Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30/03/2015
ALOR SETAR 29 Mac – Cik Su (bukan nama sebenar) berasal dari Sik berusia awal 50-an dan bergelar isteri kepada seorang warga asing yang berasal dari Myanmar berusia awal 30-an.
Cik Su semasa menceritakan pengalamannya menjadi isteri warga Myanmar kepada wartawan Utusan, Safina Ramli (kiri), baru-baru ini.
Cik Su mengambil keputusan untuk berkahwin dengan suaminya yang 20 tahun lebih muda daripadanya kerana mahu menamatkan status janda yang dipegang selama dua tahun sejak suaminya, seorang rakyat tempatan meninggal dunia.
Cik Su yang merupakan seorang peniaga berkata, dia berkenalan dengan suaminya ketika bertugas sebagai tukang masak di sebuah tapak pembinaan rumah.
“Suami saya bekerja sebagai buruh kontrak di situ dan kami berkenalan sebagai rakan biasa sahaja namun lama-kelamaan suami melamar saya.
“Saya setuju kerana saya telah lama menjanda dan dugaan sebagai janda sangat hebat, jadi dengan berkahwin saya rasa lebih selamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Perkahwinan yang dibina sejak lapan tahun lalu bahagia pada awalnya namun kini Cik Su terpaksa menanggung keperitan apabila suami mudanya itu mula membuat onar dengan menjalin hubungan dengan wanita lain.
“Dugaan dalam perkahwinan saya mula timbul sejak akhir-akhir ini apabila suami saya ada skandal dengan wanita lain yang jauh lebih muda daripada saya.
“Wanita tersebut pula merupakan rakan senegaranya dan suami saya mula mengugut untuk pulang kembali ke negaranya. Malah, dia beritahu saya dia juga ada isteri dan dua orang anak di sana. Saya sangat terkejut mendengar pengakuannya,” jelasnya.
Katanya, pergaduhan antaranya dan suami sering berlaku dan dia tidak tahu apa akan berlaku pada perkahwinannya pada masa depan jika suaminya benar-benar pulang ke negara asal.
“Yang manis mesti akan ada yang pahit akhirnya, sesiapa yang berkahwin dengan lelaki warga asing jangan sayang mereka 100 peratus kerana pada bila-bila masa kita akan ditinggalkan.
“Kita pun tidak tahu mereka kahwin dengan kita sebab benar-benar sayangkan kita atau sekadar ingin memudahkan hidup mereka di sini, saya sebenarnya sudah hilang rasa cinta terhadap suami, cuma sekarang saya berserah nasib pada jodoh dan takdir,” jelasnya.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan