Oleh : Mohamad Isa Abd Ralip, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 24 May 2007
Soalan : SAYA ingin bertanya berkaitan tuntutan fasakh kerana tidak memberi nafkah. Apabila suami memiliki harta atau pekerjaan tetapi tidak memberi nafkah kepada isterinya, haruskah bagi isteri itu menuntut fasakh atas alasan kegagalannya memberi nafkah kepada isteri. Jika dibenarkan, apakah prosedur yang perlu diambil dan dipatuhi oleh isteri? Kepada jabatan mana sepatutnya ditujukan permasalahan ini sama ada pejabat kadi, pejabat undang-undang syariah majlis agama, mahkamah syariah atau peguam syarie.
Ingin Tahu,
Selangor Darul Ehsan.
Jawapan : ISTILAH fasakh bolehlah ditakrifkan sebagai pembubaran atau pembatalan perkahwinan oleh perintah mahkamah. Jenis perceraian ini pada amnya berdasarkan kepada prinsip mengenai perceraian dengan cara baik.
Allah berfirman yang bermaksud: “(Mereka) bolehlah berpegang dengan cara yang makruf atau bercerai dengan cara yang baik, bolehlah kamu pegang mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud membuat mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka, dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiayai dirinya sendiri.” (Surah al-Baqarah, ayat 229 - 231)
Di bawah peruntukan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, perceraian melalui fasakh diletakkan mengikut Seksyen 53. Seksyen 53 (1) menetapkan bahawa: Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk mem-bubarkan perkahwinan atau fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut iaitu:
• Tempat di mana beradanya suami atau isteri tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
• Suami cuai mengadakan peruntukan nafkah selama tempoh tiga bulan;
• Suami atau isteri dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
• Suami atau isteri tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
• Suami mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami mati pucuk;
• Suami atau isteri gila selama tempoh dua tahun atau sedang menghidap penyakit kusta atau menghidap penyakit kelamin dalam keadaan yang boleh berjangkit;
• Isteri, selepas dikahwini oleh wali mujbir sebelum ia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur 18 tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
• Suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya;
• Bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi kerana suami sengaja enggan menyetubuhinya;
• Isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapannya ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui hukum syarak;
• Pada masa perkahwinan itu, isteri sungguh pun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 (Ord. 31/52) dan sakit otaknya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak berkahwin; atau
• Apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah hukum syarak.
Berdasarkan alasan di atas, jika puan mendapati suami benar-benar gagal menyediakan nafkah zahir kepada puan melebihi daripada tempoh tiga bulan sehingga boleh memudaratkan puan, maka puan boleh membuat permohonan cerai melalui peruntukan fasakh.
Terdapat di kalangan kita yang menganggap Jabatan Agama dan mahkamah adalah satu institusi yang sama. Sebenarnya anggapan itu tidak tepat kerana mahkamah adalah medan perbicaraan yang dipisahkan daripada jabatan agama Islam. Oleh itu, puan perlu mendapatkan bantuan ke tempat sepatutnya.
Dari segi tindakan awal, puan boleh merujuk permohonan di jabatan agama Islam untuk sesi kaunseling. Sebagai permulaan, kaunselor akan memanggil pihak yang berkaitan untuk menghadiri sesi kaunseling jika dilihat perkahwinan itu masih boleh diselamatkan dan ada jalan penyelesaian.
Jika selepas menghadiri sesi kaunseling dan tidak berjaya, maka pejabat agama Islam akan merujuk kes puan terus ke mahkamah yang mempunyai bidang kuasa mengikut alamat permastautin puan. Selepas itu, puan perlu memfailkan permohonan perceraian secara fasakh di mahkamah itu dengan segera.
Namun, jika puan tidak mahu menghadiri sesi kaunseling, puan boleh juga terus memfailkan permohonan perceraian di mahkamah syariah. Selepas permohonan difailkan, mahkamah yang bersidang akan menyebut kes puan buat kali pertama dalam tempoh 21 hari.
Ketika dalam prosiding mahkamah, puan perlu mengikut tatacara ditetapkan seperti membuat penyata tuntutan dan memastikan saman dan penyata tuntutan dapat diserahkan ke tangan suami atau jika gagal, memohon untuk penyerahan saman secara gantian kepada pihak suami.
Kemudian puan perlu bersedia daripada segi bahan bukti. Ia bermaksud, dalam perbicaraan, puan harus membawa segala bukti yang ada sama ada melalui keterangan secara lisan atau dokumen berkaitan dengan nafkah bagi menyokong permohonan puan.
Melalui permohonan fasakh ini juga, pihak suami dikehendaki menjawab semua dakwaan dan tuntutan puan terhadapnya sama ada melalui keterangan secara lisan atau dokumen. Kedua-dua pihak juga dikehendaki menyediakan saksi bagi menyokong kes ini.
Selepas sesi perbicaraan dijalankan dan mahkamah berpuas hati dengan segala bukti dan keterangan diberikan, maka mahkamah akan mengeluarkan perintah sewajarnya sama ada permohonan puan memuaskan hati mahkamah untuk mendapat fasakh atau sebaliknya.
Tetapi jika puan kurang berkeyakinan untuk menyelesaikan kes ini secara sendirian, kerana mungkin terdapat beberapa tatacara mahkamah yang tidak difahami, adalah lebih baik mendapatkan khidmat guaman daripada peguam syarie bertauliah dan arif mengenai prosedur di Mahkamah Syariah.
Jawapan disediakan Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang persoalan syariah sila kemukakan ke exco_pgsm@yahoo.com
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan