Isnin, 2 Mac 2015

Persoalan sah taraf anak

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 06/02/2015



PERBICARAAN tentang sah taraf anak di mahkamah bukan sesuatu yang mudah. – Gambar hiasan


REMAJA mengandung anak luar nikah menjadi satu kebimbangan besar dunia sama ada di negara Islam atau bukan Islam.

Malah, ada isteri mengandung kerana curang, sekali gus menyebabkan bilangan anak tidak sah taraf bagi golongan sudah berkahwin turut me­ningkat.

Kebiasaannya, pihak bapa tidak mahu memberi nafkah kepada anak kerana berasakan bahawa anak tersebut bukan zuriatnya dan ia memberi maksud bahawa isterinya berkemungkinan mempunyai hubungan sulit de­ngan lelaki lain.

Fenomena ini juga telah membangkitkan perbincangan antara alim ulama tentang prinsip yang harus dipakai dalam merungkai masalah tersebut.

Selain melibatkan keraguan tentang sah taraf anak, dalam jangka waktu yang lebih panjang ianya akan menjejaskan kebajikan anak tersebut daripada sudut keperluan fizikal se­perti nafkah dan stigma masyarakat yang prejudis terhadap status anak berkenaan.

Dalam Undang-Undang Islam, terdapat perbezaan pandangan bagi menentukan sah taraf anak terutamanya dalam mazhab Hanafi dan Shafie. Ia berkait dengan penggunaan dalil daripada sumber yang sahih dan bagaimana pentafsiran kepada sumber itu dibuat.


Mahzab

Terdapat hadis Rasulullah SAW yang berbunyi ‘al waladu lil firash’ iaitu kebapaan anak itu dipunyai oleh mereka yang tidur di atas katil tersebut menerusi perkahwinan.

Pandangan ini tidak menentukan tempoh kehamilan dan selagi mana wujudnya perkahwinan sebelum anak itu lahir, maka sah taraf atau kebapaan anak tersebut ditentukan kepada bapa yang telah menyebabkan kehamilan. Pandangan ini dipelopori oleh mazhab Hanafi.

Pandangan lain pula ialah melihat kepada tempoh kehamilan atau pengakuan lelaki yang mendakwa dia bapa anak itu atau dengan mengemukakan bukti.

Usia kandungan bermaksud tempoh kehamilan sebelum kelahiran bayi. Pandangan ini berdasarkan kepada ayat al-Quran surah al-Ahqaf ayat 15 yang menyebut bahawa tempoh kehamilan dan penyusuan ialah 30 bulan.

Tempoh penyusuan ialah 24 bulan maka baki enam bulan tersebut diambil kira dalam menentukan sah taraf anak. Pandangan ini dipakai oleh kebanyakan mazhab terutamanya mazhab Shafie yang menjadi asas kepada undang-undang di Malaysia kepada orang Islam khususnya.

Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri mempunyai peruntukan yang jelas tentang tempoh kehamilan iaitu mengehadkan tempoh itu kepada enam bulan ke atas.

Hal ini bermaksud sekiranya anak itu lahir enam bulan selepas tarikh perkahwinan, dia dianggap sebagai anak yang sah kecuali pihak suami membuktikan bahawa isterinya telah melakukan zina dan hamil selepasnya.

Undang-undang untuk orang Islam di negara ini menggunakan hukum yang sama dalam menyelesaikan pertelingkahan berkaitan taraf anak. Namun, seorang lelaki boleh menafikan nasab seorang kanak-kanak kepadanya melalui li’an iaitu proses penafian anak di mahkamah.

Undang-Undang Islam yang terpakai di negara ini menyatakan: “Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan sama ada disebabkan kematian lelaki itu atau perceraian dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak berkenaan. Namun, lelaki itu boleh dengan cara li’an atau kutukan untuk menafikan anak tersebut sebagai anaknya di hadapan mahkamah.”

Melalui peruntukan ini, terdapat beberapa kes yang telah dibawa ke Mahkamah Syariah dalam usaha untuk menafikan anak tersebut dan ia bukan satu proses yang mudah.

Teknologi terkini seperti penyepadanan asid deoksiribonukleik (DNA) boleh diterima pakai ha­nya sebagai sokongan. Pernah juga mahkamah menolak penggunaan DNA terutama jika prosedur kaedah penggunaannya tidak dipenuhi. Kebanyakan kes berkisar dalam tuntutan nafkah anak yang dikaitkan dengan cubaan untuk menafikan sah taraf serta menidakkan hak anak terhadap harta pusaka si mati.

Dalam konteks pemakaian undang-undang di Malaysia, tempoh kehamilan sama ada selepas berkahwin atau selepas bercerai adalah penting untuk diperhalusi.

Sindiket perkahwinan

Sementara itu, kaedah pengakuan juga dapat mengesahkan nasab anak sekiranya beberapa syarat telah dipenuhi seperti usia bapa dan anak adalah munasabah untuk hubungan itu wujud, bapa dan ibu kanak-kanak tersebut masih suami isteri semasa janin terbentuk.

Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan yang menyebabkan kelahiran anak dalam tempoh enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak berkenaan.

Keadaan ini biasanya melibatkan perkahwinan yang dilangsungkan tetapi dibatalkan kerana tidak memenuhi rukun perkahwinan seperti perkahwinan sindiket.

Walaupun bukan semua perkahwinan sindiket itu boleh menjadi batal, jika ianya tidak memenuhi rukun perkahwinan seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, perkahwinan tersebut boleh dibatalkan walaupun sudah lama berkahwin.

Bagaimanapun, perkahwinan yang batal boleh diakadkan dengan akad baharu jika tidak ada halangan. Anak-anak yang lahir daripada hubungan tersebut adalah sah taraf dan boleh dibinkan dengan bapa yang menyebabkan kehamilan ibunya.

Menentukan sah taraf anak adalah penting dalam menolak keraguan dan menjaga kebajikan kanak-kanak tersebut yang menjadi keutamaan dalam sistem perundangan Islam dan juga undang-undang antarabangsa.

Dalam Undang-Undang Islam terutamanya, anak adalah amanah dan hadiah dari Allah SWT kepada manusia untuk meneruskan kehidupan dan kelangsungan generasi akan datang. Dalam konteks anak tidak sah taraf, anak ini tidak mempunyai dosa dan adalah sama seperti anak-anak yang lain. Bagaimanapun, hukum membezakan antara anak sah taraf dan yang lain berkait dengan nilai-nilai keharmonian hukum terutamanya yang meletakkan sah taraf anak jika ada hubungan darah dan perkahwinan.

Ia juga untuk mencegah manusia daripada melakukan perkara yang bercanggah dengan agama jika mereka mengambil kira kesan perbuatan melakukan zina terutama wanita kerana beban akan terletak di bahu mereka.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman