Sabtu, 26 Oktober 2013

Ibu abai kebajikan hilang kelayakan hak jaga anak

Oleh : Mohamad Isa Abd Ralip
Sumber : berita Harian
Tarikh : xx Dis 2007
Peguam Syarie Menulis: Ibu abai kebajikan hilang kelayakan hak jaga anak


PERJUANGAN ibu muda Siti Nadzirah Mohd Nasir, 20, mendapatkan anaknya kembali, Arman Khan selepas suami, Fazal Azim Abdul Ahad, 24, warganegara Pakistan serta keluarganya menghalang beliau membawa anaknya pulang ke tanah air mendapat liputan meluas serta simpati masyarakat Malaysia.

Pada 23 November 2007, Mahkamah Tinggi Syariah Selangor membenarkan permohonan sebelah pihak (ex-parte) Siti Nadzirah dan mengeluarkan perintah antara lain meletakkan hak jagaan sementara anak kepada Siti Nadzirah sehingga hak jagaan kekal anak diputuskan serta memberikan hak lawatan kepada bapa.

Mungkin timbul persoalan bagaimana hak jagaan anak diberikan kepada Siti Nadzirah, walaupun secara sementara sedangkan Siti Nadzirah masih isteri yang sah kepada suaminya? Dalam erti kata lain, masih dalam ikatan suami isteri dan belum disabitkan perceraian oleh mana-mana mahkamah.

Peruntukan seksyen bagi hak jagaan anak atau hadanah termaktub secara khusus dalam enakmen negeri di Malaysia. Di Selangor, peruntukan itu diletakkan di bawah Seksyen 82 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor, 2003 (EUKIS 03) dan bagi Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan pula, diletakkan di bawah seksyen 81.

Walaupun peruntukan seksyen berbeza, dari segi penggunaannya adalah sama iaitu memperuntukkan ibu orang paling layak bagi menjaga anak kecilnya sama ada pada masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

Seksyen itu dengan jelas menyebut ibu adalah paling layak sama ada ibu itu masih dalam perkahwinan atau selepas bercerai. Dengan itu, walaupun seseorang itu belum bercerai atau dalam proses perceraian, berdasarkan kepada peruntukan seksyen itu seorang ibu atau bapa boleh membuat tuntutan hak jagaan anak. Namun, seksyen itu jelas menyatakan bahawa ibu paling berhak menjaga anaknya yang masih kecil atau anak belum mumaiyiz.



Justeru, adakah ibu saja berhak untuk menjaga anaknya? Bagaimana pula dengan bapa? Hakikatnya kedua-dua ibu dan ayah berhak mendapatkan hak jagaan anak, namun bagi anak kecil dan belum mencapai umur mumaiyiz, hak hadanah lebih diutamakan kepada ibu.

Had umur mumayiz bagi kanak-kanak perempuan adalah sembilan tahun, manakala bagi kanak-kanak lelaki, tujuh tahun. Selepas mencapai umur itu, kanak-kanak berkenaan boleh memilih penjaga mereka.

Namun begitu, seorang ibu boleh hilang kelayakan sebagai hadanah jika dalam siasatan mahkamah dia tidak layak menjaga kebajikan anak itu. Seksyen 84 EUKIS 03 menggariskan beberapa perkara berkaitan hilangnya hak hadanah bagi seorang ibu ke atas anaknya iaitu:

- Jika perempuan itu sudah berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak berkenaan, tetapi haknya akan kembali semula jika perkahwinannya itu dibubarkan.

- Jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka atau berperangai keji mengikut hukum syarak.

- Jika perempuan itu menukar tempat pemastautin dengan niat untuk menghalang atau mencegah bapa kanak-kanak menjalankan pengawasan ke atas kanak-kanak berkenaan.

- Jika perempuan itu murtad dan yang terakhir adalah perempuan berkenaan cuai atau menganiaya kanak-kanak itu.

Jika ibu didapati mempunyai satu atau lebih perkara di atas, maka hak sebagai hadanah boleh gugur dan anak akan diserahkan kepada orang lain lebih berkelayakan mengikut susunan keutamaan dengan syarat penjagaan oleh orang di bawah ini tidak menjejaskan kebajikan anak itu. Mereka ialah:
• Nenek sebelah ibu hingga ke atas; bapa;
• Nenek sebelah bapa hingga ke atas;
• Kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
• Kakak atau adik perempuan seibu;
• Kakak atau adik perempuan sebapa;
• Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
• Anak perempuan daripada kakak atau adik seibu;
• Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa;
• Emak saudara sebelah ibu;
• Emak saudara sebelah bapa;
• Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah.

Bukan mudah untuk mendapatkan hak jagaan anak kerana terdapat syarat khusus ditetapkan hukum syarak serta undang-undang. Antaranya pihak berkaitan hendaklah seorang Islam, sempurna akal, berumur untuk melayakkan dia memberi jagaan dan kasih sayang kepada kanak-kanak itu.

Penjaga juga perlulah seorang yang berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah dan pihak memohon hendaklah tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Selain itu, terdapat syarat tambahan menjadi faktor utama melayakkan pihak yang mendapatkan hak hadanah iaitu dari segi kemampuan pihak itu menjaga kebajikan anak dari segi pendidikan agama dan akademik, keperluan tempat tinggal sempurna yang boleh mempengaruhi pembesaran anak kelak, keperluan makan minum yang mana pihak hendaklah mempunyai sumber rezeki yang baik dan halal. Pihak berkaitan juga hendaklah mengutamakan keselesaan anak itu.

Harus diingat, bukan hak ibu bapa terhadap siapa yang hendak menjaga anak perlu diutamakan, sebaliknya kebajikan anak hendaklah diberi perhatian.

Jika hak penjagaan anak diletakkan kepada 'orang yang salah', yang akan terkesan serta menderita adalah anak berkenaan. Anak akan terbiar dan teraniaya daripada segenap sudut seperti kebajikan, juga keselesaan.

Sewajarnya anak dibesarkan dalam jagaan dan perhatian yang baik. Tetapi disebabkan kecuaian dan rasa tidak bertanggungjawab pihak diberikan amanah untuk menjaganya akan menyebabkan anak dibesarkan dalam keadaan serta suasana tidak sempurna.

Ia akan menyebabkan masa depan anak terjejas, perhatian dan kasih sayang yang berkurangan juga menyebabkan anak menjadi anak terbiar.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman