Khamis, 9 Januari 2014

Bekas suami Sri Wani setuju bayar kos guaman RM12,000

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah
Tarikh : 8/1/2014


KUALA LUMPUR 7 Jan. — Kemelut yang berpanjangan hampir tiga tahun akhirnya selesai hari ini apabila bekas suami kepada seorang pengusaha kecantikan yang sebelum ini diragui jantinanya oleh lelaki itu, bersetuju membayar kos guaman bekas isterinya berjumlah RM12,000, sebagaimana yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Dr. Bahrom Sanugi, 63, yang merupakan bekas dekan sebuah institusi pengajian tinggi turut membayar RM3,000 kepada Sri Wani Choo Abdullah hari ini.

Peguam syarie, Datuk Amli Embong yang mewakili Sri Wani ketika ditemui pemberita selepas prosiding di kamar hakim itu berkata, Bahrom juga bersetuju menyelesaikan baki RM9,000 melalui tiga kali pembayaran secara bulanan kepada defendan.

Persetujuan tersebut direkodkan oleh Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain dengan kehadiran Amli dan peguam syarie, Irsamuddin Ikhsan bagi pihak Bahrom selaku responden.



Sementara itu, Sri Wani, 39, ketika ditemui pemberita menyatakan kesyukuran kerana semua perkara telah diselesaikan secara baik dengan bekas suaminya itu.

"Saya sudah bertunang dengan seorang kenalan lelaki dan akan mengikat tali perkahwinan dengan lelaki itu dalam beberapa bulan lagi," katanya.

Sri Wani juga memohon agar media tidak menyiarkan gambarnya kerana dia tertekan dengan pandangan sekeliling.

Bahrom diperintah membayar kos guaman RM12,000 selepas mahkamah tersebut pada 30 Ogos 2012 membatalkan empat permohonannya termasuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap Sri Wani bagi mengesahkan jantina.

Antara lain permohonan yang difailkan Bahrom pada 17 Januari 2011 itu ialah memfaraqkan (membubarkan) perkahwinan, memenjarakan Sri Wani kerana melanggar perintah mahkamah dan perintah supaya pengusaha kecantikan itu tidak memberi kenyataan media.

Bagaimanapun permohonan Bahrom untuk menggantung perintah kos itu turut ditolak mahkamah selepas tidak berpuas hati dengan afidavit yang dikemukakan.

Kes pasangan ini menjadi bualan ramai apabila Bahrom mendakwa bekas isteri ketiganya itu yang merupakan mualaf yang dikahwini selama setahun pada 19 Ogos 2008 di Songkhla, Thailand adalah seorang lelaki.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman