Oleh : NOR KHALILAH GUSTI HASSAN
Sumber : Sinar Harian
Tarikh : 01/02/2015
Sebagai wanita tentu sekali mengimpikan kebahagiaan dalam rumah tangga. - Gambar hiasan
NOTA: Wanita yang sudi kisah hidupnya dinukilkan sebagai
pengajaran kepada wanita lain, boleh emel penulis di nor.khalilah@
sinarharian.com.my
“KALAU awak kasihankan saya sebagai perempuan,
tolonglah tinggalkan suami saya. Kalau awak rasa menderita, saya dan
anak-anak lebih menderita kerana kehilangan dia.”
Suria merayu dengan linangan air mata. Baru sekejap tadi kami bergaduh
dalam telefon macam orang gila. Dia maki hamun saya, dan saya tak kurang
juga memaki hamunnya.
Entah macam mana bila mata kami bertentangan, hati saya meruntun hiba.
Suria datang dengan wajah pilu sambil mengheret dua anak yang masih
kecil. Dia merayu dan menuntut suaminya dikembalikan. Suami Suria, suami
saya juga.
Empat tahun kami bermadu, tiada sedetik pun yang merapatkan kami.
Hubungan kami berlaku sinis, pedih dan perih. Kami saling berlawan
meraih perhatian.
Di hadapan suami kami berlagak baik tapi di belakangnya kami
berantakan. Saling bertikam lidah dan mengagungkan kebaikan
masing-masing.
Saya peluk Suria erat-erat. Hari itu dalam sejarah. Selama empat tahun
bermadu, saya memeluk Suria dengan perasaan penuh luluh dan kasihan.
Ya... saya yang bersalah. Saya lebih berusia dari Suria dan sepatutnya
sayalah yang perlu lebih matang dan berfikiran waras berbanding Suria.
Tergamak saya mencuri suami yang terlebih dahulu menjadi milik Suria.
“Maafkan akak dik...” Air mata mengalir laju. Sejuk membasahi bahu Suria yang teresak-esak memeluk saya.
“Kak...” Lemah suara Suria membalas pelukan saya. Tiada lagi kata aku
dan engkau antara kami. Saya lihat wajah anak-anak Suria. Saya tunduk.
Saya mengalah. Mulai hari ini saya tak akan bersama suaminya lagi.
Bawa haluan
Dua tahun berpisah dengan Aidil, saya bawa haluan sendiri. Terlalu
banyak dugaan yang saya lalui sehingga ada kalanya saya rasa benar-benar
tak tertanggung.
Saya rindu Aidil tetapi saya sudah memilih jalan ini. Memilih
meninggalkan segala kenangan dengan suami orang dan memberi laluan
kepada anak-anak yang masih memerlukan.
Saya sembunyi diri dari kehidupan dan saat itu saya mula sedar betapa
pedihnya kehilangan orang yang amat kita cintai. Tiada zuriat untuk saya
kenangkan kisah cinta saya dan Aidil.
Saat itu, hanya kepada ibu tempat saya mengadu. Aidil sesungguhnya
lelaki yang terbaik buat saya. Walau pun sedar Aidil menipu mengenai
statusnya demi mendapatkan saya, kebaikan dan kasih sayang yang Aidil
beri buat saya lupa perbuatannya.
Empat tahun menjadi isteri, mana mungkin saya mampu melupakan Aidil
sekelip mata. Disebabkan itu, ibu mengatur perkahwinan saya dan Hanif
dengan harapan saya dapat melupakan luka cinta lama.
Saya perlukan seseorang di sisi dan kehadiran Hanif sedikit sebanyak
mengubat lara hati. Selepas berkahwin Hanif tinggal bersama saya dan
ibu, membantu perniagaan ibu yang semakin berkembang.
Kurang setahun, ibu pergi menyahut seruan Ilahi. Menyusuli ayah yang
sejak dari saya kecil telah pun pergi. Luluhnya hati saya kerana saat
itu saya hamil enam bulan anak pertama kami.
Ibu orang paling gembira membelikan keperluan bayi untuk menyambut cucu sulungnya. Tapi sayang... ibu tidak berkesempatan.
Sejak ibu pergi, perangai Hanif mula berubah. Makan pakai saya tidak
diendahkannya malah tubuh saya pula menjadi santapan sepak terajangnya.
Hanif kaki perempuan, terlibat dadah dan sosial melampau. Sejak
mengandung saya sudah tidak larat menguruskan perniagaan ibu. Haniflah
pengganti saya tapi malangnya, duit perniagaan Hanif bazirkan dengan
dadah dan perempuan.
Kalau saya tegur, Hanif pukul dan caci maki. Saya malu, sedih dan pedih
mengenangkan kelakuan Hanif. Meski pun pernikahan kami atas percaturan
ibu dan tanpa rasa cinta, saya akui telah mula sayangkannya sebagai
suami. Apatah lagi, saya mengandungkan anaknya.
Lari dari rumah
“Aku benci kau perempuan bodoh! Sial! Perempuan sundal, kau ingat aku
hadap sangat dengan kau! Pergi mampus!” Caci-maki Hanif sering
terngiang di pipi.
“Saya selalu maafkan abang. Saya belajar dari kesilapan diri tapi kalau
abang tak perlukan saya abang boleh lepaskan saya cara baik. Tak perlu
maki hamun saya macam ni.” Itu saja yang mampu saya lafazkan setiap kali
Hanif memukul dan mengeji.
Mungkin ini balasan saya merampas suami orang suatu masa dulu. Saya
terima seadanya nasib diri. Dan saya tidak sebodoh itu untuk membiarkan
diri terus dipermainkan Hanif. Saya cari kekuatan dan keluar dari rumah
meninggalkan Hanif.
Memang perit melalui tempoh-tempoh kehamilan tanpa kehadiran suami di
sisi. Saya tiada tempat mengadu, tiada teman bermanja. Tapi saya yakin,
akan ada jalan di hadapan nanti.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan