Isnin, 2 Mac 2015

Keperluan kewangan ibu tunggal




Isteri yang kematian suami akan menghadapi masalah jika keluarga si mati campur tangan dalam isu pembahagian harta. – Gambar hiasan



KADAR perceraian yang tinggi dan keruntuhan sistem sokongan keluarga meningkatkan jumlah ibu tunggal di negara ini. 

Meskipun terdapat ibu tunggal yang berkahwin semula, masalah itu masih menjadi perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam menjaga kebajikan mereka.

Secara umumnya, wanita yang digelar ibu tunggal tergolong dalam beberapa kategori antaranya seperti wanita yang ditinggalkan oleh suami tetapi bukan melalui proses perceraian. 

Mereka ditinggalkan atas beberapa sebab seperti berlaku salah faham, pertengkaran atau suami berkahwin lain.

Terdapat beberapa kes isteri yang ditinggalkan suami menganggap mereka sudah bercerai sedangkan masih belum ada perintah perceraian. 



Apabila mereka ingin berkahwin semula, persoalan perundangan akan timbul kerana perceraian hanya boleh berlaku jika ada lafaz cerai atau perintah perceraian. Ini bermakna, selagi tidak ada perintah tersebut, wanita berkenaan masih dalam ikatan perkahwinan.

Keadaan menjadi lebih rumit jika wanita ditinggalkan dan terpaksa menjaga anak-anak yang masih memerlukan perbelanjaan. 

Dalam beberapa siri perbincangan dengan ibu-ibu yang ditinggalkan, tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang tidak mempunyai kelulusan akademik sukar untuk mencari kerja yang sesuai sehingga terpaksa membuat pelbagai kerja untuk membesarkan anak-anak.

Ibu tunggal yang masih bersuami mengadu bahawa mereka susah untuk mendapat bantuan kerana masih mempunyai suami yang secara umumnya suami itulah yang perlu mencari rezeki buat keluarga.

Prosiding

Walaupun dari sudut perundangan Islam, keluarga sebelah suami patut mengambil tanggungjawab tersebut. Namun, adalah sukar untuk membuat tuntutan jika hubungan kekeluargaan tidak begitu baik. Ini ditambah pula dengan prosiding tuntutan nafkah yang panjang.

Menerusi kajian yang dijalankan, pengetahuan ibu tunggal tentang hak membuat tuntutan terhadap ahli waris juga rendah.

Berbeza pula dengan ibu tunggal yang bercerai kerana status mereka agak jelas. Dalam undang-undang, mereka mempunyai hak untuk membuat tuntutan nafkah idah, mutaah dan pembahagian harta sepencarian jika mereka mempunyai harta yang dibeli semasa dalam perkahwinan.

Perhatian turut diberikan oleh agensi-agensi berkaitan seperti Pusat Pungutan Zakat meskipun bapa sepatutnya bertanggungjawab memberi nafkah anak. 

Walaupun terpaksa memikul tanggungjawab itu berseorangan, ibu tunggal yang bercerai lebih bernasib baik dari sudut bantuan yang dihulurkan terutama kepada anak-anak yang masih bersekolah.

Bagi wanita yang bercerai kerana kematian suami, mereka hilang sumber kewangan terutama dari sudut nafkah dan tidak boleh membuat tuntutan mutaah kerana suami sudah meninggal dunia. Mereka boleh tuntut harta sepencarian (jika ada) dan harta pusaka.

Banyak masalah timbul dalam kalangan balu termasuk campur tangan daripada keluarga suami yang tidak begitu faham tentang konsep pembahagian harta ataupun dalam hal lain, hubungan kekeluargaan yang tidak baik antara wanita tersebut dengan keluarga mertua.

Penama

Dalam beberapa kes yang diadukan, ramai yang tidak mengetahui bahawa isteri perlu membuat tuntutan harta sepencarian dahulu sebelum harta suami yang lain dibahagikan. 

Konsep penama yang diguna pakai oleh agensi kewangan juga disalahertikan. Bentuk operasi perkara ini perlu dilihat semula supaya ibu yang kematian suami mendapat pembelaan.

Lebih menyedihkan lagi jika suaminya mati mengejut seperti kematian yang melibatkan kemalangan. Terdapat juga kes waris mendapatkan perintah pembekuan harta si mati sementara menantikan proses pembahagian harta selesai.

Jika semua harta si mati dibekukan tanpa mengambil kira keperluan isteri yang ditinggalkan selain isteri menanggung anak-anak atau mengandung, maka ianya menjejaskan kebajikan isteri terutama dari sudut kewangan.

Gambaran di atas menunjukkan beberapa kisah masyarakat yang timbul melibatkan isu-isu perundangan yang perlu diberi perhatian kerana keadaan sedemikian menjejaskan keperluan kewangan ibu tunggal sama ada mereka ditinggalkan di atas sebab yang pelbagai.

Masalah akan menjadi lebih rumit jika ia melibatkan anak-anak yang memerlukan bantuan kewangan besar.
Ramai dalam kalangan graduan universiti yang terpaksa mencari pekerjaan tambahan disebabkan ibu bapa bercerai dan hilang sistem sokongan keluarga.



Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman