Jumaat, 6 Mac 2015

Kerana cinta emak tinggalkan anak

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 15/02/2015


keluarga 

“MUNGKIN tidak keterlaluan jika saya katakan ruangan ini sering membicarakan masalah rumahtangga dan tempat kaum wanita meluahkan isi hati khususnya isteri yang kecewa dengan sikap suami dan bekas suami yang tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, juga sebagai ayah kerana tidak beri nafkah anak-anak yang ditinggalkan selepas bercerai.

“Tetapi minggu ini saya minta izin untuk meluahkan isi hati saya yang kecewa dengan sikap sesetengah ibu yang sanggup tinggalkan anak kerana masalah rumah tangga dan kerana ingin mengejar cinta kekasih hati.’’ Itu luahan hati Nurul Eziaty dalam e-melnya.

“Saya tak mahu membicarakan masalah rumah tangga, kerana sudah ramai pembaca sedia maklum. Tetapi saya ingin menarik perhatian pembaca dengan memperkatakan mengapa ada isteri sanggup tinggalkan anak-anak semata-mata kerana cintakan lelaki lain.

“Emak tingalkan kami ketika saya berusia 10 tahun, kakak 12 tahun dan adik baru 7 tahun. Ketika itu kami tak tahu punca sebenar, tetapi kami tahu mereka selalu bergaduh. Kami tak tahu sebabnya kerana kalau bertengkar mereka cakap bahasa Inggeris. Saya tak faham. Kata kakak bahasa Inggeris mereka tunggang langgang, sebab mereka tak mahu kami dan jiran tahu. Tapi kami nampak emak menangis. Mereka menengking sesama sendiri.

"Ayah marah sebab emak selalu kerja malam dan emak jarang jarang masak. Emak beri kami duit untuk makan tengah hari di sekolah. Untuk makan malam terpaksalah ayah beli nasi goreng, mi goreng atau apa saja yang kami mahu. Itu yang buat ayah marah. Kata ayah kalau emak tak masak seminggu dua tak apalah, ini setiap hari tak masak.

“Sedangkan emak masuk kerja pukul dua petang dan dia boleh masak dulu sebelum pergi kerja. Bukan nak lauk sedap-sedap memadai kami anak-anak boleh makan. Jadi ayah tak terkejar-kejar beli makanan untuk kami makan malam.



“Kalau kerja malam pun ada ketikanya boleh tukar shift kerja pagi. Tetapi emak suka kerja malam. Ayah pernah suruh emak berhenti kerja, tetapi emak tak mahu. Sebenarnya kami tak tahu masalah sebenar emak dan ayah ayah. Tetapi setiap hari bila ayah belikan makanan pasti ayah membebel jadi kami dengar semua rungutan ayah.

“Agaknya berbulan-bulan keadaan seperti itu menyebabkan ayah mengamuk. Akhirnya emak tukar kerja siang tetapi selang seminggu kerja malam bergilir-gilir. Walaupun keadaan aman sementara tetapi ayah masih tak puas hati. Kata kakak akhirnya mereka bercerai dan emak tinggalkan kami dengan ayah. Kami menangis. Tapi kata emak, kalau kami tinggal dengan ayah makan minum kami terjaga, kami boleh sekolah, tetapi dengan emak belum tentu lagi. Sebab gaji emak kecil, jadi kami mesti duduk dengan ayah, bila dah besar emak ambil kami. Itu janji emak.

“Adik paling teruk menangis sampai demam. Tetapi ayah cepat-cepat pujuk dan berjanji hantar kami duduk dengan emak bila emak dah dapat rumah sendiri. Tetapi janji tinggal janji. Ayah tak pernah sebut pasal nak hantar kami ke rumah emak. Sebaliknya ayah yang uruskan makan minum kami dan hantar kami ke sekolah.

“Bila cuti sekolah ayah hantar kami balik kampung duduk dengan tok. Lama kelamaan kami lupa tentang emak. Kerana emak cuma sesekali telefon kami tapi tak pernah jumpa pun.

“Kadang kala bila ayah kerja luar tok datang dengan makcik temankan kami dan hantar kami ke sekolah. Memang seronok duduk dengan tok tetapi tak boleh lama. Walaupun awalnya kami kecewa kerana emak tinggalkan kami, tetapi dengan nasihat tok kami segera lupakan. Atas nasihat tok, kakak berjaya masuk sekolah berasrama ketika masuk ke tingkatan empat. Tinggalkah saya berdua beradik.

“Masa berlalu begitu pantas, akhirnya kami semua membesar bersama ayah. Habis tingkatan lima kakak masuk kolej, masa cuti kami balik kampung, tapi kakak sibuk dengan kawannya.

“ Bila saya tamat tingkatan lima emak telefon mengajak saya berjalan ke rumahnya. Sebenarnya saya tak berapa suka sebab saya dapat tahu emak sudah kahwin lain dan sudah ada anak. Lagi pun rasanya hubungan kami tidak semesra ketika kami kecil dahulu. Sebab kami rapat dengan ayah dan tok. Tetapi kerana emak memujuk saya pergi juga.

“Mulanya memang ayah tak izinkan, walaupun bukan untuk tinggal dengan emak, berjalan pun ayah tak suka. Kata ayah bila anak dah besar baru emak kenal kami. Saya serba salah. Kerana emak telefon berkali-kali, akhirnya saya minta izin ayah untuk berjalan ke rumah emak.

“Dalam perjalanan saya berfikir panjang, mengapa mereka bercerai, dan kenapa emak sanggup tinggalkan kami yang masih kecil. Rasanya ayah bukan kaki pukul isteri seperti ayah kawan saya. Cuma ayah suka marah dan berleter kerana emak bekerja hingga jauh malam.

Pengamatan

“Kata tok, mereka dah tak ada jodoh, lagi pun emak nak kahwin lain. Alasan tok, kalau ayah ada kekasih tentu ayah dah lama kahwin. Tetapi hingga saya habis tingkatan lima pun ayah tak kahwin lain. Kata tok, ini kerana ayah lebih pentingkan masa depan anak-anak. Ayah tak mahu kami dianiaya ibu tiri. Biar susah asalkan anak-anak hidup aman. Kerana itu juga tok nasihatkan saya supaya jangan degil mesti dengar nasihat ayah.

“Perjalanan memang jauh, kami nun di utara, emak dah pindah duduk di pinggir KL. Sebelum itu emak duduk di utara juga. Tapi setelah dapat kerja lain emak pindah. Ketika di sekolah menengah saya dengar Tok bercerita bahawa emak dah kahwin lain. Ketika itu memang saya rasa sedih, rasanya kami memang tak boleh berjumpa lagi.

“Tiba di stesen kereta api, kami berpelukan melepaskan rindu. Kemudian emak bawa ke rumahnya. Mak minta saya duduk sebulan dua sementara tunggu keputusan SPM, tapi saya tolak, kerana adik masih belajar dan saya perlu uruskan makan minumnya.

“Dari pengamatan saya ketika itu emak mungkin tidak gembira, walaupun sudah ada seorang anak, tetapi suami emak masih saya tak nampak hingga malamnya. Kata emak suaminya ada kerja lain waktu malam, nak cari duit lebih. Rumah emak walaupun ada tiga bilik tetapi dua bilik kosong. Perkakas rumah ala kadar. Tidak seperti rumah kami dulu semuanya lengkap.

“Janji pada ayah cuma semalam sahaja, tetapi emak tahan hingga dua malam. Dan emak ambil cuti kerana kehadiran saya. Kesempatan itu saya gunakan bertanya emak beberapa soalan cepu emas. Ada yang emak tak mahu jawab. Katanya bila saya kahwin nanti saya akan tahu sebab suami isteri bertengkar. Tetapi saya tahu emak kesal tindakannya.

“Emak beritahu anak kecilnya berusia empat tahun itu bukan anak suami sekarang. Anak suaminya terdahulu. Kata emak dengan suami ketiganya baru dua tahun berkahwin. Amat menyedihkan emak bermadu. Emak tak berterus terang, tetapi bila saya teka emak tak nafikan.

“Cerita emak suaminya kerja malam, cuma omongan. Walaupun emak tak bercerita, tetapi saya boleh teka. Saya dapat rasakan perasaannya. Kata emak dia bangga kakak dapat masuk kolej, dan emak doakan saya juga masuk kolej, itulah sebabnya emak tak bawa kami ketika emak bercerai dulu. Emak tak mahu pelajaran kami tergendala.

“Tetapi pernahkah emak terfikir jika ayah kahwin lagi? Apa jadi dengan kami, tentu tidak seperti sekarang? Pada saya pengorbanan ayah amat besar. Tetapi mengapa emak tak mahu berkorban? Kalau ayah tak suka emak kerja malam, emak berhenti biar ayah tanggung semua. Apakah emak fikir hidup susah jika tak bekerja, rasanya sekarang pun hidup emak lebih susah. Sampai bila emak mesti bekerja untuk menanggung anaknya yang masih kecil itu?

“Kini saya sudah bekerja. Saya terfikir emak telah tersilap langkah. Kerana mengikut kata hati dan mengejar cinta, hidupnya lebih susah daripada bersama ayah dahulu. Memang hidup berumah tangga ada senang dan ada susah. Di situ letaknya pertimbangan seorang suami dan isteri. Lebih penting sanggup berkorban sama sama susah. Selagi ayah tidak ada masalah dengan wanita lain di luar rumah, sewajibnya emak bersabar. Jangan ikut rasa cinta akhirnya menderita, itulah yang terjadi pada emak kini.

“Kini emak tak boleh menyesali nasibnya, ‘nasi sudah tumpah ke tanah’. Emak terpaksa terima ujian Allah, mungkin ada rahmatnya.’’ Itu cerita Nurul Eaziaty tentang nasib emaknya untuk dia jadikan iktibar juga kepada beberapa orang kawan perempuannya di pejabat yang bergelar isteri tetapi sedang melayan cinta suami orang.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman