Isnin, 2 Mac 2015

Pembahagian harta sepencarian

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 12/12/2014



Pembahagian harta sepencarian seperti rumah kediaman mempunyai asas yang kukuh daripada hukum syarak dan adat orang Melayu. – Gambar hiasan


SUDAH menjadi lumrah dalam sebuah perkahwinan apabila pasangan yang berkahwin akan membeli harta atau aset iaitu harta tidak alih seperti rumah kediaman atau tanah dan harta alih seperti kenderaan, perabot serta apa-apa peralatan yang mempunyai nilai.

Aset ini akan menjadi harta perkahwinan selagi mana ia diperoleh dalam tempoh perkahwinan melalui usaha bersama-sama suami isteri atau jika hanya salah seorang daripada suami atau isteri yang menyumbang.

Hukum yang memperuntukkan pembahagian harta sepencarian mempunyai asas yang kukuh daripada hukum syarak dan adat orang Melayu. Al-Quran menyatakan dalam surah al Nisa ayat 32 secara umum tentang hak lelaki dan wanita terhadap harta secara individu.

“Bagi lelaki, ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi perempuan (juga) bahagian daripada apa yang mereka usahakan.”

Ayat itu menjadi asas kepada tuntutan harta sepencarian selepas suatu perceraian atau kematian salah satu pihak sama ada suami atau isteri. Kitab al-Umm karangan imam Shafie juga ada menyebut tentang harta yang disifatkan telah bercampur dan sukar untuk dikenal pasti pemiliknya antara suami dan isteri, maka harta tersebut hendaklah dibahagi.


Adat Melayu

Pembahagian aset ini dipengaruhi oleh adat yang telah diamalkan semenjak berzaman. Seperti yang telah menjadi amalan, adat Melayu mengiktiraf hak isteri yang mengusahakan tanah sawah secara bersama dengan suaminya dalam kadar separuh daripada harta tersebut jika ia diperoleh dalam masa perkahwinan mereka.

Ini adalah berdasarkan kepada kes-kes yang diputuskan pada abad ke-19 iaitu suami dan isteri mencurahkan tenaga bersama-sama dalam mengusahakan tanah sawah atau tanah tanaman lain secara usaha sama. 

Amalan ini berterusan sehingga undang-undang mengenai harta sepencarian dikanunkan dalam undang-undang keluarga orang Islam dan bukan Islam.

Harta sepencarian dalam undang-undang Islam merujuk kepada harta yang terkumpul atau yang diperoleh semasa perkahwinan. 

Ianya tidak termasuk harta yang diperoleh sebelum perkahwinan atau selepas perceraian, harta pusaka atau hadiah walaupun hadiah itu diberi oleh suami atau isteri dalam masa perkahwinan kecuali sekiranya berlaku penambahbaikan kepada harta yang telah dihadiahkan itu.

Dalam hal ini, nilai harta yang diubahsuai akan dinilai jika ada tuntutan harta sepencarian dibuat terhadap harta yang telah ditambah baik itu. Sebagai contoh, jika isteri mempunyai sebidang tanah yang diperoleh secara hibah atau harta pusaka, tanah tersebut didirikan rumah kediaman yang dibiayai oleh suami yang bekerja. 

Rumah tersebut dikira sebagai harta sepencarian yang perlu dibahagi sama rata jika berlaku perceraian atau kematian. Harta sepencarian tidak termasuk tanah atau nilainya kerana harta tersebut diperoleh atas dasar hibah atau pusaka. 

Cara pembahagian

Secara umumnya, pemakaian undang-undang mengiktiraf hak yang sama kepada suami atau isteri dalam pembahagian harta perkahwinan dan pemakaiannya telah berkembang dengan mengambil kira bentuk sumbangan yang pelbagai oleh suami atau isteri sama ada melalui kerja, harta atau wang.

Sumbangan secara langsung ini dikenali sebagai usaha bersama dan kebiasaannya pembahagian dibuat secara sama rata iaitu separuh seorang.

Usaha satu pihak pula merujuk kepada harta yang diperoleh satu pihak sahaja manakala pihak yang satu lagi tidak menyumbang secara langsung dalam perolehan harta tersebut.

Kebiasaannya, ia berlaku dalam situasi isteri adalah suri rumah tangga, menguruskan rumah tangga dan anak-anak dan memberi kelapangan kepada pihak suami untuk bekerja. Asas kepada pengiktirafan ini ialah kerja dalam menguruskan rumah tangga dikira sebagai sumbangan secara tidak langsung.

Kebiasaannya, isteri yang menyumbang secara tidak langsung diperuntukkan 1/3 daripada harta tersebut. 

Oleh kerana penekanan diberikan kepada tahap sumbangan, dalam keadaan suami yang tidak bekerja dan tidak menyumbang kepada perolehan aset agak sukar untuk membuat tuntutan berbanding dengan pihak isteri yang kebiasaannya menguruskan rumah tangga atau menemani suami dalam urusan pekerjaannya. 

Pembahagian juga hendaklah mengambil kira hutang jika ada dan keperluan anak-anak. Sebagai contohnya, jika isteri mendapat hak jagaan anak selepas perceraian, isteri boleh mendapat peruntukan yang lebih mengambil kira keperluan sokongan yang diperlukan anak-anak terutamanya keperluan kepada tempat tinggal.

Dalam hal ini, rumah tersebut boleh dipindah milik kepada isteri dan anak-anak atau jika harta tersebut perlu dijual, maka penjualan tersebut hendaklah ditangguhkan sehingga anak-anak tersebut mempunyai tempat tinggal yang baik atau telah dewasa. 

Kebajikan anak-anak diambil kira walaupun ianya melibatkan pertikaian mengenai tuntutan harta sepencarian.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman