Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 28/02/2015
“TERIMA kasih kerana sudi membaca emel yang saya kirimkan ini dan saya mengharapkan agar puan sudi menyiarkannya untuk tatapan pembaca ruangan ini sebagai teladan,” demikian permulaan kiriman e-mel Marina (bukan nama sebenar) dari Pantai Timur kepada saya.
Selesai membaca kisahnya, saya termenung panjang. Macam- macam kisah rumah tangga yang menyedihkan berlaku sekarang ini.
Saya turut bersedih dengan masalah rumah tangga Marina tetapi saya berharap masih ada cahaya kegembiraan buat Marina. Kita ikuti kisah Marina untuk iktibar bersama.
“Namun semuanya hampa kerana suami tetap tidak berubah. Malah mengejutkan saya dengan pengakuan yang dia ada perempuan lain. Berderau darah saya apabila mendengar pengakuannya. Malah saya menjadi separuh mati apabila dia berkata perempuan simpanannya itu adalah bekas isterinya yang telah dicerai dengan talak tiga.
“Inilah dugaan yang saya lalui sepanjang tiga tahun hidup sebagai isterinya. Tidak pernah saya rasa tenteram, jiwa sentiasa kacau dan terganggu. Ada sahaja yang membuatkan kami bergaduh disebabkan perempuan itu.
“Mana ada isteri yang dapat menerima apabila mengetahui suaminya kembali melayan bekas isteri daripada memenuhi tanggungjawabnya kepada isteri sendiri yang sah.
“Apa yang saya sedih kerana kami tinggal berasingan sebab saya bekerja di tempat lain dan dia tinggal di tempat lain. Masalahnya rumah saya hampir dengan rumah bekas isterinya itu. Dia tidak mahu balik ke rumah saya, tetapi setiap malam, saya lihat keretanya ada di rumah bekas isterinya itu.
“Perempuan itu tidak bekerja dan hidupnya ditanggung oleh suami saya. Dia hidup mewah, sedangkan saya terpaksa menanggung diri saya sendiri.
“Saya juga telah beberapa kali terserempak dengan mereka berdua-duaan tetapi saya hairan kenapa saya tidak ada perasaan benci terhadapnya, malah makin hari semakin sayang.
“Saya juga pernah beberapa kali melaporkan perbuatan mereka kepada pihak berkuasa dan ahli jawatankuasa kawasan perumahan kami, namun tiada tangkapan yang dibuat.
“Saya juga pernah meminta suami membuat keputusan terhadap hubungan kami dan memberi kata dua kepadanya sama ada memilih saya atau bekas isterinya itu.
“Tetapi dia tidak mengaku akan perbuatannya itu dan berjanji akan berubah. Saya pelik juga sebab bekas isterinya tidak bekerja tetapi mampu menggunakan kereta, membeli rumah dan berbelanja macam wanita bekerjaya. Tentu itu duit yang diberi oleh suami saya.
“Sejak kami bernikah, suami tidak pernah mengajak saya tinggal bersamanya. Saya tahu sebabnya. Jika dia mengajak saya tinggal bersama, tentu sukar untuk dia ke rumah perempuan tersebut.
“Kalau ikutkan hati, sudah lama saya ingin menuntut cerai tetapi suami pandai memujuk sehingga hati saya menjadi cair.
“Di hadapan ibu bapa saya, pijak semut pun tidak mati, di belakang... Allah sahaja yang tahu perangainya. Lakonannya memang hebat. Keluarga saya termakan dengan sikap pura-puranya itu.
“Dalam usianya mencecah 50-an saya mengharapkan dia akan berubah tetapi nampaknya dia tetap begitu juga. Saya kesal dan kecewa kerana ada bekas isterinya sanggup berkelakuan demikian dan menggadai maruah kerana gila talak dan ingin terus hidup mewah.
“Sebelum ini, suami saya seorang yang penyayang terhadap saya, tetapi apabila dia kembali kepada bekas isterinya, sikapnya berubah. Dia tidak boleh memandang wajah saya, dia akan naik angin.
“Pada masa yang sama, macam-macam hal berlaku kepada saya. Kerja terbengkalai, saya jadi letih. Badan diserang penyakit gatal dan kedatangan haid saya juga tidak pernah berhenti. Hendak menuduh tidak, tetapi itulah keadaan saya.
“Dengan nasihat seorang teman, saya dibawa berjumpa seorang ustaz. Alhamdulillah, berkat usaha dan pertolongan ustaz itu dan dengan izin Allah, saya berjaya dipulihkan.
“Saya kembali pulih tetapi suami terus dengan dunia khayalannya bersama bekas isterinya itu, dan apabila saya tanya sampai bila dia hendak menanggung bekas isterinya itu, jawapannya sampai dia mati!
“Saya sudah hilang daya, tawar hati dan tertekan. Saya ingin hidup seperti suami isteri lain, bahagia bersama anak-anak sendiri di dalam sebuah rumah yang tenang dan damai. Tetapi impian saya nampaknya tidak akan kesampaian.
“Saya kini hidup menumpang keluarga dan menguruskan kehidupan saya sendiri. Mujur saya ada kerja tetap. Segala- galanya saya serahkan kepada Allah dan akan terus berdoa agar satu hari nanti, dia akan sedar kesilapannya.
“Saya tidak salahkan jodoh saya kerana semuanya ketentuan Allah. Walaupun ramai lelaki bujang yang cuba mendekati saya dahulu tetapi jodoh saya telah ditentukan dengan seorang duda. Ingatkan akan bahagia kerana ada pengalaman, rupanya derita yang saya dapat.
“Sepanjang perkahwinan, rumah tangga kami tidak pernah aman. Setiap kali berjumpa, kami akan bergaduh, tidak kira di mana termasuk di depan orang tua saya. Dia langsung tidak ada rasa hormat kepada ibu bapa saya kerana selepas bergaduh, dia tinggalkan saya begitu sahaja walaupun ketika itu saya sedang menangis.
“Nasihat saya kepada wanita di luar sana yang ingin bernikah dengan duda, awasi tindak tanduk suami anda kerana ada masanya kita tidak bernasib baik sebab bekas isteri tidak melepaskan suaminya dengan seikhlas hati.
“Contohnya seperti saya, bekas isteri suami gila talak dan merasakan suami masih lagi haknya. Pesan saya, berhati-hati dan bertindak bijak agar rumah tangga yang dibina tidak terganggu sepanjang hayat,’’ Marina menamatkan ceritanya.
Begitulah nasib seorang isteri yang menaruh harapan tinggi untuk berlindung dan hidup bersama suami tercinta, sayangnya lain pula yang terjadi. Saya sangat besimpati dengan Marina.
Saya harap Marina boleh terus bersabar dan diberi ketabahan untuk terus menangani masalah ini dengan akal yang waras. Keputusan di tangan anda. Sebagai isteri, anda berhak untuk membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan anda Marina!.
Sepatah kata daripada saya sebelum menamatkan catatan, segarkan hati dan fikiran dengan ketaqwaan, kesabaran, insya-Allah di penghujungnya anda akan menjadi wanita paling bahagia.
Salam
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Sabtu, 7 Mac 2015
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan