Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Jumaat, 20 Mac 2015
Setia yang sia-sia
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 18/03/2015
Bertahun menunggu tetapi akhirnya tidak menjadi
WANITA mana yang tidak mahu berkahwin, apatah lagi dengan lelaki yang disayangi dan telah dikenali lama. Masing-masing sudah mengenali perangai, hati dan perasaan.
Bagaimanapun siapa kita yang boleh menetapkan apa yang dirancang. Kita tidak mengetahui apa yang tersirat dan tersurat. Itu semua adalah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
Itu yang telah diluahkan oleh Rosnah (bukan nama sebenar) bersimpati dengan nasib yang menimpa anak tunggal perempuannya, kini sudah mencapai usia lebih 30 tahun.
Rosnah ialah ibu kepada dua orang anak, yang sulung perempuan bernama Amirah (bukan nama sebenar) dan yang bongsu Amirul (juga bukan nama sebenar).
Amirah dari kecil merupakan seorang anak yang baik, pintar dan menurut kata. Percakapannya lemah-lembut dan tidak pernah menimbulkan masalah. Rosnah bersama suaminya amat bersyukur kerana dikurniakan anak seperti Amirah.
Katanya, sejak bersekolah rendah lagi, Amirah telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan dalam pelajaran. Setiap tahun namanya tidak pernah ketinggalan untuk menerima hadiah penghargaan kerana mendapat markah tertinggi. Sehinggalah memasuki sekolah menengah, dia tetap menjadi kebanggaan sekolah dan ibu bapanya.
Selain cemerlang, Amirah juga sering mewakili sekolahnya bertanding dalam pelbagai pertandingan seperti pidato, Matematik dan sebagainya. Dalam pertandingan tersebut, sudah pasti dia berjaya dan membawa kemenangan.
Cerita Rosnah, Amirah kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam bidang perakaunan kerana dia amat meminati Matematik dan mendapat A1 semasa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Semasa menuntut di universiti inilah dia berkenalan dan seterusnya berkawan rapat dengan teman sekuliah bernama Aiman. Lama mereka berkawan sehingga mereka tamat pengajian. Selepas masing-masing bekerja, mereka masih lagi berkawan dan menjadi semakin rapat.
“Saya tahu mereka berkawan rapat dan bertanya jika mereka serius. Kata Amirah, mereka ada juga merancang untuk berkahwin tetapi buat masa itu Aiman kata dia perlu menyimpan duit dahulu kerana baru sahaja bekerja.
“Saya tidak mendesak kerana memahami masalah orang-orang muda ini. Mungkin dia hendak membeli kereta dahulu dan mahu kewangannya stabil sebelum mendirikan rumah tangga.
“Bagaimanapun tahun berganti tahun dan telah pun memasuki tahun kelima. Amirah yang mulanya bekerja telah mengambil cuti tanpa gaji untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Apabila ditanya bila Aiman akan masuk meminang, Amirah menjawab, tahun depan. Tetapi tahun depan tiada juga.
“Sehinggalah Amirah sudah pun selesai pengajian sarjananya, Aiman belum lagi memberikan kata putus. Amirah kemudian mendapat pekerjaan berjawatan tinggi di sebuah jabatan kerajaan.
“Saya semakin bimbang kerana umur Amirah sudah pun memasuki 30 tahun. Hendak dikatakan hubungan mereka sudah putus, mereka masih berjumpa.
“Aiman pun sesekali ada datang berjumpa saya bila dia menghantar Amirah pulang ke rumah. Apabila saya bertanya kepada Aiman, bila dia hendak membawa ibu bapanya datang ke rumah, katanya, dalam tempoh terdekat,” kata Rosnah.
Tambahnya, dia tahu Amirah juga sedih dan bimbang. Mereka seperti menunggu buah yang tidak gugur.
Amirah kemudian melanjutkan pelajarannnya hingga ke peringkat doktor falsafah. Dia seorang yang bercita-cita tinggi dan ingin menimba ilmu setinggi mungkin. Pun demikian, dia juga mahu berkahwin dan mempunyai keluarga.
Kebimbangannya semakin bertambah apabila melihat Amirah sering tertekan. Amirah suka menyendiri dan adakalanya menangis.
Paling dibimbangkan Amirah pernah cuba terjun tingkap tanpa disedari. Ini diberitahu oleh seorang kawan Amirah yang kebetulan terlihat tindakannya.
“Setelah dipujuk dan bertanya masalahnya, Amirah memberitahu bahawa Aiman telah berkahwin dengan gadis pilihan ibunya. Amirah teramat kecewa kerana Aiman dengan mudah memutuskan hubungan mereka tanpa memikirkan penantian Amirah yang sanggup menolak lelaki lain demi menunggunya.
“Saya berusaha mengubati Amirah melupakan Aiman dengan berjumpa ustaz. Lama juga sebelum Amirah dapat menerima kenyataan dan Alhamdulillah sekarang Amirah semakin tenang dan boleh membantu merawat orang lain pula yang menghadapi masalah-masalah jiwa,” ujar Rosnah yang reda bahawa jodoh anaknya masih belum ada lagi.
Label:
2015,
Info Kekeluargaan,
Kongsi Pengalaman
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan