Rabu, 25 Mac 2015

Bendung keganasan rumah tangga

Tanpa penguatkuasaan, undang-undang tiada bermakna

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 25/03/2015

SAYA percaya kita semua membaca kisah seorang isteri cuba menyelamatkan diri daripada bekas suaminya sehingga cedera parah. Wanita malang itu baru sahaja bercerai kali ketiga dengan bekas suaminya itu. Beliau dilaporkan telah terjun daripada kereta bekas suaminya selepas dipaksa naik.

Menurut kisahnya, sepanjang tempoh perkahwinan, wanita itu telah didera hebat malah selepas perceraian pun, bekas suami itu sudah beberapa kali datang ke rumah, menderanya dan cuba membunuhnya.

Peristiwa ini bukan yang kita tonton dalam drama televisyen tetapi adalah satu realiti kehidupan. Secara munasabahnya kita akan terfikir betapa nekadnya wanita ini mengambil keputusan yang sudah pasti membahayakan diri.

Insiden tragis ini membuat kita terfikir kenapa seorang manusia sanggup melakukan kekejaman kepada manusia lain sedemikian rupa. Dalam perkahwinan suami isteri berjanji melalui akad nikah untuk mengambil tanggungjawab bersama.

Suami isteri mempunyai tanggungjawab yang jelas dan saling memerlukan antara satu sama lain. Ikatan tanggungjawab ini diperkukuh dengan kasih sayang kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: ..dan jadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang... (al-Rum:21)

Persoalan yang sering kita tanya ialah ke manakah perginya kasih sayang dan cinta itu? Mungkinkah pasangan yang dahulunya tidak boleh bernafas atau tidak kenyang jika tidak melihat wajah orang yang dicintainya atau tidak lena tidurnya kerana tidak mendengar suara, namun apabila sudah berkahwin, tiba-tiba menjadi benci.

Apa yang menyedihkan, apabila salah seorang pasangan yang saling cinta mencintai semasa berkahwin itu menjadi ganas dan ada yang sanggup memukul pasangannya yang satu lagi.



Di Malaysia isteri yang menjadi mangsa keganasan suami dilindungi melalui Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Ini menunjukkan bahawa ia bukan fenomena baharu di negara ini. Akta ini diluluskan pada masa kes-kes keganasan rumah tangga sedang memuncak dengan harapan ia dapat dikekang.

Namun sehingga hari ini, kes-kes keganasan rumah tangga semakin meningkat dan membimbangkan. Bagi saya peningkatan bukan bermakna ia sesuatu yang tidak baik. Meningkat boleh bermakna:

Ramai mangsa telah berani tampil ke hadapan membuat laporan mengenai keganasan suami di mana suatu masa dahulu ramai mangsa menderita dalam senyap.

Akta yang diluluskan pada 1994 tidak berkesan dan perlu ditambah baik.

Kegagalan pihak berkuasa seperti polis dan orang ramai dalam menentang keganasan terhadap isteri dan melihatnya sebagai asam garam kehidupan.

Jika diamati Akta ini telah memberi takrifan yang luas kepada perkataan keganasan dalam seksyen 2 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (termasuk pindaan 2012) sebagai satu perbuatan atau lebih yang berikut:

Secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan atau cuba meletakkan mangsa itu dalam keadaan ketakutan fizikal.

Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal.

Memaksa mangsa itu dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan, berbentuk seksual ataupun selainya, yang mangsa itu berhak tidak melakukan.

Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa itu.

Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu.

Menyebabkan penderaan psikologi yang termasuklah kecederaan emosi kepada mangsa.

Menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lain tanpa kerelaan mangsa atau jika kerelaan diberikan, kerelaan itu diperoleh dengan cara yang menyalahi undang-undang; atau

Dalam hal jika mangsa adalah seorang kanak-kanak, menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lain.

Akta ini mesti dibaca bersama dengan Kanun Keseksaan [Akta 574] atau mana-mana undang-undang bertulis yang melibatkan kesalahan yang berhubungan dengan keganasan rumah tangga. Ini bermakna keganasan rumah tangga tidak dijadikan sebagai satu kesalahan dan Kanun Keseksaan tidak ada peruntukan spesifik tentang kesalahan keganasan rumah tangga.

Perlakuan tersebut mestilah berada dalam kategori “keganasan rumah tangga” yang diperuntukkan di bawah seksyen 2 dan terdapatnya peruntukan yang berkenaan dengan kesalahan tersebut dalam Kanun Keseksaan.

Akta Keganasan Rumah Tangga adalah sebuah akta yang terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam. Dengan demikian, ia termasuk dalam kategori yang boleh dibawa ke Mahkamah Sesyen atau Tinggi walaupun ia melibatkan pasangan beragama Islam yang berkahwin di bawah Undang-undang Islam.

Keganasan bukan sahaja dalam hal kecederaan fizikal tetapi emosi, mental dan seksual. Ramai yang merasakan Akta ini satu undang-undang yang sangat baik, namun bagi mangsa walau macam mana baik pun suatu perundangan, jika pelaku atau suami yang ganas tidak merasa gentar dengan undang-undang tersebut kerana penguatkuasaan yang tidak mencukupi atau berkesan, maka undang-undang akan hanya tinggal undang-undang.

SETIAP hari kita membaca kes keganasan suami terhadap isterinya dan setiap hari kita tertanya-tanya, “Adakah suami ini tidak takut dengan undang-undang yang sedia ada?” atau “Kenapa polis tidak mengambil tindakan segera terhadap pelaku?”.

Sebenarnya keganasan rumah tangga bukan semudah yang sering diperkatakan. Oleh kerana pelaku dan mangsa adalah orang yang berkahwin dan biasanya berkahwin atas dasar cinta, maka apabila ia berlaku, ramai yang beranggapan ia suatu yang tidak disengajakan atau kemalangan.

Sebagai suami isteri, pada kebiasaannya mereka hidup dengan kasih sayang dan pukul memukul itu adalah sesuatu yang tidak patut berlaku dan jika berlaku ia tidak disengajakan. Ada suami yang memberi alasan, isterinya suka menjawab atau bertikam lidah dengannya sehingga dia hilang kesabaran dan “tertampar” isterinya itu.

Masalahnya daripada “tertampar” kepada “tertumbuk” dan akhirnya ada yang “tertikam dan terbunuh”. Adakah sebagai seorang isteri, alasan suami seperti itu menunjukkan suami masih sayangkan isteri dan rumah tangga dan isteri perlu bersabar serta berdoa dan bertawakal sahaja? Hanya kerana selepas segala “ter”, si suami akan menyesal dan memohon maaf. Di pihak isteri pula, diharap boleh dan mesti memaafkan dan melupakan demi masa depan rumah tangga mereka.

Isteri akan memikirkan rasa malu diceraikan suami kerana dia membuat aduan keganasan suami atau isteri perlu menjaga keburukan suami kerana merasakan ia adalah rahsia rumah tangga atau mengutamakan kebajikan anak-anak, berbanding dirinya sendiri.

Suatu dosa

Dalam Islam, suami yang mendera isterinya secara sengaja atau tidak tetap melakukan suatu dosa kerana tugas utama suami ialah melindungi isterinya dan bukan menyakiti kaum yang lemah ini. Malah, dalam taklik yang dibaca suami sebaik selepas akad nikah “…dan jika saya lazim menyakiti….” Jelas menunjukkan bahawa perbuatan mencederakan isteri atau keganasan ini bukan perkara yang dihalalkan oleh Islam.

Memukul isteri untuk mendidiknya sama dengan merotan anak untuk mendidiknya. Hari ini rata-rata orang Islam enggan menerima hakikat bahawa merotan anak sehingga mencederakan adalah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam, sama seperti memukul atau mencederakan isteri secara sengaja untuk ‘mendidik’ atau ‘mengajar’.

Ingatlah, suami dan bapa, anda mempunyai tanggungjawab besar kepada Islam iaitu membentuk ummah yang kuat dan beriman. Kekuatan ummah dan keimanan itu tidak dapat lahir daripada rasa terancam, takut dan benci.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman