang boleh mengemukakan permohonan pengesahan pernikahan mereka di Mahkamah Syariah.

Justeru, bagi isteri yang suaminya tidak mengemukakan permohonan di mahkamah untuk mendapat kebenaran mendaftar perkahwinan, mereka sendiri boleh mengemukakan permohonan itu kerana undang-undang tidak menetapkan hanya suami saja yang boleh memohon.

Isteri juga boleh memohon, jadi tidak perlu tunggu suami. Kemukakan bukti sama ada pernikahan itu di Songkhla, Yala atau Narathiwat, bawa dan buat permohonan. Apa pun, sebelum kebenaran diberi, mahkamah akan melakukan siasatan.

Pernikahan yang diiktiraf mengikut undang-undang negara ialah pernikahan yang sijil nikahnya dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) saja. Sijil dikeluarkan pihak lain tidak diiktiraf, sebab itu perkahwinan yang sah di sisi undang-undang ialah pernikahan didaftarkan JAIN, katanya.

Bagaimana jika isteri tidak mempunyai dokumen membuktikan dia sudah bernikah kerana suami tidak memberi salinan kepadanya, isteri boleh mendapatkan perintah mahkamah mengikut seksyen 85-88 Enakmen Tatacara Mal, supaya suami menzahirkan dokumen itu. Jika suami tidak memberi kerjasama atau tidak hadir, boleh dikenakan waran tangkap.

Dr Mohd Naim berkata, tidak dinafikan ramai wanita yang berkahwin tidak mengikut undang-undang tidak tahu mereka juga boleh mengemukakan permohonan pengesahan pernikahan sebaliknya menyangka ia tugas suami.

Saya tidak nafikan kemungkinan ada wanita yang tidak tahu, sebab itu kita perlu didik masyarakat bukan saja ikut hukum, tetapi kena ikut peraturan juga. Perundangan bukan dibuat saja-saja, tetapi ada rasional dan hikmahnya, katanya.

Katanya, apa juga masalah dihadapi pasangan yang pernikahan tidak didaftarkan, mereka tidak boleh menyalahkan sistem kerana jika pernikahan bertentangan undang-undang diberi layanan serupa dengan pihak yang mematuhi undang-undang, semua akan mengambil kesempatan untuk tidak mengikut undang-undang.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman