Isnin, 9 Mac 2015

Cerita keburukan suami kepada anak

Oleh : Ustaz Haslin Baharim
Sumber : Harian Metro
Tarikh : 01/02/2015


Saya asyik bercerita mengenai keburukan suami demi melepaskan apa yang terbuku di hati dengan anak yang dewasa. Saya tertekan kerana suami selalu mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Adakah saya dan anak berdosa besar? Adakah ini satu daripada punca doa saya tidak dimakbulkan Allah SWT?
MAMA
Meru

Menceritakan sesuatu keburukan walaupun benar dipanggil mengumpat. Menceritakan perkara yang tidak benar pula dipanggil fitnah.

Mengumpat termasuk dosa besar. Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: "Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah daripada kamu.

"Adakah seorang daripada kamu suka makan daging bangkai saudaranya, tentu kamu semua membenci memakannya." (surah al-Hujurat, ayat 12).



Rasulullah SAW pula bersabda: "Tidak akan masuk syurga al-Nammam (tukang umpat)." (Hadis Riwayat Muslim)

Bagaimanapun, ada perkara dibolehkan mengumpat dengan syarat ketat. Sebagaimana pandangan Imam An-Nawawi:
1. Mengadu kes penganiayaan kepada yang bertanggungjawab.
2. Mohon bantuan mencegah mungkar.
3. Mohon pandangan hukum atau fatwa.
4. Menyelamatkan Muslim lain yang teraniaya.
5. Pelaku maksiat yang terang-terangan.
6. Tujuan pengenalan yang digelarkan kepada seseorang.

Perkara ini disandarkan kepada hadis daripada Aisyah RA, katanya: "Hindon binti Utbah, isteri Abu Sufyan masuk menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan adalah lelaki yang sangat kedekut (bakhil), dia tidak memberi nafkah yang cukup untukku dan anakku, kecuali jika aku ambil saja hartanya (duitnya) tanpa pengetahuannya. Adakah aku berdosa kerana berbuat demikian?"

Jawab baginda: "Ambillah hartanya (duitnya) itu dengan baik yang boleh mencukupi keperluanmu dan anakmu." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, alasan sekadar melepaskan apa yang berbuku di hati tidak dibenarkan. Sebaik-baiknya mengadu kepada pihak yang bertanggungjawab.

Perbuatan mengumpat seperti di atas menyebabkan kesan lebih buruk dalam rumah tangga dan tidak baik terhadap emosi anak.

Selesaikan dan jumpa mereka yang lebih sesuai untuk menyelesaikan masalah. Jangan biarkan masalah ini terus membarah. Doa yang makbul adalah rahsia Allah. Jelas bahawa dosa juga boleh menghalang doa dari dimakbulkan Allah SWT. Wallahualam. Semoga Allah SWT merahmati keluarga anda.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman