Rabu, 22 Januari 2014

Poligami oh poligami

Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh : 07/03/2012


DUA minggu lalu saya sudah menulis mengenai poligami. Namun ceritanya masih panjang. Saya ingin meneruskan perbincangan mengenai poligami kerana ia sering disalah tafsir dan memberi imej yang buruk kepada Islam.

Bagi orang bukan Islam, berkahwin lebih daripada satu adalah dilarang dan bersalahan dengan undang-undang. Bagi orang Islam, mereka boleh berkahwin hingga empat isteri. Tetapi wanita memang dilarang bersuami lebih dari satu.

Semasa saya menuntut di luar negara, ini adalah isu paling popular dibincangkan oleh pendukung hak asasi dan kumpulan feminisme Barat. Pandangan kumpulan itu adalah jika bercakap mengenai hak ini bermakna semua orang mesti mendapat bahagian yang sama.

Misalnya, jika kita ada lima hektar tanah dan mempunyai enam anak, pembahagian yang adil ialah lima hektar dibahagi enam.

Semua anak akan mendapat bahagian yang sama iaitu 0.8 hektar seorang. Jika seorang lelaki boleh mempunyai isteri yang ramai, maka wanita juga mesti dibenarkan bersuami ramai.

Akhirnya, mereka meminta hak yang sama seperti lelaki. Tentulah itu sesuatu yang sukar dilakukan kerana Allah menjadikan lelaki dan perempuan berbeza. Jika Allah mengkehendaki mereka sama, sudah tentu Allah hanya jadikan lelaki sahaja atau perempuan sahaja.

Perbezaan antara lelaki dan perempuan menyebabkan mereka saling perlu memerlukan. Allah jadikan mereka berbeza kerana cita rasa dan sifatnya juga berbeza. Perbezaan itu yang akan mengeratkan kasih sayang antara satu sama lain.

Jadi poligami daripada kaca mata orang Barat adalah tidak adil, tidak baik dan menganiaya wanita. Cakaplah apa saja untuk menegakkan keadilan, bagi wanita Barat, ia tetap tidak adil.

Oleh kerana pengaruh Barat yang terlalu kuat sejak kita dijajah, orang Islam di Malaysia juga memandang poligami sebagai tidak adil. Ini diburukkan oleh beberapa kes poligami yang jelas menunjukkan ketidakadilan.

Apa yang ramai terlupa ialah yang tidak adil itu bukannya Islam. Tetapi orang Islam yang berpoligami. Semasa saya kecil, saya mendengar emak berbisik-bisik mengenai seorang jiran yang dimadukan.

Seperti mana-mana wanita lain, emak tidak suka melihat lelaki berpoligami. Kata emak, biasanya isteri pertama ditinggalkan dengan anak-anak kerana suami terlalu sibuk dengan isteri barunya yang lebih muda dan cantik.



Saya teringat wanita malang itu datang mengadu kepada arwah ayah, kerana arwah ayah adalah seorang imam. Ada masanya, ayah pergi menasihatkan suaminya yang tidak bertanggungjawab jika ayah tahu di mana dia berada. Jika tidak, ayah terpaksa membantu isteri pertama yang ditinggalkan seperti mendapat bantuan kebajikan atau duit zakat.

Ada masanya, ayah berikan beras kepadanya untuk memberi anak-anaknya makan. Bayangkan saya masih teringat kepada semua itu dan tidak hairan jika saya juga mempunyai pandangan yang bias atau berat sebelah terhadap poligami.

Kes kedua mengenai poligami yang menyentuh hati saya berlaku beberapa tahun yang lalu selepas saya memberi ceramah mengenai poligami. Seorang wanita berusia awal 50-an telah berkahwin lebih 27 tahun. Wanita itu menceritakan yang dia telah 18 tahun tidak tidur bersama suaminya.

Saya terkejut lantas mengingatkannya tentang hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Apabila suami mengajak isterinya ke tempat tidur sedangkan isterinya menolak (tanpa uzur) sehinggalah suami itu tidur dalam keadaan marah dan kesal, malaikat akan melaknatnya (isteri) sehingga Subuh. "

Wanita itu menangis. Saya rasa amat bersalah. Saya tanya kenapa dia tidak tidur bersama suaminya. Katanya dia tidak boleh tidur dengan suami sebaik saja dia tahu suami telah beristeri baru dan tidak memberitahunya.

Dia minta diceraikan tetapi suami enggan. Akhirnya mereka teruskan kehidupan. Suami tetap pulang mengikut giliran dan membayar nafkah tetapi dia tidak boleh meniduri suami kerana rasa 'jijik' berkongsi suaminya dengan orang lain.

Dia mengakui berdosa, tetapi tidak ada apa yang dia boleh lakukan kerana ia adalah satu perasaan yang dia tidak boleh ubah. Ia adalah isu psikologi. Isu emosi.

Kes ketiga ialah apabila seorang wanita berusia 60-an datang menemui saya. Dia ingin memohon cerai daripada suami yang hilang hampir 40 tahun lalu. Saya tanya dia, suaminya hilang ke mana?

Dia kata tidak tahu. Tetapi menurut cerita, suaminya telah berkahwin baru dan meninggalkannya dengan lima orang anak. Dia besarkan semua anak-anak dengan tulang empat kerat dan akhirnya anak-anaknya berjaya. Saya tanya kenapa selepas anak dewasa dan berjaya baru mahu memohon cerai?

Wanita itu menangis. "Saya nak ke Mekah. Tabung Haji suruh minta kebenaran suami. Saya tak tahu dia di mana. Jika tidak saya kena bercerai."

Saya merasa amat sedih. Inilah seorang isteri yang taat menunggu suaminya. Tidak pernah terfikir dia perlu ke Mahkamah Syariah memohon cerai daripada suami yang tidak pernah wujud dalam hidupnya selama 40 tahun. Tapi dia terpaksa memohon cerai kerana mahu menunaikan haji.

Semua cerita ini menunjukkan ketidakadilan poligami kerana pengamalnya tidak adil. Kes pertama adalah senario yang memang wujud dalam masyarakat kita di mana suami yang berpoligami tidak boleh berlaku adil terhadap isteri-isterinya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman