Saya ada berjumpa dengan isterinya tetapi isterinya tidak kisah sekiranya suaminya mempunyai wanita lain atau membuat maksiat asalkan tidak bercerai dengannya dan memberikan nafkah anak. Adakah isteri sebegini dianggap bersubahat kerana saya telah menunjukkan banyak bukti bahawa suaminya mempunyai ramai teman wanita dan tinggal serumah? Teman lelaki saya sering membuat perbezaan antara saya dengan isterinya yang tidak mengongkongnya langsung.
- Zarrah, Cheras.

UKE: Apabila status perkahwinan dipermainkan walaupun dengan tujuan bergurau, perkara ini boleh menjadi satu kenyataan dan menyebabkan perkahwinan itu terbubar dengan tidak disedari. Maka seorang suami hendaklah berhati-hati dalam setiap perkataan yang melibatkan lafaz cerai, rujuk atau nikah. Dalam masalah puan, si lelaki tersebut hendaklah diadukan perangainya kepada pejabat agama untuk menentukan status perkahwinannya kerana hanya pihak berkuasa agama dan hakim yang menentukan terjadinya perceraian atau tidak.

Lebih baik sekiranya Zarrah mencari lelaki lain yang lebih berakhlak untuk dijadikan suami. Bagi isterinya pula dikira bersubahat kerana mendiamkan soal hukum malah sepatutnya dialah yang mempertahan dan berusaha untuk tidak terlibat dengan persoalan cerai yang dimain-mainkan.


2. Terlalu minat dengan artis

Saya meminati seorang artis bukan Islam tetapi tidak pernah bersua muka, sebaliknya hanya mengenalinya melalui rancangan realiti televisyen. Saya amat meminatinya sehingga berdoa agar dijodohkan dengannya dan dapat membimbingnya ke jalan Islam. Hati saya sering berdebar dan akan berselawat menyebut “ma fi qalbi ghairullah” setiap kali mengingatinya.
Apa yang saya bimbang, sekarang saya mungkin amat meminati artis itu tetapi bagaimana kalau suatu hari nanti saya tawar hati kepadanya tetapi Allah sudah makbulkan doa saya?
- Mini, Kuala Lumpur

UKE: Niat Mini untuk membimbing artis bukan Islam itu ke arah Islam sangat mulia tetapi yang menjadi persoalan ialah kemampuan Mini untuk mentarbiah lelaki tersebut. Alangkah indah dan mudahnya kalau Mini mencari lelaki yang boleh menjaga Mini dalam soal agama dan kehidupan. Sebab itu, antara yang disuruh ialah soal kufu dalam pemilihan jodoh.
Antara perkara kufu ialah seorang suami mempunyai pengetahuan agama untuk mendidik isterinya. Jika Mini tetap untuk meneruskan hubungan dengannya, dinasihatkan supaya Mini memantapkan soal agama dalam diri Mini dan dalam masa yang sama, lelaki tersebut juga berusaha untuk mendalami agama. Jika Mini telah tawar hati kepadanya, itu tidak menjadi masalah kerana bukanlah wajib untuk Mini berkahwin dengannya.

3. Harta pusaka perlu difaraid

Saya ingin bertanya status harta dan hasil tanah yang ditanam kelapa sawit kepunyaan arwah ibu saya. Semasa hidup, ibu tidak membuat wasiat atau faraid pada tanah tersebut tetapi selepas ibu meninggal dunia, saya memohon sebagai pemegang mutlak tanah tersebut dan hasil kelapa sawit diberikan kepada saya tiga kali setahun.
Apakah status tanah itu? Pusaka atau tidak? Adakah hasil mesti dibahagikan sama rata dengan adik-beradik yang lain?
- Yatt, Johor.
UKE: Tanah tersebut hendaklah difaraidkan mengikut sistem pusaka kerana tiada wasiat dibuat. Jika Yatt ingin memiliki tanah tersebut, hendaklah mendapat izin daripada seluruh ahli waris dan dengan keizinan mereka secara suka hati menyerahkan tanah tersebut kepada Yatt dan ditukar hak milik atas nama Yatt. Mungkin Yatt juga boleh membeli tanah tersebut daripada mereka dan wangnya dibahagi-bahagikan sesama ahli waris. Itupun jika mereka bersetuju dan harga tanah tersebut ditolak daripada hak Yatt dalam membayar kepada mereka.

4. Solat sunat taubat selepas solat fardu

Bolehkah solat sunat taubat dilakukan sebelum dan selepas solat fardu iaitu sejurus selepas memberi salam? Ia dilakukan kerana rasa tidak tenteram disebabkan maksiat yang telah dilakukan.
- Harm, Johor
UKE: Boleh dilakukan melainkan pada waktu-waktu yang dilarang seperti selepas solat Subuh atau selepas solat Asar atau ketika matahari tegak di kepala dan pada waktu lain yang dilarang mengerjakan solat sunat.

5. Qada’ zakat fitrah
Suami saya baru meninggal dunia. Arwah menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana menghidap penyakit jantung berlubang. Saya ada terbaca orang yang tidak mampu dikecualikan membayar zakat fitrah. Namun, sebelum meninggal dunia, arwah sentiasa membayar zakat fitrah untuk kami sekeluarga semasa hari raya. Saya khuatir arwah tidak membayar zakat pada tahun lepas. Apa patut saya lakukan?
- Azren Haqimi, Kedah
UKE: Anda boleh menqada untuk membayarnya sekiranya anda ragu-ragu arwah suami tidak membayar zakat pada tahun lepas.

6. Hukum simpan patung dalam rumah
Apa hukum menggantung gambar binatang dalam bingkai atau meletakkan patung seperti ayam, itik dan chef sebagai hiasan dalam rumah?
- Eme, Ipoh, Perak.
UKE: Lebih molek anda menggantung kalimah-kalimah suci atau pemandangan keindahan alam dan gambar-gambar ciptaan Allah yang melambangkan kebesaran Allah daripada menggantung gambar-gambar yang melibatkan makhluk bernyawa. Ulama berselisih pendapat dalam soal menggantung gambar. Ada yang mengharuskannya dan ada juga yang mengharuskan jika gambar tersebut tidak melengkapi seluruh tubuh. Malah ada yang melarang secara mutlak. Ia menjadi haram apabila ada unsur-unsur pemujaan dan penyembahan pada gambar tersebut.
Saya menasihatkan, jika puan ingin meletakkan gambar manusia sebagai contoh, letakkanlah sebagai gambar yg tidak berbayang dan tidak mencukupi sebagai satu keseluruhan tubuh badan. Bagi patung pula, hanya diharuskan kepada patung permainan untuk anak-anak kecil atau patung yang diletakkan di luar rumah yang bukan sebagai tempat penghormatan atau pemujaan terhadap patung tersebut walaupun di luar rumah. Elakkan meletakkan patung di dalam rumah.

7. Makan ayam sembelihan perempuan tidak tutup aurat
Apa hukumnya memakan daging ayam yang disembelih oleh perempuan yang tidak menutup aurat?
- Mohd. Tahir Aman,
Muar, Johor.
UKE: Hukum wanita menyembelih binatang adalah harus dengan syarat-syarat berikut: Berakal, mumayis, Islam dan tidak disembelih atas nama dan tujuan selain kerana Allah.

8. Ibu angkat tidak hormat hibah
Saya ada kemusykilan tentang hibah. Arwah bapa angkat saya telah membuat pembahagian tanah yang diukur mengikut kiraan sendiri dan tidak melalui pejabat tanah. Arwah telah memberikan bahagian sama rata kepada saya dan kakak angkat saya manakala bahagian yang lain kepada anak kandungnya.
Apabila bapa angkat saya meninggal dunia, ibu angkat saya telah membuat tuntutan semua harta pusaka tersebut kepada anak kandungnya? Apakah hukumnya di akhirat kelak?
Noor, Kedah.
UKE: Adakah selepas pembahagian tersebut arwah ayah angkat anda telah menukar nama tanah tersebut kepada anda dan kakak angkat anda? Inilah yang paling penting.
Sebab, apabila nama itu telah ditukar nama kepada anda, maka tidak sesiapa lagi yang boleh menafikan hibah tersebut tetapi jika arwah ayah angkat anda tidak berbuat demikian dan dia pula meninggal selepas itu, maka akan timbullah konflik yang anda hadapi sekarang.
Sebenarnya pembahagian hibah itu adalah sah kerana harta itu adalah hak mutlak ayah angkat anda dan diberinya pula ketika dia masih hidup.
Sepatutnya ibu angkat anda meneruskan hajat suaminya itu. Tetapi mungkin kerana tidak ada bukti pemberian hibah, maka tanah itu diserahkan kepada anak kandungnya. Jika anda ingin mendapatkan tanah tersebut, perlulah anda mengemukakan saksi dan bukti untuk menyokong keterangan anda di mahkamah.

9. Kecil hati dengan suami
Saya berkahwin atas dasar cinta tetapi pada malam pertama suami kata dia tidak pernah berniat hendak berkahwin dengan saya tetapi dengan wanita yang dikenalinya selepas kami bertunang. Pada mulanya saya ingat dia bergurau tetapi setiap kali kami berselisih faham, dia akan mengatakan dia tidak pernah ingin mengahwini saya kerana saya dari keluarga susah dan tidak berpelajaran. Ada tak doa untuk saya amalkan bagi menenangkan hati yang selalu sedih kerana sentiasa terkenang kata-kata suami kepada saya.
- Kak Pah, Perlis.
UKE: Surah as-Syura ayat 19. Baca 19 kali setiap kali selepas solat.