Isnin, 30 Mac 2015

Sanggup tinggal dengan bekas kakak ipar

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 28/03/2015

BIASANYA perpisahan antara suami isteri akan memisahkan juga hubungan antara
kedua-dua keluarga jika tidak kena caranya. Tetapi ada juga yang kekal.

Apapun saya percaya kasih sayang memainkan peranan untuk mengekalkan hubungan tersebut terutama bagi mereka yang pernah menumpang kasih pasangan suami isteri yang terbabit dengan perpisahan.

Inilah yang berlaku kepada Nita (bukan nama sebenar) apabila abangnya berpisah dengan isterinya yang telah menjadi tempat Nita menumpang kasih sejak ibu bapanya meninggal dunia
10 tahun lalu.

Sedih dengan apa yang berlaku, Nita tekad untuk terus tinggal bersama kakak iparnya sebagai membalas jasa dan mengenang budinya menjaga dia sejak sekolah menengah, masuk universiti sehingga sekarang.

Kita ikuti cerita Nita, yang bagaikan ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Ini kisahnya:

“Saya berusia awal 30-an, adik bongsu dalam adik beradik seramai empat orang dan belum berkahwin. Saya mempunyai dua abang dan seorang kakak yang kesemuanya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

“Ibu bapa kami meninggal dunia ketika saya masih di sekolah menengah dan saya tinggal bersama abang sulung sehingga kini. Saya sudahpun bekerja.

“Saya ingin berkongsi cerita tentang masalah rumah tangga abang sulung saya. Kalau saya tidak cerita selama itulah saya akan memendam rasa. Jadi, adalah lebih baik saya berkongsi kisah ini dengan anda semua, mudah-mudahan boleh dijadikan teladan.

“Abang sulung saya bekerja sebagai seorang eksekutif di sebuah bank. Dia telah berkahwin dan isterinya tidak bekerja. Mereka dikurniakan tiga orang anak, seorang lelaki dan dua perempuan yang masih bersekolah.

“Hubungan abang saya dengan isterinya tidak pernah aman, selalu sahaja bergaduh disebabkan abang saya seorang lelaki yang nakal dan suka berhibur walaupun kakak ipar, seorang yang sangat penyabar.

“Walaupun tinggal serumah dengan mereka, saya tidak pernah ambil tahu masalah mereka, sebab saya tidak mahu campur tangan urusan rumah tangga mereka. Kalau mereka bergaduh, saya kurung diri dalam bilik.

“Anak-anak saudara saya juga demikian. Mereka sudah lali dengan masalah ibu bapa mereka. Abang saya juga mempunyai ramai teman wanita. Dan dia telah bernikah lagi satu tanpa pengetahuan kakak ipar saya.

“Inilah punca kenapa mereka berpisah. Sebabnya kakak ipar saya tidak mahu dimadu. Dia akhirnya minta diceraikan. Walaupun abang saya pujuk, kakak ipar sudah tawar hati. Dia tidak mahu lagi hidup bersama abang.

“Kakak ipar saya tidak bekerja. Tiga orang anaknya dijaga olehnya kerana abang saya tidak mahu menjaganya disebabkan isteri baharunya enggan memikul tanggungjawab itu.

“Ini bermakna mahu tidak mahu, terpaksalah bekas isterinya terus tinggal bersama saya. Ia khabar gembira untuk saya kerana saya juga tidak mahu berpisah dengan kakak ipar dan anak-anaknya.

“Kakak ipar saya sangat rajin, dia melakukan semua kerja rumah seperti tidak ada apa-apa berlaku dalam rumah tangganya. Bezanya hanya abang saya yang tidak ada di dalam rumah bersama kami.

“Bangun pagi, dia membasuh pakaian, mengemas dan memasak seperti biasa. Kadang-kala saya kasihan tenguk dia bertungkus lumus bekerja sedangkan sebelum ini abang saya langsung tidak menghargainya.

“Sebagai wanita, saya sangat sedih dengan apa yang berlaku dan bersimpati dengan nasib bekas kakak ipar saya itu. Malah saya tidak menganggapnya sebagai bekas kakak ipar kerana dia sangat baik dengan saya.

“Sejak ibu bapa saya meninggal dunia, dialah yang menjaga saya dan menegur ajar saya macam adik sendiri. Budi dan jasanya terhadap saya sangat besar. Saya tidak akan lupa jasanya itu.

“Abang saya membenarkan dia tinggal di situ bersama anak-anak kerana rumah itu adalah harta sepencarian mereka dan saya diamanahkan menjaga mereka kerana saya juga tidak mahu berpindah dari rumah itu.

“Saya faham masalah kakak ipar, dia tidak bekerja, duit simpanan juga kurang, tentu sukar untuk hidup sendiri. Perbelanjaan untuk anak-anak sangat tinggi walaupun abang saya memberi duit bulanan untuk anak-anaknya.

“Alhamdulillah, saya harap abang akan memikul tanggungjawabnya dengan baik demi masa depan anak-anaknya. Saya juga akan membantu mana yang patut selagi saya terdaya kerana saya telah menganggapnya sebagai kakak saya sendiri.

“Apa yang berlaku di antara dia dengan abang saya, itu masalah mereka tetapi sebagai adik, saya sangat menyanjung wanita ini yang sangat kuat dan tabah.

“Saya pernah bertanya dia kenapa tidak berbalik dengan abang, jawapannya mudah sahaja, “kakak tidak mahu berkongsi kasih. Cukuplah sekali abang menipu kakak. Kakak tidak mahu perkara ini berulang lagi.”

“Lagipun dia sudah bahagia dengan isteri baharunya, buat apa lagi nak diganggu. Kakak akan teruskan hidup kakak dengan anak-anak. Insya-Allah semoga Allah bahagiakan akak,” itulah kata-katanya yang menyayat hati saya.

“Saya tidak menyalahkan abang saya, juga kakak ipar tetapi saya anggap jodoh mereka setakat itu sahaja. Tapi saya kagum dengan kesabarannya menangani masalah ini. Di peringkat awal, dia agak murung dan sukar menerima kenyataan abang saya kahwin lagi, tetapi lama kelamaan keadaan kembali normal.

“Kini, dia sudah menerima hakikat abang saya bukan miliknya lagi. Saya harap abang saya tidak akan melupakan tanggungjawabnya terhadap anak-anaknya yang masih bersekolah. Juga supaya dia akan terus menyara bekas isterinya yang kini menjadi tempat saya menumpang kasih.

“Saya akan menjaga kakak ipar dan anak-anaknya seperti keluarga sendiri kerana jasanya amat besar kepada saya. Semoga Allah permudahkan urusan hidup kami.” Nita menamatkan ceritanya.

Selesai membacanya, saya percaya ramai yang setuju cerita ini sangat menarik untuk dijadikan teladan. Biasanya setelah sesuatu perkahwinan itu gagal maka tempiasnya akan terkena juga kepada keluarga kedua-dua pihak.

Tetapi lain pula yang berlaku kepada Nita, hubungannya dengan bekas kakak ipar tidak terputus tetapi semakin kukuh sehinggakan Nita sanggup tinggal bersamanya dan menerimanya sebagai kakak kandung.

Saya bangga dengan sikap Nita, seorang adik ipar yang sangat prihatin dan mengenang jasa. Semoga lebih ramai yang bersikap seperti Nita dalam mengekalkan hubungan keluarga setelah berlaku perceraian.

Saya juga mendoakan agar abang Nita akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan seikhlas hati walaupun sudah mempunyai keluarga lain. Mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan hidup Nita dan kakak iparnya sekeluarga.

Menutup catatan pesanan saya, persahabatan dan ikatan keluarga itu akan bertahan kerana kasih sayang bukan disebabkan harta.

Salam

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman