Sumber : Utusan Malaysia
KUALA TERENGGANU 23 Dis. - Kes tuntutan nafkah seorang bapa, Mustafa Ismail ke atas anaknya, Nasrun Mustafa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang sudah berlarutan lebih tiga tahun masih tergantung tanpa penyelesaian.
Berikutan itu, mahkamah yang sama hari ini membuat keputusan mengarahkan semua anggota keluarga berkenaan hadir ke mahkamah itu untuk satu 'perjumpaan keluarga' bagi meleraikan konflik antara mereka.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Rosdi Harun di mahkamah itu hari ini sejurus selesai mengadakan pertemuan selama kira-kira 10 minit antara defendan, Nasrun,40, dan bapanya, Mustafa, 67, (plaintif) di kamar hakim.
Pertemuan itu yang merupakan satu usaha bagi menyelesaikan perbalahan secara Sulh atau penyelesaian di luar mahkamah akan diadakan tanpa prosiding yang akan dihadiri Nasrun, ibu bapanya iaitu Mustafa dan Che Mariam Abdullah, 59, serta enam lagi adik beradik Nasrun.
Dua anak Nasrun yang kini dijaga oleh Mustafa iaitu Nur Thahirah Nazihah, 16, dan Muhammad Amirul Nasrullah, 18, juga akan dipanggil menghadiri pertemuan tersebut Januari ini.
Sementara itu, Mustafa, ketika ditemui pemberita selepas itu, berkata, pertemuan pada 12 Januari ini diharap dapat menyelesaikan kemelut antara mereka anak beranak.
"Saya cuma nak dia (Nasrun) balik ke rumah dan jumpa dengan dua anaknya semula. Kita harap perjumpaan itu nanti dapat selesaikan semua masalah keluarga.
"Sekarang ni, dia dah bayar RM10,000 kepada kami daripada tuntutan seperti diarahkan mahkamah, dia dah mula bayar RM1,800 sebulan. Tapi nafkah untuk cucu saya (dua anak Nasrun) belum lagi bayar.
Mustafa turut meluahkan perasaannya bahawa sejak anak sulungnya, Nasrun berkahwin dengan isteri baharunya sekarang dan mempunyai tiga orang anak, mereka tidak pernah datang menjenguknya di Kampung Beladau Kolam, Manir di sini.
Pada 24 November lalu, mahkamah yang sama menasihatkan pengurus syarikat cari gali minyak dan bapanya yang memfailkan tuntutan nafkah ke atasnya itu supaya kembali berbincang menyelesaikan sengketa dua sekeluarga itu secara baik.
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan