Rabu, 8 Januari 2014

Permudahkan tuntutan nafkah anak

Oleh : Nor Affizar Ibrahim
Sumber : Berita Harian
Tarikh : xx Jan 2009

Permohonan kes cerai disaran dilakukan sekali dengan tuntutan hadanah dan perbelanjaan anak yang ketika ini dilakukan secara berasingan

JABATAN Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebelum ini ada mencadangkan Akta Undang-Undang Keluarga Islam dipinda bagi membolehkan wanita dan ibu tunggal yang diabaikan menuntut nafkah anak daripada waris terdekat bekas suami. Cadangan yang bakal dibentangkan kepada Parlimen itu kelak membolehkan tanggungjawab membayar nafkah itu dipindahkan kepada keluarga bekas suami, terutama datuk dan bapa saudara dilaksanakan.

Cadangan itu disambut baik, khususnya oleh wanita atau ibu tunggal yang terpaksa mencari dan menanggung sepenuhnya nafkah anak selepas perceraian akibat diabaikan oleh bekas suami serta bersikap lepas tangan daripada memikul tanggungjawab wajib ke atasnya.

Bagaimanapun, Naib Presiden Majlis Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO), Faridah Khalid, ketika diminta pandangannya mengenai cadangan itu dalam Ratu baru-baru ini, melahirkan kebimbangan dan berkata, akta baru itu tidak dapat membantu wanita mahupun ibu tunggal selagi perintah mahkamah tidak dihormati, mahupun dilaksana dengan lebih berkesan.

Katanya, akta baru yang dipinda itu juga dikhuatiri mungkin gagal dilaksanakan dengan sempurna akibat kelemahan sama, mengakibatkan ia sekadar hebat dan ‘cantik’ di atas kertas. Malah, dibimbangi ramai isteri terabai dan ibu tunggal serik naik turun mahkamah hanya untuk menuntut hak anak mereka dan ada sesetengahnya pasrah jika bekas suami enggan bertanggungjawab.

Apatah lagi kalau dikumpulkan, begitu ramai bapa yang mengabaikan tanggungjawab mereka selepas bercerai. Mereka ini bukannya tidak mampu tetapi tidak mahu mengambil peduli melaksanakan tanggungjawab itu. Ibu tunggal sudahlah tidak larat lagi `mengejar' bekas suami dan seandainya cadangan itu dilaksanakan, terpaksa pula mengejar serta menagih keluarga mentua pula.

Masalah tuntutan nafkah anak itu sudah tentu tidak akan berakhir dengan mudah kerana bukanlah mustahil jika keluarga bekas suami turut bersikap sama, memberi banyak alasan atau berdolak dalik untuk turut sama lari daripada memikul tanggungjawab berkenaan.



Lalu, Faridah mencadangkan sebaiknya selepas pasangan berpisah, bapa atau bekas suami perlu diperintahkan oleh Mahkamah Syariah agar membayar nafkah anak-anak. Ini bermakna tidak perlu lagi perbicaraan lain untuk perintah ini. Dalam erti kata lain, bagi permudahkan proses itu, kes permohonan cerai perlulah digabungkan sekali dengan tuntutan hadanah dan nafkah anak yang ketika ini perlu dilakukan secara berasingan.

Pengerusi Pertubuhan Ibu Tunggal Islam Wilayah Persekutuan/Selangor (PITI), Haziah Haniza Abd Wahab, turut menyokong agar menggabungkan kes permohonan cerai bersama tuntutan hadanah serta nafkah anak kerana cara demikian memberikan beberapa kebaikan, khususnya demi menjamin masa depan anak yang masih kecil selepas berlaku perpisahan ibu dan bapa mereka.

Haziah berkata, berdasarkan pengalaman didapati masalah utama dihadapi kebanyakan ibu tunggal ketika berdepan dengan proses perceraian ialah berdepan dengan sikap lelaki atau bekas suami yang begitu liat untuk hadir ke mahkamah bagi memastikan kes yang dibawa ke Mahkamah Syariah dapat diadili dengan baik dan berjalan lancar.

Meskipun, Mahkamah Syariah sudah mengeluarkan waran tangkap, masih ada bekas suami yang liat untuk hadir dan sering menganggap menghadirkan diri ke mahkamah begitu melecehkan.

“Ketika proses perceraian ingin diputuskan pun, lelaki begitu liat untuk hadir apatah lagi kes membabitkan tuntutan hadanah dan nafkah. Ketidakhadiran bekas suami menyebabkan wanita yang ingin menuntut haknya terpaksa meminta tarikh baru bagi membolehkan perbicaraan kes di Mahkamah Syariah disebut semula. Senario itu sudah tentu menambahkan lagi tempoh masa menunggu dan akan memberikan bebanan kepada ibu tunggal terbabit bagi menanggung nafkah anaknya. Keadaan lebih buruk jika wanita itu tidak bekerja dan langsung tiada sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, persatuan pernah didatangi ibu tunggal yang baru bercerai dan tiada sumber pendapatan serta tidak berkemampuan untuk membeli susu dua anak kecilnya, berusia tiga tahun dan 10 bulan. Dalam esakan tangisan wanita itu memberitahu, bahawa beliau sudah pun memberikan mesej menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) melalui telefon kepada bekas suami dan merayu jika tidak mahu beri satu sen pun duit untuk nafkah anak, cukuplah sekadar menghantarkan beberapa tin susu ke rumah supaya anak mereka tidak kelaparan.

“Apa yang menyedihkan, bekas suami itu menjawab kepada bekas isterinya supaya tunggu perintah mahkamah untuk tuntutan nafkah anak. Selepas diputuskan barulah si suami akan membayar nafkah anak. Patutkah, perkara seperti ini berlaku? Soal makan minum anak manalah boleh ditangguhkan dan tambah berat jika bekas isteri itu tiada tempat mengadu untuk minta bantuan. Oleh sebab itu, ketika kes permohonan perceraian dibuat soal tuntutan nafkah perlu dibuat sekali,” katanya.

Haziah turut berpendapat, jika digabungkan ia bukan saja menjimatkan masa, tetapi turut dapat mengurangkan pasangan turun naik tangga Mahkamah Syariah. Selain itu, ia juga dapat mengurangkan kos perbicaraan termasuk perlu membayar kos pengurusan kes setiap kali tarikh sebutan baru perbicaraan dibuat dan juga bayaran guaman.

Katanya, bagi ibu tunggal yang berpendapatan tetap dan kukuh mungkin dapat dan mempunyai cara tersendiri bagi mengatasi masalah kewangan. Namun, masalah utama harus difikirkan ialah ibu tunggal yang tidak bekerja atau berpendapatan kecil dan perlu menanggung anak ramai.

“Pergi ulang alik ke mahkamah sudah tentu memerlukan belanja. Tetapi bagaimana halnya jika pendapatan yang ada hanya cukup untuk makan minum anak. Pernah, seorang ibu tunggal yang hanya menampung kehidupan dengan menjual nasi lemak mengadu kepada saya bahawa dirinya tidak sanggup lagi pergi ulang alik ke mahkamah untuk tuntut nafkah anak. Kata wanita itu, keuntungan jual nasi lemak setiap hari hanya cukup untuk digunakan pusingan modal keesokan hari dan membeli keperluan harian anak.

“Jika pergi juga ke mahkamah bermakna, dia sudah tentu tidak dapat berniaga hari itu dan mampu membeli keperluan harian. Jadi, lebih baik dia berusaha keras untuk menambahkan pendapatan daripada berulang alik ke mahkamah dan menunggu bekas suami yang kemungkinan besar tidak akan muncul serta menambahkan lagi sakit hatinya,” kata Haziah.

Beliau berkata, kesukaran mendapatkan bekas suami melunaskan nafkah anak juga menyebabkan ada segelintir ibu tunggal yang bergaji kecil dan tidak berpendidikan tinggi terpaksa bekerja sambilan pada malam harinya sebagai pelayan pelanggan (GRO) bagi menanggung keluarga. Kerja sambilan itu walaupun tidak disukai terpaksa dibuat demi meneruskan kehidupan.

Haziah berkata, menggabungkan kes permohonan cerai dan dibuat sekali bersama tuntutan hadanah serta nafkah anak juga dilihat dapat mengurangkan pertelagahan antara kedua belah pihak yang bercerai dan juga tekanan emosi yang dialami dalam menguruskan serta menjaga anak, khususnya bagi bekas isteri.

Beliau turut mencadangkan, setiap keputusan yang dibuat di Mahkamah Syariah perlu diselaraskan dengan tindakan penguatkuasaan. Bagi merealisasikan cadangan itu, sewajarnya satu jabatan penguatkuasaan ditubuhkan supaya semua kes yang sudah diputuskan oleh mahkamah dan dianggap selesai bukan saja diterima semua pihak terbabit, tetapi dipatuhi serta dilaksanakan sepenuhnya.

Haziah berkata, kelancaran dan keadilan yang ditegakkan Mahkamah Syariah memperlihatkan profesionalisme pihak terbabit dan dapat mencantas cemuhan yang mengatakan Undang-Undang Islam menindas wanita.

Cadangan mampu kurangkan beban ibu tunggal

WALAUPUN hakikatnya undang-undang Islam tidak pernah mendiskriminasi mana-mana golongan, tiada perasaan hormat dan ketidakfahaman falsafah undang-undang serta perundangan Islam, menyebabkan adanya tanggapan negatif terhadap undang-undang Islam.

Justeru, dengan perkembangan semasa beberapa isu baru juga perlu diberi perhatian dan sewajarnya pandangan dikemukakan pihak tertentu yang dilihat dapat memberikan kebaikan perlulah diambilkira serta dipertimbangkan.

Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Ibu Tunggal Kawasan Lembah Pantai (PKIP), Fauziah Abu Bakar, berpendapat ada banyak lagi perkara yang perlu diberi penekanan bagi memastikan pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah khususnya membabitkan hal kekeluargaan mendapat keadilan dengan kadar segera.

Sehubungan itu, beliau turut menyokong cadangan supaya sebaiknya selepas pasangan berpisah, bapa atau bekas suami perlu diperintahkan oleh mahkamah syariah agar membayar nafkah anak dan tidak perlu lagi melalui perbicaraan lain untuk perintah sedemikian.

Fauziah berkata, jika cadangan itu dilaksanakan pasti ramai ibu tunggal yang bertahun-tahun berdepan dengan kemelut kes mendapatkan tuntutan nafkah anak turut gembira dan menarik nafas lega.

Katanya, sering berlaku sebaik saja kes perceraian diputuskan oleh Mahkamah Syariah, bekas suami yang tidak bertanggungjawab terus menghilangkan diri atau sering bertukar alamat sehingga ada kala sukar untuk dikesani jejaknya. Keadaan itu sudah tentu sukar bagi isteri untuk membuat tuntutan nafkah bagi anaknya yang sepatutnya menjadi tanggungjawab bapa untuk melunaskan sehingga anak itu masih lagi di bawah tanggungannya.

“Pada masa kini apabila berlaku perceraian, pasangan terbabit sekurang-kurangnya perlu naik tiga kali mahkamah iaitu kes perceraian, tuntutan penjagaan anak dan soal pembahagian harta. Jumlah turun naik itu belum lagi diambilkira jika adanya kes perbicaraan terpaksa ditangguhkan, termasuk alasan bekas suami tidak hadir dan sebagainya.

“Jadi, jika digabungkan sekurang-kurangnya ia dapat menjimatkan tempoh masa menunggu. Kita tidak mahu ada kes tuntutan nafkah anak hanya dapat diselesaikan apabila usia anak sudah pun meningkat dewasa atau langsung tiada penghujung. Bekas suami bersenang lenang sedangkan wanita yang terpaksa memberi nafkah anak menanggung derita,” katanya.

Fauziah berkata, jika digabungkan tidak timbul soal tergesa-gesa dalam membuat tuntutan kerana lazimnya, pasangan yang ingin bercerai perlu lebih bersedia mengenai hak masing-masing dan tahu apa yang diinginkan sebaik saja kes perbicaraan mereka mula disebutkan di Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, katanya, bagi mengelakkan wanita yang kurang arif mengenai hak mereka teraniaya adalah penting bagi pegawai penasihat atau kaunselor memainkan peranan sebaik-baiknya untuk menerangkan lebih awal secara terperinci dan memberikan kefahaman yang jelas kepada golongan itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman