Isnin, 2 Mac 2015

Pembahagian tuntutan harta sepencarian

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo - Varia
Tarikh : 02/01/2015



PERJANJIAN pembahagian harta sepencarian perlu dibuat bagi menjaga kebajikan isteri dan anak-anak sekiranya tuntutan dilakukan semasa dalam tempoh perkahwinan. – Gambar hiasan


MINGGU ini, perbincangan mengenai harta sepencarian akan difokuskan kepada beberapa isu iaitu kaum wanita yang dalam ambang perceraian atau berhadapan dengan suami yang hendak atau sudah berpoligami.

Memahami maksud harta sepencarian dengan jelas sangat penting bagi pasangan mengetahui sumbangan dalam penghasilan aset mereka.

Justeru itu, mendokumentasi segala bukti pembelian atau sumbangan dalam bentuk deposit pembelian amat penting bagi mengelakkan berlakunya pertikaian.

Definisi harta sepencarian agak luas dan harta yang biasa boleh dinilai secara fizikal seperti harta tidak boleh alih dan harta boleh alih.

Dalam konteks zaman moden, harta juga termasuk harta simpanan, keahlian dalam sesuatu kelab dan saham syarikat.



Modal insan

Di negara seperti New Zealand, modal insan turut dikira harta sepencarian. Contoh mudah ialah seorang suami atau isteri memperoleh ijazah dalam masa perkahwinan dengan sokongan daripada pihak yang satu lagi, ia dikira telah menyumbang dalam meningkatkan kualiti kehidupan.

Isu tersebut tidak begitu dibincangkan di negara ini melainkan sebagai elemen sokongan dalam tuntutan mutaah, sudah tentu perbincangan ini boleh meluaskan pandangan kita terhadap definisi harta pada zaman ini.

Harta yang dianggap belum selesai pemilikannya tidak termasuk dalam harta sepencarian seperti simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau insurans.

Bagaimanapun, terdapat juga kes mahkamah yang membenarkan isteri menuntut wang KWSP pihak suami berdasarkan kepada persetujuan pihak suami.

Penekanan kepada sumbangan suami atau isteri menjadi asas penting dalam pembahagian aset. Contohnya, jika pihak suami membeli rumah dan isteri membeli perabot, mahkamah membenarkan tuntutan isteri terhadap harta sepencarian sebanyak satu perempat daripada keseluruhan harta.

Harta-harta lain walaupun dibeli dalam tempoh perkahwinan dan tidak ada sumbangan daripada pihak yang satu lagi, tuntutan harta sepencarian akan ditolak.

Definisi sumbangan bukan hanya melibatkan bentuk fizikal tetapi mahkamah juga menerima sumbangan secara sokongan moral seperti memberi ketenangan kepada suami dalam melakukan kerjanya.

Terdapat juga kes, mahkamah memberikan suri rumah sepenuh masa sepertiga atau seperempat daripada jumlah keseluruhan harta sepencarian.

Di negara-negara maju, suri rumah dianggap sebagai kerja yang membolehkan harta dibahagi sama rata. Ia berdasarkan kepada tafsiran kerja itu sendiri dalam konteks suami isteri yang dianggap seperti sebuah syarikat dan masing-masing menyumbang dalam pelbagai cara.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang membenarkan tuntutan harta sepencarian dalam masa perkahwinan iaitu apabila pembahagian dibuat disebabkan permohonan poligami.

Kebajikan

Jika ianya menjadi isu, mahkamah akan meminta pasangan membuat perjanjian pembahagian harta sepencarian untuk menjaga kebajikan isteri yang sedia ada dan anak-anak iaitu keperluan terhadap jaminan harta dan tempat berteduh.

Perkara ini sering menjadi masalah jika suami berpoligami tanpa kebenaran dan tidak mempunyai kemampuan kewangan.

Penyelesaian pada masa perkahwinan boleh dibuat dalam bentuk hibah atau hadiah dan perjanjian mengenai pembahagian yang dipersetujui bersama. Ia boleh mengelakkan kerumitan jika melibatkan masalah lain seperti suami diisytihar bankrap.

Bagi isu pendaftaran harta yang dibeli atas satu nama, ia tidak menghapuskan hak pihak yang satu lagi kerana dia mempunyai tanggungjawab untuk menjaga harta tersebut sebagai satu amanah.

Bagi kes pihak yang berdaftar menjual harta tersebut tanpa pengetahuan pihak satu lagi, ia akan
menimbulkan kesulitan untuk mendapatkan balik harta tersebut walaupun tuntutan pampasan boleh dibuat terhadap sebahagian daripada hasil jualan itu.

Menurut undang-undang sedia ada, mahkamah perlu memberi perhatian terhadap keperluan anak-anak dalam membuat pembahagian dan perintah lain yang berkaitan.

Sebagai contoh, perintah penjualan harta tidak boleh dibuat jika harta atau rumah yang ada merupakan satu-satunya tempat tinggal bagi kanak-kanak tersebut.

Mahkamah hendaklah menangguhkan perintah sehingga kanak-kanak itu sudah boleh berdikari atau mempunyai tempat tinggal lain.

Seboleh-bolehnya, perintah penjualan harus dielakkan jika harta tersebut melibatkan rumah kediaman. Di Barat contohnya, jumlah harta perkahwinan boleh melebihi separuh selepas mengambil kira keperluan anak-anak dan ia penting dalam keadaan harta yang ada hanyalah rumah kediaman.

Jika dilihat dari sudut praktikalnya, adalah sukar untuk membuat pembahagian harta sepencarian secara objektif. Ini kerana sumbangan pihak-pihak dalam perkahwinan sangat pelbagai ditambah pula dengan kehadiran anak-anak.

Suatu penilaian secara menyeluruh dalam penghasilan aset hendaklah dibuat. Ini membolehkan pembahagian dibuat lebih adil dengan mengambil kira semua aspek keperluan dan sumbangan.

Tuntutan harta sepencarian merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah yang mengeluarkan perintah perceraian. Satu perbincangan dilakukan antara suami dan isteri adalah lebih baik untuk mengelakkan tempoh perbicaraan yang panjang dan kos yang tinggi.

 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman