Selasa, 24 Disember 2013

Adil tonggak kebahagiaan

Oleh : Nor Hatina Shuib
Sumber : Berita Harian - Famili
Tarikh : 24/12/2013

Suami isteri perlu faham peranan, tanggungjawab ikut syariah elak kes cerai meningkat

Perceraian suatu yang memeritkan. Ia boleh dielakkan jika bijak mengendalikan. Mewujudkan kerukunan, kesejahteraan dan kebahagiaan rumah tangga perlu berteraskan kepada keadilan dan syariah Islam.

Apa saja badai yang melanda dalam institusi kekeluargaan mampu ditangani dengan merujuk kepada syariah.

Ramai wanita ditindas kerana tidak tahu syariah Islam mampu memberikan keadilan kepada mereka. Memahami syariah, ia adalah satu cara hidup umat Islam dan tidak hanya diamalkan mengikut perkara tertentu saja.

Mengulas mengenainya, Ketua Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk Negeri Selangor, Aluwi Parman, berkata, syariah perlu difahami sebagai hukum yang ditentukan Allah sebagai amalan kehidupan.

Katanya, suami dan isteri perlu tahu kedudukan, tanggungjawab dan peranan masing-masing mengenai apa yang diamanahkan kepada mereka.

“Mereka perlu tahu peranan masing-masing dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan. Jika mereka faham tanggungjawab, tidak ada masalah seperti perceraian dan pertelingkahan kerana semuanya berlaku dengan adil.

“Sebagai contoh, suami harus faham, tugasnya menyediakan nafkah. Jika sudah faham mengenainya, isteri tidak akan meminta-minta sehingga boleh menjejaskan kerukunan rumah tangga,” katanya ditemui pada Seminar Wanita dan Syariah 2013 - Keadilan Asas Kesejahteraan Keluarga, baru-baru ini.

Beliau berkata, apabila adil, kehidupan berjalan lancar dan dilimpahi kebahagiaan.

Aduan perceraian serius



Aluwi berkata, setiap hari sebanyak 17 kes perceraian berlaku di Selangor dan ia perlu dipandang serius.

Antara aduan yang biasa diterima ialah pasangan jahil agama, masalah kewangan dan ekonomi, wujud orang ketiga dan pelbagai lagi.

Sebagai contoh, ada yang mempertikaikan mengenai hukum agama. Itu tidak sepatutnya berlaku kerana agama bukan barang permainan.

“Oleh itu, suami atau isteri perlu ada asas agama yang kukuh. Jika tidak tahu, boleh belajar dengan guru yang berpengalaman. Sebagai contoh, suami tidak solat, isteri ada hak menegurnya. Jika isteri rasa tak boleh tegur, cuba gunakan orang tengah yang mana suami segan atau hormat kepada orang itu.

“Saya juga dapat banyak aduan isteri tidak tahu pendapatan pasangan, malah ada yang suka berbelanja secara berlebihan. Ada juga yang mengadu dibebani hutang perkahwinan. Bagi saya, semua ini dapat diselesaikan jika ikut cara hidup Islam. Hidup dalam keadaan bersederhana dan bukan bermegah-megah.

“Perceraian dan pergaduhan berlaku akibat campur tangan orang ketiga dan keempat. Selalunya berlaku apabila ibu mentua menjadi ‘kaunselor murahan’ menyebabkan pertelingkahan yang berlaku menjadi lebih besar. Ada juga kes perceraian berlaku semata-mata kerana suami mahu berkahwin dengan wanita lain. Dengan mudah, suami membuat keputusan menceraikan isteri. Sebenarnya, jika berbalik kepada syariah Islam, kita akan melalui semua perkara ini dengan rasional,” katanya.

Tabiat sukar dikikis

Jelasnya, masalah tabiat ‘kritikal’ yang ada dalam diri pasangan membuatkan institusi kekeluargaan yang dibina menjadi goyah.

“Aduan yang biasa kita dapat adalah membabitkan sikap isteri yang suka berleter ataupun suami garang.

Apabila sudah menjadi pasangan, sepatutnya tabiat ini ditinggalkan kerana menggugat keharmonian keluarga.

Malah, ada yang mengadu tidak puas hati kerana suami kuat seks atau suami lemah tenaga batin. Bagi saya, apabila situasi ini berlaku, sebaiknya rujuk kepada syariah Islam. Tidak semestinya semua hal yang ketidakpuasan hati ini berakhir dengan perceraian walaupun memang kebanyakan kes aduan ini berakhir dengan lafaz cerai,” katanya.

Beliau berkata, apa yang dilakukan pihaknya apabila mendapat aduan adalah memberi khidmat nasihat dan kaunseling.

“Mula-mula kita panggil pengadu dan tanya apa yang berlaku. Kemudian, baru kita panggil pasangan yang diadu sebelum kita panggil kedua-duanya untuk sesi nasihat. Kadangkala, ada juga kes pasangan yang tidak mengaku mereka membuat aduan. Ini menyukarkan pihak kita membantu mereka.

“Ada satu kes yang mana pasangan mengadu pasangannya tidak mahu tidur bersama. Jadi, kita panggil dan cari penyelesaian. Akhirnya, baru tahu pasangan terlalu penat bekerja sehingga tiada masa untuk ‘tidur bersama’ ,” katanya.

Kata Aluwi, walaupun sesiapa saja nampak perkara ini begitu remeh, ia hakikat sebenar yang dihadapi pasangan di negara ini.

Kurang ilmu kekeluargaan

Sikap tidak sabar pasangan dilihat mengeruhkan keadaan. Kata beliau, ramai pasangan tidak sabar. Sabar sepatutnya menjadi asas dalam agama.

“Pasangan kurang pendidikan kekeluargaan menyebabkan mereka tidak tahu mengemudi rumah tangga. Apabila mahu kahwin, mereka kahwin saja tanpa ada asas dan berlandaskan syariah. Kursus perkahwinan yang cuma dua hari memang tidak mencukupi.

“Oleh itu, pasangan yang mahu bahagia, dapatkan ilmu kekeluargaan dengan guru. Jika tidak, beli buku untuk dijadikan rujukan supaya dapat manfaatkan untuk membimbing keluarga.

Adil bagi wanita

Katanya, ramai isteri tidak tahu, bukan saja suami perlu adil terhadap dirinya. Malah, isteri juga perlu bertindak sedemikian.

“Sebagai contoh, bagi suami yang berpoligami, dituntut oleh agama untuk berlaku adil kepada isteri yang dinikahinya. Jika berada satu malam di rumah isteri pertama, perlu lakukan sama kepada isteri kedua dan begitulah seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, adil dalam konteks kasih sayang adalah sesuatu yang abstrak untuk dilihat daripada mata kasar, tetapi nafkah giliran dapat dilihat dan dilakukan dengan adil dan saksama.

Keadilan ikut situasi

Katanya, dalam pembinaan keluarga yang penuh keadilan, ia mengikut kemampuan suami dan bukan mengikut latar belakang isteri.

“Jika isteri yang dikahwini adalah daripada keluarga mewah, kita tak boleh ikut gaya hidup si isteri kerana si suami yang dikahwini tidak berkemampuan. Jadi, keadilan dilihat daripada kemampuan suami untuk memberi makan minum, tempat tinggal dan pakaian yang berada pada kemampuannya.

“Apa yang suami makan, itu yang isteri makan. Adilnya dari sudut syariah ialah isteri kena terima dan memadai apa yang diberi,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman