Khamis, 23 Januari 2014

BSK santuni isteri terabai

Oleh : HASHNAN ABDULLAH
Gambar Noor Azlina Jaafar & Abdul Razak Latif
Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga


PERCERAIAN merupakan satu perkataan yang paling ditakuti oleh pasangan yang berkahwin, apa lagi sekiranya rumah tangga yang dibina telah lama terbina atau pasangan tersebut berkahwin atas dasar suka sama suka. Sungguhpun bercerai itu dibenarkan di dalam Islam, namun ia dibenci oleh Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Perbuatan halal yang teramat dibenci Allah, ialah talak." (riwayat Abu Daud)

Begitu pun, bercerai atau talak ialah satu pendekatan terbaik apabila tiada lagi persefahaman di dalam melayari bahtera perkahwinan. Sayangnya, perceraian ini seringkali diambil remeh oleh individu yang bercerai, terutamanya di pihak lelaki kerana beranggapan berakhirnya episod perkahwinan itu, ia sekali gus menandakan mereka bebas daripada menunaikan tanggungjawab yang digalas selama ini iaitu pemberian nafkah kepada anak-anak yang telah menjadi mangsa keadaan.

Meskipun ia melibatkan anak-anak tetapi sebenarnya bebanan ini terpikul di bahu bekas isteri yang terpaksa mengambil hak memelihara dan menjaga anak-anak hasil daripada perkahwinan mereka berdua.

Berbalik kepada dua kes di atas di mana ia adalah segelintir daripada puluhan ribu kes yang melibatkan bekas suami ingkar bayar nafkah, walaupun telah mendapat perintah mahkamah.

Menurut Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, jumlah itu turut berpunca daripada kegagalan para bekas isteri memaklumkan perkara tersebut kepada mahkamah.



"Inilah menjadi antara faktor utama kerajaan melalui JKSM mewujudkan BSK pada 2007. Tetapi kami juga tidak menolak kemungkinan kegagalan bekas isteri itu disebabkan oleh faktor kewangan."

Bukan hanya dari segi kos pengangkutan dan penginapan jika kesnya disebut di negeri lain tetapi bayaran untuk peguam syarie yang pastinya bukan murah," katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Perkhidmatan BSK adalah percuma dengan syarat bekas isteri telah mendapat surat perintah bayaran saraan dan nafkah untuk anak-anak daripada mahkamah syariah.

Percuma itu bermula sebaik kes itu difailkan di BSK negeri hingga usaha mengesan bekas suami, peringkat runding cara dan proses
perbicaraan di mahkamah.

'Kuasa' BSK

Malah, Dr. Mohd. Na'im berkata, pihak BSK turut menjalin kerjasama strategik dengan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan peranan BSK dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Terbaharu sekali dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan pihaknya mengesan bekas suami yang ingkar itu," tegasnya.

Apa yang lebih menarik adalah disebabkan BSK sebahagian daripada JKSM, maka BSK mampu memainkan peranan dengan lebih berkesan, khususnya terhadap bekas suami yang ingkar dengan perintah mahkamah.

Dengan kata lain, 'kuasa' BSK bukan hanya dapat dilihat tetapi dirasai oleh orang ramai walaupun BSK hanyalah satu bahagian dalam JKSM sahaja.

“Kuasa itu turut hadir kerana kami juga mempunyai jalinan hubungan strategik dengan agensi pihak berkuasa dan lain-lain agensi yang akan menjadikan orang ramai atau bekas suami yang ingkar itu mematuhi arahan surat kami," katanya.

Menurut Dr. Mohd. Na’im lagi, para pegawai BSK mempunyai kelulusan dan pengalaman dalam mengendalikan kes-kes di mahkamah syariah.

“Kelebihan itu bukan hanya membolehkan mereka mewakili mangsa di mahkamah tetapi khidmat nasihat mereka setaraf peguam syarie di luar sana.

"Sebab itulah, saya kini dalam usaha untuk memastikan semua pegawai BSK memiliki Sijil Guaman Syarie Negeri. Kini hanya dua negeri sahaja yang belum berbuat demikian" katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman