Ahad, 8 Mac 2015

Suami ugut cerai jika keluar rumah

Oleh : Dr Abdul Salam Muhammad Shukri
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 12/12/2014


Saya ingin tahu berkaitan dengan cerai taklik. Pada satu malam, kami bertengkar kerana atas sebab saya hendak ke rumah keluarga saya, tetapi suami melarang.

Kami bertengkar di depan rumah dan suami melafazkan: "Kalau kau keluar juga, aku ceraikan kau."

Selepas itu saya keluar dari rumah dan keluar dari pagar rumah, lalu suami saya menghidupkan enjin motosikal dan menghantar saya ke rumah keluarga saya.

Dalam situasi ini, macam mana status perkahwinan kami?

Apa hukumnya dan apa yang perlu kami buat?

Rara
Kuala Lumpur



Pada pandangan saya, kata-kata yang dikeluarkan suami bukan bermaksud perceraian, tetapi berbentuk ugutan. Ia dikeluarkan akibat marah atas perselisihan faham dan berlaku pertengkaran antara anda berdua.

Kata-kata itu lebih kepada berbentuk ugutan semata-mata. Bagaimanapun, kata-kata cerai sepatutnya tidak dipermain-mainkan sama sekali.

Lafaz yang disebut suami di atas ada dalam bentuk ugutan, iaitu: "Kalau kau keluar juga, aku ceraikan kau." Dan ia bukan taklik (bersyarat).

Contoh taklik dalam kes ini ialah "Kalau kau keluar juga, tercerai atau tertolaklah kau." Semasa anda keluar, suami tidak melafazkan lafaz cerai atau talak ketika anda keluar rumah itu. Malah suami pula yang menghantar anda ke rumah keluarga.

Sememangnya anda berdua perlu berhati-hati supaya perbalahan tidak berlaku selepas ini. Ugutan cerai tidak sepatutnya dibuat.

Ambillah pengajaran daripada apa yang berlaku. Dengan kata-kata lain, status anda sebagai suami isteri masih kekal.

Sebarang pertanyaan, sila e-mel kepada: fikrah@mediaprima.com.my

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman