Sumber : Utusan Malaysia
Kolum : Bicara Agama
Tarikh : 25/07/2012
PADA kali ini saya akan menulis mengenai bagaimana seseorang boleh memohon cerai atau menyelesaikan kekusutan rumah tangga.
Tentunya pasangan apabila hendak berkahwin, ibu bapa atau bakal pengantin pergi mengambil borang di pejabat agama Islam berdekatan. Borang tersebut perlu ditandatangani oleh bakal pengantin, wali dan diserahkan semula kepada pegawai agama berkenaan untuk kelulusan.
Dalam undang-undang keluarga Islam yang ada di negeri-negeri, borang tersebut apabila dikembalikan perlu memasukkan surat pengakuan bujang atau sijil cerai (bagi yang telah bercerai) bagi mengelakkan pasangan daripada berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.
Ia juga membolehkan pihak berkuasa agama membuat siasatan sebelum memberi kebenaran kepada juru nikah atau pendaftara nikah cerai menikahkan pasangan atau wali menikahkan pasangan terbabit.
Begitu juga dengan pasangan yang hendak bercerai. Mereka sangat digalakkan pergi ke pejabat agama bahagian nikah cerai dan bertemu dengan perunding cara atau kaunselor yang boleh membantu pasangan melihat permasalahan rumah tangga mereka dan memberi khidmat nasihat.
Daripada pengamatan saya, jika pasangan pergi berjumpa kaunselor dengan niat mahu menyelesaikan pertikaian dan berharap berbaik semua, maka kaunseling selalunya berjaya mendamaikan mereka.
Malangnya hari ini, pasangan tidak mahu dikaunseling langsung. Malah ada yang tidak hadir pun apabila dipanggil.
Bagi seorang wanita, jika dia yang membuat aduan dan memohon untuk dikaunseling, dia berharap suaminya mahu berbaik semula. Pada kebiasaannya, dalam kes seperti ini suami tidak mahu datang kerana telah bulat hati untuk bercerai atau sudah mempunyai isteri baru.
Apabila pihak kaunselor telah memanggil pasangan dan salah satu pihak tidak hadir, kaunselor akan membuat rumusan bahawa perselisihan tidak boleh didamaikan dan isteri boleh memohon fasakh. Surat itu selalunya dilampirkan oleh isteri dalam permohonan cerainya kepada Mahkamah Syariah.
Jadi sejak wujudnya Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di semua negeri, tiada suami boleh mentalakkan isterinya tanpa terlebih dahulu memohon kebenaran dari Mahkamah Syariah.
Begitu juga dengan isteri, jika suami tidak hadir kaunseling, maka dia boleh mengisi borang permohonan untuk bercerai untuk suaminya mentalakkannya.
Sebenarnya hari ini jika pasangan sudah bulat hati untuk bercerai mereka tidak perlu ke pejaba. Ada yang terus mengambil borang permohonan dan meminta peguam mengisinya untuk membuat permohonan.
Hari ini sudah ramai pasangan yang mengambil peguam untuk menguruskan kes perceraian kerana lebih yakin kes tersebut akan dapat diselesaikan segera.
Namun masih ada isteri yang tidak tahu bahawa mereka boleh pergi terus ke mahkamah untuk memohon cerai tanpa ke pejabat agama.
Lantas mereka membuat aduan kerana sudah terlalu lama menunggu dan masih belum diceraikan. Ini kerana jika ke pejabat agama, tentulah pegawai cuba mendamaikan pasangan dengan kaunseling.
Ada yang lebih enam bulan kes belum selesai dan si isteri merasakan kesnya tertangguh atau Mahkamah Syariah tidak menjalankan tugas. Sebenarnya, kes itu belum sampaipun ke Mahkamah Syariah.
Apabila permohonan cerai dibicarakan, ada kes amat mudah dan cepat. Misalnya isteri memohon untuk ditalak dan apabila mahkamah bersidang suami hadir dan bersetuju melafaz talak. Mahkamah benarkan perlafazan talak dan talak direkodkan. Kes selesai.
Namun tidak semua kes cerai semudah itu. Kebanyakan kes, hakim akan bertanya kepada pihak yang terlibat, sama ada dia bersetuju untuk melafaz talak. Jika tidak bersetuju, maka hakim akan merujuk kes kepada Jawatankuasa Pendamai di bawah seksyen 47(5) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002. Saya menggunakan Enakmen ini sebagai contoh dan peruntukan yang sama ada dalam enakmen undang-undang keluarga Islam di setiap negeri.
Jawatankuasa Pendamai terdiri daripada seorang Pegawai Agama dan dua orang yang lain iaitu seorang bagi pihak suami dan seorang lagi bagi pihak isteri yang terdiri daripada saudara terdekat kedua pihak yang tahu kes tersebut.
Jawatankuasa ini diberikan enam bulan untuk mencari jalan penyelesaian kepada kes dan jika pasangan berdamai, permohonan untuk ditalak atau mentalak akan ditolak.
Jika Jawatankuasa tidak dapat mendamaikan pasangan, mereka akan cuba memujuk suami untuk melafaz talak. Jika suami enggan, Hakim akan merujuk kes tersebut kepada Hakam di bawah seksyen 48, Enakmen yang sama. Hakam terdiri daripada dua orang, seorang dari pihak suami dan seorang bagi pihak isteri. Hakam boleh mendapatkan kuasa talak dan pasangan boleh bercerai melalui proses tersebut.
Dalam Jawatankuasa Pendamai dan Hakam, peguam tidak dibenarkan hadir. Tempoh masa permohonan untuk mentalak atau ditalak jika sampai kerujukan Hakam akan mengambil masa yang panjang dan ada yang mencapai setahun setengah.
Sebab itulah pasangan sentiasa dinasihatkan untuk cuba menyelesaikan perselisihan mereka sebelum membuat permohonan.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan