Selasa, 31 Mac 2015

Bahagia walaupun ‘kahwin ekspres’

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30/03/2015

GUA MUSANG 29 Mac – Tempoh perkenalan singkat selama sebulan dan terus mengambil keputusan untuk berkahwin tidak menghalang keutuhan rumah tangga pasangan Nik Azmarilla Nik Pa, 32, dan Hakim Bara Khan, 46.

Perbezaan latar belakang kehidupan, budaya dan bangsa tidak menjadi penghalang apabila hati sudah dipenuhi dengan rasa cinta serta kini mereka masih kekal bahagia walaupun usia perkahwinan menginjak 12 tahun.

Pasangan itu yang bernikah pada tahun 2003 telah dikurniakan tiga orang anak iaitu Imramnullah Akasha Khan, 11, Ilhamnullah Asraf Khan, 9, dan Siti Ibtisha Afiqa, 1 tahun 8 bulan.

Berkongsi cerita tentang pertemuan pertama dengan suaminya yang berasal dari Peshawar, Pakistan, menurut Nik Azmarilla, perkenalan mereka pada mulanya adalah sebagai pekerja dengan majikan.

“Saya bekerja di kedai karpet dan perabot milik Hakim di Bandar Lama, Gua Musang. Sikap tanggungjawab dan penyayang yang ditunjukkannya membuatkan saya jatuh cinta kepadanya dalam masa singkat.

“Ternyata saya tidak bertepuk sebelah tangan kerana setelah sebulan saya bekerja di kedainya Hakim menyuarakan hasrat ha­tinya untuk mengahwini saya,” katanya yang berasal dari Melor, Kota Bharu.

Katanya, dengan penampilan seorang lelaki budiman, Hakim datang berjumpa dengan ibu bapanya dan turut meminta keizinan keluarga yang tinggal di Peshawar.

“Dengan restu keluarga kedua-dua belah pihak, kami melangsungkan perkahwinan dan sehingga kini kami masih lagi meniti bahagia walaupun kami diibaratkan seperti ‘kahwin ekspres’.


“Keluarga tidak pernah menentang walaupun saya seorang sahaja berkahwin campur dalam keluarga,” katanya.

Tambah Nik Azmarilla, walaupun berkahwin dengan berlainan bangsa dia dapat menyesuaikan diri dan menjaga keharmonian rumah tangga mereka.

Katanya, Hakim cepat menyelami budaya Melayu dan tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri.

Sementara itu, Hakim yang terkenal dengan panggilan ‘Hakim Karpet’ oleh penduduk tempatan, mempunyai perniagaan perabot dan karpet di Bandar Lama di sini dan sudah lebih 30 tahun menetap di negara ini.

“Saya juga tidak menyangka akan berkahwin dengan perempuan Melayu. Sudah tertulis jodoh kami dan rezeki perniagaan saya juga lebih berkembang kerana di sini lebih aman berbanding di Pakistan.

“Walaupun perbezaan umur kami hampir 14 tahun, namun sikap isteri yang lemah lembut dan sentiasa patuh kepada suami membuatkan rumah tangga kami kekal harmoni,” katanya.Setiap dua tahun sekali Hakim akan membawa keluarganya pulang ke kampung halamannya di Peshawar.

Bahagia walaupun ‘kahwin ekspres’

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman