Memaparkan catatan dengan label Tuan Musa Awang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tuan Musa Awang. Papar semua catatan

Khamis, 13 November 2014

‘Bukan taat membuta tuli’

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 10/11/2014

Kuala Lumpur : Ketaatan isteri terhadap suami adalah dalam batasan ketaatan kepada Allah bukan ketaatan membuta tuli hingga mentaati apa saja arahan suami walaupun terpaksa derhaka kepada Allah.

Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, sebaliknya isteri boleh meminta fasakh di mahkamah syariah atas alasan suami menganiayai isteri dengan menjadikan kehidupan isteri menderita atau cuba memaksa isteri hidup secara lucah.

“Dalam satu hadis sahih Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda tiada ketaatan dalam melakukan maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam perkara makruf.

“Suami adalah pelindung kepada isteri bukannya menjadi penjahat kepada isteri. Justeru, bagi kes seumpama ini isteri boleh buat aduan kepada polis dan suami boleh diambil tindakan menurut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Pindaan 2011),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Khamis, 9 Oktober 2014

Risiko nikah sindiket

Oleh : Tuan Musa Awang
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 09/10/2014

Akhir-akhir ini semakin banyak ejen nikah sindiket wujud. Hasil pemantauan di Internet, ejen berkenaan menawarkan pakej perkahwinan semurah RM1,000 hingga RM3,000 di wilayah Selatan Thai seperti di Songkhla, Narathiwat, Yala dan Pattani. Antara pakej itu penginapan di hotel, pengangkutan, beli-belah selepas bernikah, dapat surat nikah daripada majlis agama dan Konsulat Malaysia dalam masa sehari dan macam-macam lagi.
Tinjauan mendapati rata-ratanya ejen nikah sindiket menggunakan pelbagai jenis ‘tagline’ promosi seperti ‘cepat dan murah’ yang sedikit sebanyak berjaya menarik orang ramai, terutama bermasalah untuk berkahwin menurut undang-undang, seperti lelaki ingin berkahwin lagi dan pasangan tidak boleh berkahwin disebabkan tentangan keluarga. 
Daripada perspektif undang-undang, tiada istilah ‘nikah sindiket’ atau ‘kahwin sindiket’. Ia diberi oleh masyarakat. Nikah sindiket ialah nikah yang tidak mengikut peraturan, yakni seseorang berkahwin di daerah atau di negeri lain tanpa terlebih dulu memohon kebenaran untuk berkahwin di luar daerah. Ada juga pernikahan sindiket dijalankan di dalam negara. 
Cara mudah untuk membezakan antara nikah sindiket dengan nikah yang mengikut peraturan ialah kebenaran sudah diperoleh daripada jabatan agama Islam atau Mahkamah Syariah. 

Ahad, 15 Jun 2014

Proses bicara mahkamah syariah ibarat merebut Piala Dunia

Oleh : Tuan Musa Awang
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 16/06/2010

Pihak buat tuntutan perlu ambil inisiatif, bijak rangka strategi raih keadilan, kejayaan


PUSINGAN akhir Piala Dunia 2010 siri ke-19 bermula 11 Jun lalu dan akan berakhir pada 11 Julai nanti. Sebanyak 32 pasukan bertarung bagi merebut piala terulung dalam sejarah bola sepak dunia. Pelbagai strategi diatur, latihan berterusan dan khidmat jurulatih profesional diambil bertujuan meraih kemenangan berprestij itu.

Setakat ini beberapa pasukan sudah bermain pada peringkat awal. Ada pasukan yang menang, seri dan kalah. Anda tentu sudah dapat menjangka pasukan mana yang akan bertemu pada peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Saya bukan hendak bercerita mengenai bola sepak, tetapi saya cuba mengaitkan realiti bola sepak piala dunia dengan apa yang berlaku di Mahkamah Syariah dewasa ini.

Orang yang datang ke Mahkamah Syariah terdiri pelbagai golongan, daripada orang kampung sehinggalah gololongan cerdik pandai. Terma dan prosedur digunakan di mahkamah adalah terma undang-undang yang asing bagi mereka yang bukan profesional dalam bidang perundangan.

Ada juga yang datang ke Mahkamah Syariah hendak meminta pertolongan, sedangkan umum tahu bahawa mahkamah adalah tempat pengadilan bukan tempat bantuan. Pihak yang memohon kepada mahkamah perlu tahu apa yang ingin dipohon.

Mereka bukan saja sekadar tahu bercakap, malah perlu tahu apa yang dicakapkan. Mereka perlu mengambil inisiatif sendiri untuk berjaya dalam tuntutan mereka.

Selasa, 29 April 2014

Lafaz taklik wajar diseragamkan - Peguam Syarie Menulis

Oleh : Musa Awang
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 2008


Perbezaan antara negeri timbulkan pelbagai kesulitan perundangan

APAKAH maklum balas anda apabila mengetahui bahawa lafaz taklik antara negeri di negara kita berbeza-beza antara satu sama lain? Paling tidak pun anda akan terfikir, wajarkah sebuah negeri yang kecil seperti Malaysia, mempunyai 14 lafaz taklik yang berbeza-beza antara satu sama lain?

Lafaz taklik adalah lafaz talak taklik (talak tergantung) yang dibaca dan dilafazkan oleh suami selepas akad nikah dijalankan. Ia bermaksud suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau orang lain. Semua negeri mempunyai lafaz taklik, dan ia sudah menjadi suatu kemestian. Lafaz taklik ini akan dicatatkan sekali dalam Sijil Perakuan Nikah pasangan yang sudah berkahwin.

Lafaz talak taklik yang disyaratkan selepas perkahwinan suami isteri berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Penulis membawa beberapa contoh seperti berikut:

Terengganu

“Saya dengan sesungguhnya melafazkan bahawa tiap-tiap kali saya tidak bersekedudukan dengan isteri saya (nama isteri) bagi selama tempoh empat bulan dengan tidak putus-putus, sama ada saya meninggal akan dia atau dia meninggal saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala ia mengadu ia kepada kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan sekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya (nama isteri) itu dengan satu talak.”

Kedah

Lafaz talak taklik yang baru di Kedah berbunyi:

“Apabila aku tinggalkan isteriku (nama isteri) lamanya enam bulan Hijrah dan kemudian daripada itu mengadu ia kepada Kadi dan sabit yang demikian itu pada sisinya, maka kemudian daripada itu tertalaklah ia dengan satu talak”

Perak

“1) Tiap-tiap aku tinggalkan atau tiada aku memberi nafkah yang layak bagiku akan isteriku (nama isteri) tiga bulan atau lebih lamanya dan mengadu ia kepada mana-mana kadi syarie dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka tertalak isteriku itu dengan satu talak.

2) Jika ada perbalahan kedua aku laki isteri maka mengadu isteriku (nama isteri) kepada mana-mana kadi syariah dan sabit pengaduannya pada sisi kadi itu, maka mengakulah aku akan bertaklik seperti yang dipersetujui kadi itu. Sekiranya ingkar aku daripada bertaklik sedemikian itu maka gugurlah satu talak di atas isteriku itu.

3) Tiap-tiap aku rujuk akan isteriku (nama isteri), dengan tiada redanya, maka tertalaklah ia satu talak pula.”

Selangor

“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”

Kebanyakan negeri memasukkan syarat jika suami meninggalkan isteri selama empat bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau suami atau wakil suami tidak memberi nafkah kepada isteri selama tempoh itu, pada hal isteri masih taat kepada suami.

Beberapa negeri lain meletakkan syarat meninggalkan isteri dalam tempoh berkenaan dan suami atau wakil suami tidak memberi nafkah kepada isteri pada hal isteri masih taat kepada suami. Dua syarat ini dibezakan dengan perkataan ‘dan’ dan ‘atau’. Kedah dan Pulau Pinang mensyaratkan tempoh yang lama iaitu enam bulan.

Syarat talak taklik Terengganu berbeza dengan negeri lain di mana disyaratkan jika suami dan isteri tidak bersekedudukan selama empat bulan berterus-terusan, sama ada suami meninggalkan isteri atau isteri meninggalkan suami, sama ada dengan sukarela atau terpaksa.

Perak pula meletakkan syarat jika berlaku perbalahan antara suami dan isteri, maka isteri boleh mengadu kepada hakim untuk mensabitkan talak taklik itu.

Kebanyakan negeri meletakkan syarat jika suami menyakiti atau mendatangkan sebarang mudarat kepada tubuh badan isteri, maka isteri boleh mengadu kepada Hakim untuk mensabitkan talak taklik itu. Melaka mensyaratkan jika suami tidak mempedulikan isteri lamanya empat bulan, isteri boleh memohon cerai taklik.

Sabah meletakkan syarat tambahan jika suami menyakitkan tubuh badan atau kehormatan atau harta benda isteri, maka aduan untuk mensabitkan talak taklik boleh dibuat oleh isteri. Johor memasukkan syarat tambahan jika suami ghaib selama setahun atau lebih, isteri boleh mengadu untuk mensabitkan talak taklik berkenaan. Syarat ini tidak terdapat dalam syarat taklik di negeri lain.

Melihat dari segi jenis talak jika Mahkamah mensabitkan talak taklik juga berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Kelantan, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor misalnya, jika syarat taklik disabitkan oleh hakim, maka isteri perlu membayar RM1 dan selepas perceraian boleh disabitkan dengan cerai khul’ (tebus talak).

Tetapi di negeri lain, jika syarat taklik disabitkan oleh Hakim, isteri tertalak dengan satu talak rajie.

Perbezaan seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana umat Islam di Malaysia berpegang kepada mazhab Syafei yang sama. Perbezaan ini walaupun nampak kecil, beban untuk membuktikan syarat ini di Mahkamah berbeza antara satu sama lain. Perbezaan ini juga menampakkan betapa tidak seragamnya urusan pentadbiran agama di negara ini, walaupun hakikatnya perkara itu boleh diseragamkan.

Lafaz taklik ini adalah sebahagian kecil contoh perbezaan prosedur dan pentadbiran Agama Islam di negara ini.

Sudah sampai masanya pihak kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa pada peringkat pusat dan berusaha untuk menseragamkan prosedur dan pentadbiran urusan agama Islam di Jabatan Agama Islam negeri, seperti ditubuhkan Jabatan Kehakiman Islam Malaysia (JKSM) untuk menyelaraskan pentadbiran dan prosedur amalan di Mahkamah Syariah negeri-negeri.

Lafaz talak taklik

Terengganu
“Saya dengan sesungguhnya melafazkan bahawa tiap-tiap kali saya tidak bersekedudukan dengan isteri saya (nama isteri) bagi selama tempoh empat bulan dengan tidak putus-putus, sama ada saya meninggal akan dia atau dia meninggal saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala ia mengadu ia kepada kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan sekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya
(nama isteri) itu dengan satu talak.”

Kedah
“Apabila aku tinggalkan isteriku (nama isteri) lamanya enam bulan Hijrah dan kemudian daripada itu mengadu ia kepada Kadi dan sabit yang demikian itu pada sisinya, maka kemudian daripada itu tertalaklah ia dengan satu talak”

Perak

“Tiap-tiap aku tinggalkan atau tiada aku memberi nafkah yang layak bagiku akan isteriku (nama isteri) tiga bulan atau lebih lamanya dan mengadu ia kepada mana-mana Kadi Syarie dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka tertalak isteriku itu dengan satu talak.”

“Jika ada perbalahan kedua aku laki isteri maka mengadu isteriku (nama isteri) kepada mana-mana Kadi Syariah dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka mengakulah aku akan bertaklik seperti yang dipersetujui Kadi itu.Sekiranya ingkar aku daripada bertaklik sedemikian itu maka gugurlah satu talak di atas isteriku itu.”

“Tiap-tiap aku rujuk akan isteriku (nama isteri), dengan tiada redanya, maka tertalaklah ia satu talak pula.”


Penulis adalah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang pendapat dan komentar, sila kemukakan ke alamat admin@pgsm.org.my

Ahad, 3 November 2013

Tuntutan perceraian mesti berasaskan bukti kukuh

Oleh : Tuan Musa Awang, Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Sumber : Berita Harian
Tarikh : xx Nov 2008
Hak Muslim: Tuntutan perceraian mesti berasaskan bukti kukuh

Isteri hadapi masalah bawa kes ke Mahkamah Syariah dinasihat ambil peguam syarie

Soalan:

SAYA sudah memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Syariah. Suami hadir dan menyatakan dia tidak bersetuju dengan tuntutan itu. Kes saya ditangguhkan ke Disember untuk memberi peluang kepada saya meminda tuntutan kepada cerai fasakh atau cerai taklik. Masalahnya saya tidak tahu apakah beza antara cerai fasakh dan taklik ini dan yang manakah yang kuat untuk saya bercerai dengan suami. Harap penjelasan tuan boleh membantu.

Puan Haidar,
Shah Alam.

Jawapan:

ADA banyak jenis perceraian dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam antaranya perceraian dengan talak (secara persetujuan bersama), perceraian dengan kuasa hakam, perceraian khulu' (tebus talak), perceraian taklik atau janji, perceraian dengan li'an, perceraian fasakh, perceraian luar mahkamah dan perceraian akibat murtad.

Permohonan cerai di mahkamah perlu penuhi peruntukan Seksyen 45 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam contohnya Seksyen 45 (a), (b) dan (c) EUUKI Selangor 2003 memperuntukkan:

Khamis, 27 Disember 2012

Ibu lebih utama jaga anak

Oleh Musa Awang
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 27/12/2012

SEBAHAGIAN daripada kes hadanah (hak jagaan) anak di Mahkamah Syariah difailkan bapa, walaupun dalam sesetengah kes, anak yang dituntut masih di bawah umur mumaiyiz (umur kecerdikan).

Mahkamah tidak boleh menghalang seseorang membuat tuntutan, namun sebelum sesuatu tindakan dibuat, bapa perlu tahu adakah mereka berhak terhadap hadanah anak yang masih kecil.

Dari sudut bahasa, hadanah diambil daripada perkataan al-hidn yang bererti rusuk atau dada, kerana kebiasaannya kanak-kanak akan didukung pada rusuk atau dada.

Dari sudut syarak, mazhab al-Shafie mendefinisikan hadanah sebagai menjaga orang yang tidak boleh bersendirian menguruskan dirinya daripada perkara yang menyakitkan kerana dia tidak mumaiyiz, seperti kanak-kanak dan orang dewasa yang gila.

Juga, dengan mendidik orang itu dengan perkara yang memberi maslahah kepadanya sama ada berkaitan pemeliharaan makanan atau minuman.

Hukum hadanah ke atas kanak-kanak adalah wajib, kerana mengabaikannya bererti membiarkannya kepada bahaya dan kebinasaan. Justeru, apabila ibu dan bapa tinggal berasingan atau berlaku perceraian, Mahkamah Syariah perlu memutuskan hadanah kepada salah seorang ibu atau bapa atau kepada seseorang yang lain.

Rabu, 22 Februari 2012

Heret bekas suami ke mahkamah tuntut nafkah anak

Peguam Syarie Menulis: Heret bekas suami ke mahkamah tuntut nafkah anak

Oleh Tuan Musa Awang
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 22/02/2012

Penyitaan, penjualan harta boleh diambil supaya si penghutang menjelaskan hutang

SEPANJANG 2000 hingga 2009, sebanyak 206,113 kes perceraian difailkan di Mahkamah Syariah seluruh negara. Sebanyak 80 peratus atau 12,300 kes bekas suami gagal mematuhi perintah melunaskan nafkah yang menyebabkan hak isteri dan anak-anak terabai.


Malangnya, daripada jumlah itu, hanya 15,380 kes atau 7.5 peratus saja kes nafkah yang difailkan ke mahkamah.

Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan kebanyakan bekas isteri atau ibu kepada anak-anak tidak faham hak mereka menurut undang-undang, atau mereka tidak mahu turun naik mahkamah menuntut penguatkuasaan nafkah anak-anak.

Cerita negatif mengenai proses perbicaraan di mahkamah syariah yang memakan masa lama, lebih memburukkan keadaan. Akhirnya, si ibu lebih rela menanggung sendiri nafkah anak-anak dan membiarkan bekas suami lepas tangan terhadap nafkah anak-anak, walaupun dalam sesetengah kes, perintah nafkah anak sudah dikeluarkan oleh mahkamah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman