Khamis, 27 Disember 2012

Ibu lebih utama jaga anak

Oleh Musa Awang
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 27/12/2012

SEBAHAGIAN daripada kes hadanah (hak jagaan) anak di Mahkamah Syariah difailkan bapa, walaupun dalam sesetengah kes, anak yang dituntut masih di bawah umur mumaiyiz (umur kecerdikan).

Mahkamah tidak boleh menghalang seseorang membuat tuntutan, namun sebelum sesuatu tindakan dibuat, bapa perlu tahu adakah mereka berhak terhadap hadanah anak yang masih kecil.

Dari sudut bahasa, hadanah diambil daripada perkataan al-hidn yang bererti rusuk atau dada, kerana kebiasaannya kanak-kanak akan didukung pada rusuk atau dada.

Dari sudut syarak, mazhab al-Shafie mendefinisikan hadanah sebagai menjaga orang yang tidak boleh bersendirian menguruskan dirinya daripada perkara yang menyakitkan kerana dia tidak mumaiyiz, seperti kanak-kanak dan orang dewasa yang gila.

Juga, dengan mendidik orang itu dengan perkara yang memberi maslahah kepadanya sama ada berkaitan pemeliharaan makanan atau minuman.

Hukum hadanah ke atas kanak-kanak adalah wajib, kerana mengabaikannya bererti membiarkannya kepada bahaya dan kebinasaan. Justeru, apabila ibu dan bapa tinggal berasingan atau berlaku perceraian, Mahkamah Syariah perlu memutuskan hadanah kepada salah seorang ibu atau bapa atau kepada seseorang yang lain.


Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh As-Sunnah (Juzuk 8) menyatakan bahawa sesungguhnya setiap penjaga dan anak jagaan masing-masing mempunyai hak tetapi hak anak atau maslahah anak lebih penting daripada hak penjaganya.

Maka, atas dasar kemaslahatan anak, Islam menetapkan hak hadanah kepada seorang ibu, selama mana dia belum berkahwin lain.


Dalam hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan Abdullah bin Umar bahawa seorang wanita pernah datang kepada Baginda dan bertanya: “Ya Rasulullah, anakku ini, perutku yang mengandungnya, susu aku minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku.” Selepas mendengar aduan itu, Rasulullah bersabda: “Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain.” (HR Ahmad dan Abu Dawud)   Ibu diberi keutamaan mendapat hadanah kerana ibu mempunyai ciri-ciri dan sifat yang lebih sesuai untuk tujuan pengasuhan berbanding bapa.

Ibu lebih tahu bagaimana mendidik anak, lebih sabar, dan ibu mempunyai lebih masa berdampingan dan bermanja dengan anak berbanding bapa yang sibuk mencari nafkah untuk keluarga.

Hak dan tanggungjawab ibu akan berterusan sehingga kanak-kanak itu mencapai umur mumaiyiz. Seksyen 84 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan [Akta 303] memperuntukkan - Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat selepas kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.

Meskipun syarak menetapkan ibu orang yang paling berhak terhadap hadanah, hak itu tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan. Jika seseorang ibu itu tidak dapat memenuhi syarat-syarat ditetapkan, hak dan tanggungjawab hadanah akan jatuh kepada orang yang seterusnya mengikut turutan ditetapkan.

Ibu yang berkahwin dengan lelaki lain dan tidak mempunyai hubungan mahram dengan anak itu akan menggugurkan hak hadanah baginya.


Menurut mazhab Syafie, seseorang penjaga (hadinah) mestilah seorang Islam kerana seorang ibu yang kafir atau murtad tidak berhak mengasuh kanak-kanak kecil. Penjaga juga mestilah berakal waras. Orang gila tidak boleh menjadi pengasuh kecuali gilanya itu terlalu sedikit, seperti sehari dalam masa setahun. Ibu yang mempunyai sifat khianat juga tidak berhak menjadi penjaga, kerana dia tidak akan menjaga kanak-kanak itu dengan sebaik mungkin.

Penjaga mesti baligh, merdeka dan wanita yang baik serta bermoral tinggi. Perempuan fasik, seperti penzina, peminum arak dan pencuri tidak berhak menjadi pengasuh. Kanak-kanak tidak boleh diserahkan kepada ibu jika mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap, sama ada milik sendiri atau rumah sewa.

Seksyen 82, Akta 303 memperuntukkan bahawa - syarat-syarat menjadi hadanah ialah :-
(a) dia adalah seorang Islam;
(b) dia adalah sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islam; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk daripada segi akhlak atau jasmani.

Mempunyai akhlak yang mulia adalah menjadi keutamaan kepada orang yang memelihara kanak-kanak pasangan yang bercerai, bertujuan memelihara kanak-kanak itu daripada sifat-sifat buruk yang boleh merosakkan akhlak.

Jika ibu hilang kelayakan untuk hadanah atau meninggal dunia, hak tersebut akan berpindah kepada nenek sebelah ibu.

Jika nenek juga tidak layak, barulah berpindah kepada bapa.

Jika ibu atau nenek masih hidup dan tidak hilang kelayakan di sisi syarak untuk hadanah, bapa usahlah membuang masa mereka dan masa mahkamah menuntut sesuatu yang bukan hak mereka.

Cukuplah bapa menuntut hak melawat (haqqul ziarah) anak itu. Yakinlah dengan syarak kenapa kaum ibu diberikan keutamaan menjaga anak-anak.

Apabila sampai umur mumaiyiz, anak itu boleh berfikir dan membuat pilihan sendiri mana yang terbaik untuk mereka, sama ada tinggal bersama ibu atau bapa.

Seksyen 84 (2) Akta yang sama memperuntukkan - selepas tamatnya hak hadanah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), kanak-kanak itu berhak memilih untuk tinggal sama ada ibu atau bapanya, melainkan mahkamah memerintahkan sebaliknya.

Dalam satu hadis riwayat Imam Ahmad, dikisahkan bahawa Rasulullah menyuruh seseorang anak yang mumaiyiz memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal.
“Wahai anak! Ini bapamu dan ini ibumu, peganglah tangan siapa yang kamu suka antara mereka berdua. Lalu anak itu memegang tangan ibunya, lantas ibunya membawa dia pergi.” (HR Imam Ahmad)

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman