Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 09/01/2015
KISAH penculikan anak oleh ibu atau bapa yang tidak berpuas hati
dengan keputusan mahkamah terutama jika mereka tinggal di negara yang
berbeza-beza sering berlaku.
Keadaan ini disebabkan oleh sistem perundangan negara yang meletakkan
hanya satu pihak mendapat hak jagaan dan pihak yang satu lagi diberi
hak lawatan.
Terma ini tidak bermaksud untuk membezakan peranan satu pihak
terhadap satu pihak yang lain tetapi pemahaman yang tidak jelas tentang
tanggungjawab keibubapaan menyebabkan pihak yang tidak mendapat hak
jagaan berasa dirinya tidak diberikan keadilan.
Ada juga bapa yang tidak diberi hak lawatan mula mengabaikan
tanggungjawab nafkah terutamanya jika beliau sudah mempunyai keluarga
baharu dan tanggungjawab yang bertambah.
Dalam keadaan lain, bapa juga membuat tuntutan hak jagaan anak kerana
gusar bekas isteri menggunakan wang nafkah untuk kepentingan diri
sendiri walaupun anak itu selesa berada dalam jagaan ibunya.
Senario di atas menggambarkan tentang beberapa sikap masyarakat
apabila berhadapan dengan hak penjagaan yang sebenarnya menggambarkan
satu keadaan yang tidak sihat dalam membantu pembesaran anak-anak
mereka.
Konflik
Kajian menunjukkan bahawa kesan perceraian dan konflik yang berpanjangan akan memberi kesan sangat negatif kepada anak-anak.
Tindak balas senyap atau silent retaliation adalah antara beberapa
petanda yang dikaitkan dengan konflik keluarga yang selalunya akan
berakhir dengan perceraian.
Hadanah yang bermaksud memeluk anak tersebut dengan penuh kasih
sayang adalah satu cabang hukum yang khusus membincangkan tentang
bagaimana ibu bapa menguruskan anak-anak selepas perceraian terutama
bagi anak-anak yang belum mumayyiz.
Ulama-ulama Islam telah membincangkan isu itu dengan panjang lebar
dan bersetuju bahawa kebajikan anak-anak mestilah didahulukan selepas
berlakunya perceraian. Sebagai contoh, Imam Nawawi dalam kitab Minhaj al
Talibin.
Beliau menggariskan tanggungjawab hadinah sama ada ibu, bapa atau
penjaga tidak terhad hanya kepada memberi jagaan seharian dan mengawal
anak-anak tersebut tetapi dia bertanggungjawab untuk membuat keputusan
dalam segala perkara yang tidak boleh diputuskan sendiri oleh anak-anak
itu serta mendidik mindanya dengan memberi pendidikan yang baik sebagai
persiapan untuk masa depan mereka.
Keupayaan ibu dan bapa untuk menunaikan objektif-objektif hadanah ini
bakal menentukan siapa antara mereka berhak mendapat hak hadanah.
Sumber utama undang-undang syariah tidak menyatakan secara khusus
bahawa ibu akan diberi keutamaan daripada bapa dalam hal berkaitan
hadanah.
Namun, ianya boleh difahami daripada penerangan al-Quran dalam surah
al Baqarah ayat 223 yang menyatakan: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusui
anaknya selama dua tahun penuh, bagi yang ingin menyusui secara
sempurna.”
Ayat di atas memberi gambaran bahawa dalam hal-hal tertentu, ibu
hendaklah diberi keutamaan terhadap anak-anak yang kecil yang secara
fitrahnya memerlukan ibunya dengan syarat ibunya berupaya dari segi
syarak untuk melakukannya iaitu penyusuan dan menjaga kebajikan anak
kecil tersebut.
Upah orang
Sayyid Sabiq mengatakan bahawa adalah menjadi satu kewajipan ke atas
ibu untuk menjaga anaknya pada awal usia dua tahun tempoh susuannya
sekiranya si bapa tidak berupaya mengupah orang lain untuk menyusukan
anaknya.
Kepentingan penyusuan dan penjagaan kanak-kanak tersebut begitu
ditekankan sehingga ada pandangan yang mengatakan bahawa pihak mahkamah
boleh memaksa ibu kanak-kanak itu untuk menjaganya walaupun
sesetengahnya berpendapat ianya hanya merupakan satu pilihan.
Oleh itu, andaian boleh dibuat bahawa ibu lebih diutamakan daripada
bapa selagi mana ia menyusukan anaknya. Bagaimanapun, sebagai langkah
berhati-hati, undang-undang syariah menegaskan bahawa hak individu yang
dalam jagaan adalah lebih kuat daripada individu yang diberi hak jagaan.
Sekiranya individu tersebut kehilangan haknya, hak individu yang
dalam jagaan tetap kekal. Hal ini menjelaskan bahawa hak hadanah adalah
hak anak-anak dan apa-apa keputusan atau tindakan yang berkaitan dengan
anak-anak mestilah mengutamakan kebajikan anak tersebut dan bukan hak
ibu atau hak bapa.
Keutamaan terhadap kualiti wanita dan kaitannya dengan sifat keibuan
sangat ditekankan. Hukum mengenai hadanah ke atas anak-anak lelaki yang
berusia kurang daripada tujuh tahun dan anak-anak perempuan yang kurang
daripada sembilan tahun atau sebelum mencapai usia baligh mengikut
pendapat sebahagian ulama.
Kasih sayang
Pada peringkat ini, keutamaan diberi kepada ibu kerana dia dianggap
lebih mengetahui cara terbaik membesarkan dan mendidik anaknya dengan
penuh kasih sayang.
Prinsip itu adalah prinsip dasar dalam menentukan hak jagaan
berdasarkan kepada beberapa hadis Rasulullah SAW dalam himpunan hadis
Sunan Abu Daud yang menyatakan: “Dari Abdullah bin Amar, bahawa seorang
perempuan bertanya “Ya Rasulullah, sesungguhnya bagi anak laki-lakiku
ini perutkulah yang mengandungnya, pangkuan aku menjadi perlindungannya
dan tetek aku yang menyusuinya, tiba-tiba sekarang ayahnya mahu
mencabutnya dari aku. Maka Rasulullah bersabda: “Engkaulah lebih berhak
terhadapnya selama engkau tidak berkahwin lain.”
Hadis yang tersebut menjelaskan kualiti yang diperlukan oleh
anak-anak semasa awal usianya demi kebaikannya. Oleh itu, undang-undang
menganggap bahawa kualiti ini walaupun tidak sama, turut dimiliki oleh
ibu saudaranya daripada sebelah ibu semasa ibunya.
Hal ini dapat dilihat daripada hadis melibatkan tiga individu yang bertelingkah mengenai seorang anak.
Apabila kes tersebut dibawa kepada Rasulullah, hak hadanah anak-anak
tersebut diberikan kepada ibu saudaranya dan Rasulullah telah mengatakan
secara khusus bahawa ‘ibu saudara sebelah ibu adalah seperti kedudukan
ibu.
Perbincangan tersebut hanyalah sebahagian daripada prinsip-prinsip penting melibatkan hak penjagaan anak selepas penceraian.
Undang-undang Islam begitu menekankan tentang hak anak-anak mesti
diberi keutamaan yang mana undang-undang perlu diperluaskan untuk
mentafsirkan bagaimanakah kebajikan ini dapat dipakai dalam
menyelesaikan konflik tersebut.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan