Khamis, 9 Januari 2014

Pembelaan mangsa dera

Oleh : Nor Hatina Shuib
Tarikh : 1/11/2013
Sumber : Berita Harian - Famili

Usaha Pusat Khidmat Sepadu HKL dapat perhatian dunia

Saban hari banyak kes dera dan keganasan rumah tangga terpampang di dada akhbar khususnya kes membabitkan orang terdekat termasuk suami, dan keluarga pertalian darah seperti saudara mara.

Akta Keganasan Rumahtangga 1994 sudah dikuatkuasakan namun gagal mengekang secara menyeluruh.

Mangsa dera bukan sekadar diberi rawatan secara fizikal, malah turut disediakan sesi kaunseling." Dr Abu Hassan Asaari, Pelopor Pusat Khidmat Sepadu HKL

Impak kepada isu keganasan dan penderaan mangsa menjadi trauma dan mereka sepatutnya memerlukan sokongan dan semangat untuk mengembalikan kehidupan normal.

Statistik dicatatkan Pusat Khidmat Sepadu Hospital Kuala Lumpur (HKL), menunjukkan dalam tempoh sebulan pihaknya menerima antara 40 hingga 50 kes penderaan ke atas wanita manakala antara lima hingga 10 kes pula dilaporkan membabitkan penderaan lelaki.

Katanya, setiap kes berlaku perlu diambil perhatian kerana kesan keganasan membawa penyakit sosial dalam masyarakat.

Kedua-dua kategori kes diterima, membabitkan perangkaan dikeluarkan pusat berkenaan, menunjukkan penderaan membabitkan wanita berusia 35 tahun ke bawah lebih tinggi, berbanding pada usia lebih 50 tahun.

Peratusan pendera mengikut kaum pula, menunjukkan Melayu mencatatkan jumlah, tertinggi iaitu sebanyak 44 peratus berbanding India (30 peratus) dan Cina (18 peratus).



Pusat diwujudkan membantu mangsa dera atau keganasan dalam pelbagai aspek kepada mangsa dera atau keganasan, dipelopori Prof Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari. Ia dilihat satu usaha berterusan yang baik bagi memberi sokongan menggunakan intervensi kemanusian atau humanistik sehingga menjadi perhatian dunia.

Dr Abu Hassan berkata, mangsa dera bukan sekadar diberi rawatan secara fizikal, malah turut disediakan sesi kaunseling yang mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, apa yang lebih membanggakan, HKL adalah perintis utama yang menjalankan modul humanistik berkenaan sehingga mendapat perhatian di India, Bangkok dan Bangladesh.

“Pusat Khidmat Sepadu ini bermula di HKL dan ditubuhkan di setiap hospital besar di beberapa negeri dan daerah seperti Johor Bahru, Segamat, Pontian dan Pulau Pinang.

“Setakat ini ada 200 pusat khidmat sepadu seumpamanya sudah ditubuhkan di klinik, hospital universiti dan hospital swasta,” katanya.

Manfaat pusat

Hampir 11 tahun berdiri kukuh merawat dan memberi perlindungan kepada mangsa dera, pusat yang berada di bawah Jabatan Kecemasan itu merawat mangsa dengan kaedah humanistik dan berkonsepkan ‘One Stop Crisis Centre’ (OSCC) iaitu mangsa boleh datang ke satu lokasi di pusat berkenaan dan segala urusan diselesaikan kesemuanya.

Jelasnya, mangsa akan menerima rawatan secara menyeluruh dari segi perubatan, sokongan emosi dan perundangan dan maklumat mangsa adalah rahsia sulit yang amat dihormati.

“Ketika memberi perkhidmatan dan rawatan, beberapa peringkat akan dilalui oleh mangsa membabitkan pihak polis bagi tujuan mendapatkan laporan kes, diikuti kerjasama NGO untuk mendapatkan khidmat kaunseling,” katanya.

Proses rawatan

Bagi peringkat kedua pula, mangsa akan melalui proses perawatan termasuk pemeriksaan daripada pakar perubatan.

Peringkat ke tiga pula, ia lebih kepada prosedur mahkamah dan sebagainya.

Malah, sebagai sebuah pusat yang mengutamakan kepentingan terhadap hak peribadi dan menjaga maruah mangsa, satu pintu khas disediakan bagi mereka untuk ke pusat terbabit yang tidak diletakkan papan tanda supaya tidak timbul stigma masyarakat terhadap mangsa.

Turut disediakan adalah kod warna yang membezakan samada ia adalah kes dera atau rogol yang hanya diketahui pihak pengurusan.

Pusat itu juga dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan mangsa termasuk tempat pemeriksaan, katil tempat berehat, bilik persalinan dan juga bilik kaunseling.

Malah di dalam bilik pemeriksaan terdapat alatan lengkap bagi pengambilan contoh darah, rambut, kuku dan sebagainya daripada mangsa dilakukan secara teliti supaya ia boleh dijadikan bahan bukti.

Sedia ruang jaga keselamatan mangsa

Akta keganasan rumah tangga yang diwujudkan dilihat sebagai pintu kebal yang melindungi wanita daripada terus menjadi mangsa keganasan lelaki yang mendera dari aspek emosi, psikologi, mental dan fizikal golongan Hawa.

Kes suami memukul isteri di dalam lif di Pulau Pinang, baru-baru ini memperlihatkan hilang hormat terhadap wanita.

Kejadian dera adalah masalah sosial yang membengkak dalam masyarakat bukan saja menular dalam masyarakat negara ini malah turut menular di negara luar seperti India dan Bangladesh.

Istilah penderaan

Dr Abu Hassan Asaari Abdullah, yang juga Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma (HKL), berkata istilah penderaan itu sendiri begitu luas dan konsepnya tidak mengenal jantina dan ia boleh diklasifikasikan kepada dua, iaitu penderaan fizikal dan mental.

Penderaan fizikal lazimnya menggunakan tangan atau objek manakala penderaan mental menjurus kepada kata-kata atau perbuatan yang boleh mendatangkan tekanan mental kepada mangsa. Penderaan jenis ini membuatkan seseorang menjadi murung, tidak lalu makan dan rasa tertekan.

Dera emosi pula, ia membuatkan mangsa menjadi tidak tenteram dan lebih membabitkan perasaan. Sebagai contoh, jika isteri melakukan perkara yang tidak disukai suami seperti keluar rumah tanpa keizinan dan memakai pakaian yang tidak disukai, ia dianggap satu penderaan emosi terhadap suami.

Penderaan ekonomi pula, apa saja yang menggugat kesejahteraan rumah tangga seperti kekurangan dalam memberi nilai kebendaan kepada isteri boleh dianggap penderaan ekonomi. Sebagai contoh, suami tidak membeli pakaian ia dianggap boleh menyebabkan penderaan ekonomi.

Oleh itu, apa saja yang memberi kesan kepada seseorang menyebabkan rasa sengsara dari segi emosi, psikologi dan ekonomi, ia jelas adalah salah satu bentuk penderaan.

Beliau yang juga pakar Perunding Traumatologi HKL berkata, penderaan fizikal, emosi dan psikologi saling berkait.

“Apa saja situasi yang berlaku, ia adalah titik permulaan kepada penderaan atau keganasan. Paling tenat atau membimbangkan, penderaan emosi atau psikologi bertukar kepada penderaan fizikal. Sebagai contoh, contohnya, kes simbah asid kepada mangsa, menyebabkan mereka menjadi trauma.

“Apabila melihat cermin mangsa akan mengingati kejadian itu. Bukan kesan simbahan itu menyebab parut yang buruk malah paling teruk ialah ia mengganggu emosi mangsa,” katanya.

Dr Abu Hassan berkata, penderaan fizikal, emosi dan psikologi sebenarnya mempunyai hubungan. Ini kerana penderaan fizikal itu berlaku hasil daripada penderaan emosi dan psikologi juga.

Beliau berkata, setakat ini beliau melihat undang-undang yang dikuatkuasakan cukup baik dan penambahbaikan juga sudah dilakukan bagi melindungi dan membantu mangsa dera.

Intervensi secara humanistik

Lantas, satu intervensi yang kreatif dan holistik yang sudah dipelopori oleh Dr Abu Hassan dan peranan HKL melahirkan Perkhidmatan Pusat Khidmat Sepadu HKL, dilihat satu usaha berterusan yang baik bagi memberi sokongan menggunakan intervensi kemanusian atau humanistik sehingga menjadi perhatian dunia.

Seperti yang dilaporkan Public Health Agency of Canada, setiap tahun, 100 wanita di Kanada mengalami kecederaan serius atau terbunuh hasil daripada serangan keganasan daripada pasangan mereka sendiri. Mereka didera suami atau pasangan yang dikenali. Jumlah ini adalah lima kali lebih tinggi daripada bilangan lelaki yang mengalami penderaan teruk pada fizikal mereka iaitu sebanyak 100 lelaki.

Lebih mengecewakan, kes penderaan yang tinggi jumlahnya ini kebanyakannya tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa menyebabkan pihak terbabit sukar mengambil tindakan atas dasar kasih sayang, pujukan pasangan dan perasaan trauma dan takut kejadian dera berulang kembali atau lebih teruk.

INFO : Pusat Khidmat Sepadu (Crisis Centre HKL). Dibuka 24 jam sehari

Tiga kaedah yang boleh diikuti mangsa
1) Mangsa boleh hadir selepas membuat laporan polis dan dibawa oleh polis ke Pusat Khidmat Sepadu.
2) Mangsa boleh hadir tanpa membuat laporan polis terlebih dulu dan menunggu kehadiran polis di bilik yang disediakan.
3) Mangsa boleh dibawa keluarga, guru sekolah, rakan sepejabat dan NGO terus ke Pusat Khidmat berkenaan.

Tiga Kategori keadaan pesakit dan intervesi
1) Serius/ Kritikal : Mementingkan keselamatan nyawa dan bukti diambil sekaligus.
2) Separa Kritikal (pesakit tidak mampu berjalan dan tiada tenaga): Mengutamakan rawatan dan tidak memudaratkan pesakit.
3) Tidak Kritikal.

Mangsa dilindungi daripada persepsi masyarakat menerusi:
1) Kod warna
2) Polis tidak berpakaian uniform.
3) Penggunaan juru iring (amah hospital).
4) Tiada papan tanda Pusat Khidmat Sepadu.
5) Lokasi rahsia atau tersorok.

Intervensi
Fasa 1: Intervensi ketika kes di Fasa Akut atai Insiden baru terjadi.
1) Perkhidmatan kecemasan (Jabatan Kecemasan dan Trauma)
2) PDRM
3) NGO
4) Keluarga

Fasa 2: Intervenai lanjutan dan perawatan Klinik Ulangan selepas satu atau dua minggu insiden
1) Pegawai Perubatan Sosial.
2) Jabatan atau disiplin berkaitan (pegawai forensik dan Sakit Puan, Pembedahan)
3) Kaunselor dan Pegawai Psikiatri

Fasa 3 : Khidmat lanjutan
1) Kaunseling dan infiniti dalam jangka masa sebulan atau lebih.
2) Dokumentasi
3) Laporan Perubatan
4) Bawa kes ke mahkamah (penjagaan anak dan isu penceraian)
nyawa dan bukti diambil sekaligus.
2) Separa Kritikal (pesakit tidak mampu berjalan dan tiada tenaga): Mengutamakan rawatan dan tidak memudaratkan pesakit.
3) Tidak Kritikal.

Mangsa dilindungi daripada persepsi masyarakat menerusi:
1) Kod warna
2) Polis tidak berpakaian uniform.
3) Penggunaan juru iring (amah hospital).
4) Tiada papan tanda Pusat Khidmat Sepadu.
5) Lokasi rahsia atau tersorok.

Intervensi
Fasa 1: Intervensi ketika kes di Fasa Akut atai Insiden baru terjadi.
1) Perkhidmatan kecemasan (Jabatan Kecemasan dan Trauma)
2) PDRM
3) NGO
4) Keluarga

Fasa 2: Intervenai lanjutan dan perawatan Klinik Ulangan selepas satu atau dua minggu insiden
1) Pegawai Perubatan Sosial.
2) Jabatan atau disiplin berkaitan (pegawai forensik dan Sakit Puan, Pembedahan)
3) Kaunselor dan Pegawai Psikiatri

Fasa 3 : Khidmat lanjutan
1) Kaunseling dan infiniti dalam jangka masa sebulan atau lebih.
2) Dokumentasi
3) Laporan Perubatan
4) Bawa kes ke mahkamah (penjagaan anak dan isu penceraian)

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman