Khamis, 5 Disember 2013

Kemelut kahwin muda

Sumber : Utusan Malaysia - Bicara Agama
Tarikh : 05/12/2013
Oleh : ZAINUL RIJAL ABU BAKAR


PERKAHWINAN anak bawah umur sekali lagi mendapat tempat di dada akhbar apabila disiarkan berita pasangan bawah umur yang diberi kebenaran berkahwin oleh Mahkamah Syariah bercerai dengan talak satu setelah setahun perkahwinan mereka.

Berita ini seolah-olah memberi Ć¢€˜inspirasiĆ¢€™ kepada golongan tertentu yang menjuarai desakan mengharamkan perkahwinan bawah umur. Mereka mendakwa inilah antara bukti perkahwinan di bawah umur perlu diharamkan.

Sebelum ini saya pernah menulis berhubung perkara ini dengan mengulas daripada perspektif undang-undang di Malaysia. Menurut undang-undang di Malaysia, orang Islam tidak dibenarkan berkahwin sekiranya salah seorang atau kedua-dua pasangan tersebut belum mencapai umur yang ditentukan iaitu 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.

Namun begitu undang-undang memberi pengecualian sekiranya orang yang di bawah umur yang dinyatakan di atas mahu berkahwin, mereka perlu mendapatkan kebenaran khas dari mahkamah syariah.



Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan perkara mengenai umur minimum perkahwinan yang menyebut:

8. Tiada suatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Perkahwinan bawah umur dibenarkan mahkamah berdasarkan budi bicara hakim setelah menimbang semua keterangan di hadapan hakim tersebut. Dalam hal yang demikian orang Islam diberi kelonggaran berkahwin di bawah umur minimum tersebut dengan syarat kebenaran bertulis daripada seorang Hakim Syarie diberikan terlebih dahulu.

Hakim Syarie adalah orang yang mempunyai pengalaman dan ilmu yang mantap berkaitan undang-undang Islam dan merekalah orang yang paling layak menentukan sesuatu perkahwinan bawah umur itu perlu diberikan kebenaran atau sebaliknya.

Bagi orang bukan Islam, kedudukannya dinyatakan dalam seksyen 10 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Kedudukan ini hampir sama dengan kedudukan dalam undang-undang Islam iaitu 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan melainkan orang yang di bawah umur tersebut perlu mendapat lesen daripada Ketua Menteri atau Menteri Besar bagi negeri-negeri dan Menteri bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Kebenaran

Perbezaan yang ada ialah bagi orang Islam kebenaran diberikan oleh seorang Hakim Syarie manakala bagi orang bukan Islam lesen diberikan oleh Ketua Menteri, Menteri Besar ataupun Menteri. Pada pandangan saya, adalah lebih baik pengecualian ini diberikan oleh seorang Hakim Syarie berbanding seorang Ketua Kerajaan kerana seorang hakim akan meneliti fakta dan keterangan sebelum membuat sebarang keputusan.

Selanjutnya, pada pandangan saya, adalah amat tidak wajar mengharamkan terus perkahwinan di bawah umur kerana sudah pasti sifat sesuatu undang-undang perlulah dinamik. Pengecualian dan budi bicara undang-undang adalah amat perlu bagi menangani kes-kes terpencil jika ia memerlukan. Sekiranya diharamkan terus perkahwinan di bawah umur, budi bicara ini sudah tidak dapat dilaksanakan. Malah perkahwinan bagi orang Islam yang sudah baligh dan mencukupi syarat dan rukun adalah sah di sudut Hukum Syarak.

Sebagai seorang Peguam Syarie, saya sendiri pernah mengendalikan kes perkahwinan di bawah umur sebegini. Saya dapati bahawa Hakim Syarie amat teliti mengambil kira dan memberi pertimbangan tentang akhlak, sahsiah, masa depan dan juga kepentingan kedua-dua pasangan tersebut. Malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa perkahwinan bawah umur ini hanyalah suatu pengecualian dan bukan suatu norma dalam kehidupan harian umat Islam di Malaysia.

Perkahwinan bukan semata-mata bagi memenuhi hawa nafsu, tetapi merupakan ikatan suci yang dipenuhi oleh tanggungjawab yang besar. Adalah amat malang bagi sesetengah NGO yang menolak perkahwinan yang sah mengikut undang-undang dan Hukum Syarak ini tetapi tidak mempunyai bantahan terhadap hubungan seks atas kerelaan sesama sendiri kerana berpegang kepada hak asasi manusia.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman