Khamis, 30 Januari 2014

Cerai isteri luar mahkamah

Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Tarikh : 29/01/2014


TERDAPAT banyak kesalahan jenayah dalam perundangan keluarga yang tidak diketahui umum. Kali ini saya akan membincangan kesalahan melafazkan talak terhadap isteri di luar mahkamah.

Ini diperuntukan oleh seksyen 125 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang berbunyi: 'Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah itu, maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, denda dan penjara itu.'

Ramai yang akan bertanya, kenapa menjadi kesalahan sehingga boleh dihukum penjara atau denda? Tidak sahkan lafaz talak suami jika dibuat di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah? Bukankah talak itu 'main-main pun jatuh, tak main-main pun jatuh?

'Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda: "Tiga perkara yang dilakukan sungguh-sungguh jadi sungguh dan dipermainkan jadi sungguh iaitu perkahwinan, perceraian (talak) dan rujuk."

Namun di Malaysia apabila Enakmen Undang-undang Keluarga Islam diluluskan, perceraian melalui talak diperuntukan melalui Seksyen 47, di mana suami atau isteri yang mahu bercerai melalui talak hendaklah membuat permohonan terlebih dahulu kepada mahkamah syariah.

Dalam permohonan tersebut, pemohon perlu menyatakan butiran perkahwinan, bilangan anak, sebab hendak bercerai dan sebagainya. Mahkamah akan memanggil pihak yang tidak membuat permohonan dan bertanya, sama ada dia setuju dengan permohonan tersebut.



Jika bersetuju dan mendapati perkahwinan memang telah berpecah belah, maka mahkamah akan membenarkan suami melafaz talak. Jika sebaliknya, maka mahkamah akan merujuk pasangan ke Badan Pendamai.

Kebanyakan kes perceraian, isteri memohon kepada mahkamah untuk diceraikan melalui fasakh, taklik atau khuluk. Sedangkan suami sering menggunakan peruntukan Seksyen 47 iaitu permohonan melafaz talak.

Ada juga isteri yang memohon di bawah peruntukan ini jika perbincangan telah dibuat lebih awal. Prosedur ini lebih jimat dan pasangan tidak perlu menggunakan khidmat peguam syarie.

Jika pasangan memohon dengan cara lain untuk bercerai, mereka perlu mendapat khidmat peguam kerana ia melibatkan perbicaraan. Namun bagi kebanyakan pasangan, terutama suami yang merasakan permohonan ke mahkamah mengambil kuasa mereka untuk melafaz talak dan menyusahkan.

Mereka tidak nampak hikmah kenapa mewajibkan permohonan ke mahkamah syariah untuk mendapat kebenaran dan melafaz talak di mahkamah. Ini kerana jika lafaz talak dibuat di luar mahkamah, ia perlu disahkan oleh mahkamah untuk didaftarkan. Jika tidak, masalah akan timbul.

Jika dahulu, semasa tiada enakmen dan sistem mahkamah syariah yang teratur, pasangan suami isteri yang hendak bercerai berjumpa imam kariah tempat mereka tinggal atau penghulu. Lafaz talak dibuat di hadapan mereka. Jika mereka bergaduh di rumah dan terlafaz talak, mereka tetap membuat laporan ke pejabat Kadi (dulu). Kadi tetap membuat siasatan dan mendaftarkan cerai untuk mengeluarkan surat cerai.

Pengesahan penting untuk mengira iddah. Jika rujuk berlaku, adakah dibuat dalam masa iddah atau pun tidak. Ada juga kes isteri tidak pasti, sama ada dia telah ditalak dan ada juga kes suami tidak mahu mengakui perlafazan talak.

Ada juga kes lafaz talak dibuat di hadapan orang lain dan isteri tidak tahu mengenainya. Misalnya, suami membuat kenyataan kepada ibunya semasa isu rumah tangga mereka dibincangkan, dia terus kata pada ibunya: 'Saya dah ceraikan Timah.'

Daripada segi hukum, ia adalah perlafazan jelas atau sarih dengan atau tanpa niat, ia jatuh. Ini semua menyulitkan keadaan dan akan timbul isu perzinaan kerana jika pasangan tidak tahu talak telah dilafaz, iddah telah mula dan pasangan tidak rujuk dalam tempoh iddah tetapi lepas iddah suami kembali kepada isteri.

Pengiraan talak juga lebih mudah dan teratur kerana jika pasangan bercerai dalam mahkamah, ia direkodkan dengan baik. Pengiraan iddah juga lebih mudah. Dalam situasi hari ini, pasangan dalam pergaduhan rumah tangga yang panas sering terlafaz talak. Apabila ini berlaku, mereka jadi panik.

Lantas, mereka akan membuat pelbagai tindakan. Antaranya keluar dari rumah, memukul pasangan atau menyerangnya, menyembunyikan kebenaran dan tidak kurang pula yang menafikan talak telah terlafaz dan meneruskan kehidupan tanpa rujuk.

Jika tertalak satu atau dua, bolehlah dianggap rujuk telah berlaku namun jika terlafaz tiga kali, perkahwinan telah terlerai dan tidak boleh rujuk langsung. Di sini banyak berlaku perkara mungkar.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman