Isnin, 16 Disember 2013

Tingkat kesedaran keganasan terhadap wanita

Oleh : Nor Affizar Ibrahim
Sumber : Berita Harian
Tarikh : 16/12/2013

Program Mock Trial di USIM didik, buka mata masyarakat

Keganasan terhadap wanita di negara ini, membuka mata banyak pihak untuk turut sama-sama menangani isu itu.

Ini berikutan, keganasan terhadap wanita seperti mencabul, merogol, keganasan rumah tangga, memperdagangkan wanita dan sebagainya memberikan impak yang besar kepada sosio serta ekonomi negara.

“Isu ini perlu ditangani bagi wujudkan persekitaran selamat untuk wanita supaya mereka bebas daripada dianiaya." Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM

Justeru, mewujudkan dan meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kepentingan serta peranan semua pihak dalam menghapuskan segala bentuk keganasan terhadap wanita, program Mock Trial iaitu pementasan mahkamah olok-olok diadakan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Bandar Baru Nilai, baru-baru ini.



Penyelaras program dan juga Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, Dr Muzafffar Syah Mallow, berkata program tahunan itu adalah kali ketiga diadakan, sejak 2011.

Muzaffar berkata, isu keganasan terhadap wanita perlu dipandang serius dengan mengambil pelbagai langkah sebagai usaha mencegah dan mengatasi masalah ini termasuklah penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan program kesedaran seumpama itu serta pengukuhan institusi kekeluargaan itu sendiri.

Kes meningkat

“Kes keganasan terhadap wanita dilaporkan semakin meningkat dari setahun ke setahun. Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes keganasan rumah tangga yang membabitkan wanita, meningkat dari 2,462 kes pada tahun 2011 kepada 2,558 kes pada tahun 2012.

“Untuk itulah, antara objektif program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan golongan muda mengenai keperluan sama-sama menangani isu keganasan terhadap wanita dan mewujudkan jalinan kerjasama yang aktif antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT), kementerian serta NGO bagi mencegah keganasan,” katanya.

Program dua hari itu membabitkan 30 pelajar USIM dan ia turut diadakan bersempena, konvokesyen ke-11 pusat pengajian tinggi berkenaan. Program diadakan dengan kerjasama, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), IM4U dan badan bukan kerajaan (NGO), All Women’s Action Society (AWAM).

Program diadakan, simbolik Sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2013 yang disambut pada setiap 25 November dan dirasmikan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Sri Rohani Abdul Karim.

Muzaffar berkata, berdasarkan petikan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki- Moon, keganasan terhadap wanita adalah pencabulan hak asasi manusia dan penghalang kepada kesaksamaan gender.

“Hakikatnya, isu ini perlu ditangani bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk wanita supaya mereka bebas daripada penganiayaan. Keganasan terhadap wanita meliputi semua perbuatan menganiaya wanita dalam pelbagai cara termasuk penderaan fizikal, emosi, dan sosial,” katanya turut berharap program berkenaan dapat memberi kesedaran kepada semua.

Beban pembuktian

Mengenai pengisian program berkenaan, Muzaffar berkata, dua aspek fokus utama iaitu subjek undang-undang jenayah dan undang-undang keterangan.

Katanya, antara menjadi dilema bagi kes keganasan terhadap wanita ialah sudut pembuktian yang menyukarkan mangsa membela dirinya manakala, pelaku bebas daripada perbuatan dilakukan.

“Sebelum ini hanya fizikal saja yang dinyatakan dalam akta dan boleh dijadikan bukti mangsa didera. Tetapi pada tahun lepas, ada pindaan dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dengan memasukkan elemen emosi dan penderaan mental dalam akta sama bagi pindaan 2012.

“Ini satu perkembangan yang baik dan inilah juga yang cuba dipaparkan dalam program Mock Trial dan untuk dikongsi dengan semua. Diharapkan juga orang ramai terutama mangsa lebih faham akan dirinya supaya pembelaan lebih adil dapat diberikan kepadanya. Begitu juga masyarakat sekitar perlu berikan sokongan dan lebih prihatin mengenai isu ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman