Selasa, 24 Disember 2013

Adil tonggak kebahagiaan

Oleh : Nor Hatina Shuib
Sumber : Berita Harian - Famili
Tarikh : 24/12/2013

Suami isteri perlu faham peranan, tanggungjawab ikut syariah elak kes cerai meningkat

Perceraian suatu yang memeritkan. Ia boleh dielakkan jika bijak mengendalikan. Mewujudkan kerukunan, kesejahteraan dan kebahagiaan rumah tangga perlu berteraskan kepada keadilan dan syariah Islam.

Apa saja badai yang melanda dalam institusi kekeluargaan mampu ditangani dengan merujuk kepada syariah.

Ramai wanita ditindas kerana tidak tahu syariah Islam mampu memberikan keadilan kepada mereka. Memahami syariah, ia adalah satu cara hidup umat Islam dan tidak hanya diamalkan mengikut perkara tertentu saja.

Mengulas mengenainya, Ketua Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk Negeri Selangor, Aluwi Parman, berkata, syariah perlu difahami sebagai hukum yang ditentukan Allah sebagai amalan kehidupan.

Katanya, suami dan isteri perlu tahu kedudukan, tanggungjawab dan peranan masing-masing mengenai apa yang diamanahkan kepada mereka.

“Mereka perlu tahu peranan masing-masing dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan. Jika mereka faham tanggungjawab, tidak ada masalah seperti perceraian dan pertelingkahan kerana semuanya berlaku dengan adil.

“Sebagai contoh, suami harus faham, tugasnya menyediakan nafkah. Jika sudah faham mengenainya, isteri tidak akan meminta-minta sehingga boleh menjejaskan kerukunan rumah tangga,” katanya ditemui pada Seminar Wanita dan Syariah 2013 - Keadilan Asas Kesejahteraan Keluarga, baru-baru ini.

Beliau berkata, apabila adil, kehidupan berjalan lancar dan dilimpahi kebahagiaan.

Aduan perceraian serius

Isnin, 23 Disember 2013

Mahkamah arah keluarga ditemukan

Sumber : Utusan Malaysia

KUALA TERENGGANU 23 Dis. - Kes tuntutan nafkah seorang bapa, Mustafa Ismail ke atas anaknya, Nasrun Mustafa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang sudah berlarutan lebih tiga tahun masih tergantung tanpa penyelesaian.

Berikutan itu, mahkamah yang sama hari ini membuat keputusan mengarahkan semua anggota keluarga berkenaan hadir ke mahkamah itu untuk satu 'perjumpaan keluarga' bagi meleraikan konflik antara mereka.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Rosdi Harun di mahkamah itu hari ini sejurus selesai mengadakan pertemuan selama kira-kira 10 minit antara defendan, Nasrun,40, dan bapanya, Mustafa, 67, (plaintif) di kamar hakim.

Pertemuan itu yang merupakan satu usaha bagi menyelesaikan perbalahan secara Sulh atau penyelesaian di luar mahkamah akan diadakan tanpa prosiding yang akan dihadiri Nasrun, ibu bapanya iaitu Mustafa dan Che Mariam Abdullah, 59, serta enam lagi adik beradik Nasrun.

Rabu, 18 Disember 2013

Dua pemain Pahang didenda RM1,000

Oleh : SHAHRINNAHAR LATIB
Sumber : Utusan Malaysia


KUANTAN 17 Dis. - Dua pemain bola sepak Pahang, Mohd. Amirul Hadi Zainal dan Mohd. Zaiza Zainal Abidin bersama pasangan masing- masing didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas kesalahan berkhalwat di sebuah hotel pada September lalu.

Hakim Syarie Abdul Wahid Md. Ali Al-Fakwie menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Amirul Hadi, 27, Mohd. Zaiza, 23, dan pasangan mereka, Zuraida Muhammad, 26, serta Puteri Natalya Nurul Adzween Rosly, 23, selepas keempat-empat mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 4.30 pagi, 10 September lalu ketika serbuan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di bilik berasingan di Hotel Vistana di sini.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 145(1)(2) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Ketua Pendakwaan Syarie, Sallehuddin Abdul Manaf memohon hukuman maksimum dikenakan terhadap pasangan berkenaan kerana mereka yang tidak diwakili peguam syarie enggan merayu atas kesalahan dilakukan.

Isnin, 16 Disember 2013

Tingkat kesedaran keganasan terhadap wanita

Oleh : Nor Affizar Ibrahim
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 16/12/2013

Program Mock Trial di USIM didik, buka mata masyarakat

Keganasan terhadap wanita di negara ini, membuka mata banyak pihak untuk turut sama-sama menangani isu itu.

Ini berikutan, keganasan terhadap wanita seperti mencabul, merogol, keganasan rumah tangga, memperdagangkan wanita dan sebagainya memberikan impak yang besar kepada sosio serta ekonomi negara.

“Isu ini perlu ditangani bagi wujudkan persekitaran selamat untuk wanita supaya mereka bebas daripada dianiaya." Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM

Justeru, mewujudkan dan meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kepentingan serta peranan semua pihak dalam menghapuskan segala bentuk keganasan terhadap wanita, program Mock Trial iaitu pementasan mahkamah olok-olok diadakan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Bandar Baru Nilai, baru-baru ini.

Rabu, 11 Disember 2013

Fiza mahu bincang secara harmoni dengan suami

Sumber : Urusan Malaysia - Mahkamah
Tarikh : 10/12/2013


KLANG 9 Dis. - Perbicaraan kes permohonan cerai secara fasakh pengacara rancangan Wanita Hari Ini (WHI), Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan terhadap suaminya, Afief Farhan Fauzi di Mahkamah Rendah Syariah di sini ditangguh setelah wanita itu memaklumkan mahu mengadakan penyelesaian secara baik dengan suaminya.

Personaliti TV3 yang turut dikenali sebagai Fiza memohon satu tempoh agar dia boleh mengadakan perbincangan dengan suaminya itu.

Keputusan Fiza itu menyebabkan Hakim Syarie, Zainal Abidin Kusmin mempersoalkan mengapa sebelum ini wanita itu tidak memikirkan perbincangan secara harmoni setelah empat minggu kes perbicaraan itu bermula.

''Bila timbulnya keputusan atau idea ini, sebelum ini kamu ada berkomunikasi dengan suami?'' soal Zainal Abdidin.

Menurut Fiza, 31, dia mempunyai hasrat untuk berbincang, namun tidak tahu cara terbaik setelah kes dibawa ke mahkamah dan kali terakhir mereka berkomunikasi ialah pada sebutan pertama kes itu.

Jumaat, 6 Disember 2013

Aidil dakwa tuntutan Rita melampau

Oleh : SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my
Tarikh : 05/12/2013

PETALING JAYA 4 Dis. - Pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini yang pendapatannya RM10,000 sebulan dan tuntutan nafkah anak RM5,392 oleh pelakon Rita Rudaini terhadapnya adalah melampau.

Mohamad Aidil, 26, berkata, dia tidak bersetuju dengan jumlah yang diminta oleh bekas isterinya itu kerana melampaui keperluan sebenar dua anaknya dan dia telah menyediakan nafkah mengikut keperluan mereka dan kemampuannya.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 37, selaku pihak plaintif menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2, merangkumi perbelanjaan makan minum, pengasuh dan lampin pakai buang.

Mohamad Aidil yang juga pemain pasukan Johor Darul Takzim mendakwa, dia telah memperuntukkan antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan untuk plaintif dan anak-anak serta RM4,000 setiap kali musim perayaan.

"Saya tidak menentukan jumlah nafkah untuk mereka, jika ada lebih saya akan bagi lebih," katanya.

Kes cerai tujuh talak disebut semula 15 Jan.

Sumber : Utusan Malaysia - Mahkamah
Tarikh : 05/12/2013


SHAH ALAM 4 Dis. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 15 Januari tahun depan sebutan semula kes seorang wanita yang memohon untuk memfarakkan (membubarkan perkahwinan) suaminya dengan isteri kedua yang didakwanya telah diceraikan oleh lelaki itu dengan tujuh talak.

Hakim Syarie, Mohamed Adib Husain menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan responden kes itu, Khairul Anim Modim, 49, dan Kamalita Kamaruddin, 46, memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan wanita berkenaan, Harlina Mohamed.

Pada prosiding hari ini, Kamalita hadir dengan ditemani peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain. Bagaimanapun, Khairul Anim tidak hadir kerana mempunyai satu kes di Mahkamah Petaling Jaya.

Harlina, 47, yang bertugas sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta memfailkan permohonan farak itu selepas meragui status perkahwinan antara suaminya, Khairul Anim dan Kamalita yang didakwanya tidak sah mengikut hukum syarak.

Berdasarkan afidavit permohonannya, wanita yang diwakili peguam syarie, Azmi Mohd. Rais itu turut mendakwa, perkahwinan pasangan itu telah berlaku secara pemalsuan status bujang suaminya.

Harlina turut mendakwa perkahwinan itu terbatal kerana telah berlaku talak ketiga secara dua kali.

Fiqh Wanita: Persoalan nafkah isteri diperjelas secara terperinci

Oleh : Shadiya Abbas
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 05/12/2013


Di Malaysia, antara penyumbang terbesar terhadap ekonomi negara ialah wanita. Sudah menjadi keperluan untuk isteri bekerja membantu suami apatah lagi jika tinggal di kota besar dengan saraan hidup yang tinggi.

Menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawi, harus hukumnya bagi wanita keluar bekerja, sama ada untuk membantu suami, keluarga atau kerana berkongsi manfaat kepada masyarakat. Namun, adakah wanita turut menanggung tanggungjawab nafkah seperti lelaki?

Persoalan itu akan dijelaskan peguam syarie, Salwa Fadzil, bagi memberi kefahaman kepada wanita yang masih tidak jelas mengenai tuntutan nafkah bagi isteri yang bekerja.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada kamu yang lebih banyak dari sebahagian yang lain. Kerana bagi seorang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita (pun) ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah an-Nisa, ayat 32)

Khamis, 5 Disember 2013

Kemelut kahwin muda

Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh : 05/12/2013
Oleh : ZAINUL RIJAL ABU BAKAR


PERKAHWINAN anak bawah umur sekali lagi mendapat tempat di dada akhbar apabila disiarkan berita pasangan bawah umur yang diberi kebenaran berkahwin oleh Mahkamah Syariah bercerai dengan talak satu setelah setahun perkahwinan mereka.

Berita ini seolah-olah memberi ‘inspirasi’ kepada golongan tertentu yang menjuarai desakan mengharamkan perkahwinan bawah umur. Mereka mendakwa inilah antara bukti perkahwinan di bawah umur perlu diharamkan.

Sebelum ini saya pernah menulis berhubung perkara ini dengan mengulas daripada perspektif undang-undang di Malaysia. Menurut undang-undang di Malaysia, orang Islam tidak dibenarkan berkahwin sekiranya salah seorang atau kedua-dua pasangan tersebut belum mencapai umur yang ditentukan iaitu 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.

Namun begitu undang-undang memberi pengecualian sekiranya orang yang di bawah umur yang dinyatakan di atas mahu berkahwin, mereka perlu mendapatkan kebenaran khas dari mahkamah syariah.

Rabu, 4 Disember 2013

Wanita mangsa jenayah

Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh : 04/12/2013


WANITA dijadikan oleh Allah SWT untuk menjadi pasangan lelaki sebagai isteri dan melahirkan generasi akan datang seorang ibu. Wanita sangat senang masuk syurga. Nabi SAW bersabda yang wanita boleh masuk syurga dari mana-mana pintu syurga tetapi semasa baginda melihat neraka, Baginda menyatakan yang ramainya wanita di dalam neraka.

Persoalannya, apakah yang menjadikan wanita ramai menjadi penghuni neraka, sedangkan peluang masuk syurga sangat luas. Sebagai isteri, tugas utama dan pertamanya ialah melayan suami dan taat kepada suaminya. Dalam ketaatannya itu, seorang isteri boleh menerpa nasib yang malang dan terpaksa menerima padah daripada ketaatannya.

Saya bukan ingin menyuruh isteri tidak taat tetapi ketaatan isteri kepada suami mestilah berasaskan hukum. Suami juga tidak boleh mengarah atau mempergunakan isteri seperti hamba suruhan dan melakukan perkara yang dilarang syarak.

Dalam isu wanita dan jenayah, saya akan melihat kepada fenomena keterlibatan wanita sebagai isteri atau anak gadis yang terlibat dengan jenayah. Ada wanita yang ditangkap dan dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun kerana dia didapati bersalah memiliki dadah. Mereka disabitkan di bawah seksyen12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimana ia boleh berlaku? Dalam satu kes, Aminah (bukan nama sebenarnya) ditangkap kerana suaminya menjual dan menyimpan dadah di rumah. Menurutnya ketika polis datang, suaminya melarikan diri. Dia ditangkap kerana dadah ada di dalam bilik tidur. Anak-anak ditinggalkan dengan keluarga sementara dia ditahan. Suami masih dicari.

Dalam kes kedua, pasangan berkahwin selepas tamat belajar. Mereka graduan luar negara dan mempunyai anak berusia 13 tahun. Menurut isteri, suaminya suka minum arak dan mengambil dadah sebagai suku-suka. Di awal perkahwinan, dia memarahi suami yang menggunakan dadah sekali sekala termasuk semasa hendak mengadakan hubungan seks. Akhirnya dia juga dipengaruhi suami untuk mengambil dadah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman