Rabu, 23 Oktober 2013

Wasiat sah jika semua waris

Peguam Syarie menulis: Wasiat sah jika semua waris setuju
Oleh : Mohd Noor Aizan Md Idrus
Sumber : Berita Harian
tarikh : xx xx 2007

Cara bahagi harta pusaka perlu dibuat selepas perbincangan bersama

MINGGU sebelum ini kita menyentuh kesilapan di kalangan orang Islam yang beranggapan wajib membuat wasiat kepada ibu bapa, isteri dan anak sebelum kita mati dan wasiat itu mesti dipatuhi.

Menurut pandangan Islam, hukum membuat wasiat dari segi sejarahnya mempunyai dua peringkat iaitu pada zaman awal Rasulullah SAW menyebarkan agama Islam, orang Islam yang mempunyai banyak harta diwajibkan berwasiat kepada ibu bapa dan kerabatnya.

Ia berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Diwajibkan atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan tanda maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan karib kerabatnya secara makruf. Ini adalah kewajipan atas orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 130)

Bagaimanapun, kewajipan itu kemudian dibatalkan atau dipinda dengan turunnya firman Allah yang bermaksud: “Allah mensyariatkan bagimu mengenai (pembahagian pusaka untuk) anakmu, iaitu bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua anak perempuan, dan jika semuanya perempuan lebih daripada dua, maka bagi mereka dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan. Jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh separuh harta. Untuk kedua-dua ibu bapa masing-masing satu perenam daripada harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak. Jika yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu bapanya saja, maka ibunya mendapat satu pertiga dan jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara maka ibunya mendapat satu perenam. (Pembahagian yang disebut di atas) selepas dipenuhi wasiat yang ia buat dan sesudah dibayar hutangnya. (Mengenai) orang tuamu dan anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaat bagimu. Ini adalah ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’, ayat 11)

Oleh kerana ayat itu diturunkan selepas ayat 130, surah al-Baqarah yang mewajibkan wasiat, Imam Syafie berpendapat ayat 11 menasakh ayat 130. Dengan kata lain kewajipan berwasiat kepada ibu bapa dan kerabat dibatalkan dengan panduan kaedah faraid yang dihuraikan dalam ayat 11, surah al-Nisa’.



Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan Abu Umamah yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah sudah memberikan tiap-tiap orang yang empunya hak akan haknya, oleh sebab itu tidak boleh berwasiat untuk ahli waris.”

Ia bermakna wasiat yang dibolehkan dalam Islam adalah wasiat kepada yang bukan waris contohnya, kepada anak angkat, jiran, sahabat karib atau adik beradik dan saudara yang tidak termasuk dalam kumpulan penerima pusaka. Jumlah harta yang diwasiatkan kepada mereka pula tidak melebihi satu pertiga daripada nilai keseluruhan harta pada masa kematian berlaku.

Persoalannya, apa hukum seseorang yang berwasiat kepada waris? Wasiat kepada waris hukumnya tidak haram, namun ia tidak digalakkan kerana waris mempunyai bahagian ke atas harta si mati melalui hukum faraid.

Walaupun begitu, seseorang yang membuat wasiat kepada waris tidak melakukan kesalahan jika tujuannya adalah untuk memudahkan waris membuat pembahagian harta selepas kematiannya, asal saja tiada niat dalam hatinya menyatakan bahawa hukum faraid itu tidak adil dan zalim.

Wasiat seseorang Islam kepada bukan waris, contohnya anak angkat adalah sah dan perlu diikut oleh waris si mati setakat satu pertiga daripada harta peninggalan si mati. Wasiat seseorang Islam kepada warisnya adalah bergantung kepada persetujuan semua waris si mati. Dengan kata lain, wasiat itu hanya sah jika semua waris bersetuju dengan kandungan wasiat dan persetujuan waris hendaklah dibuat selepas kematian si mati, bukan ketika si mati masih hidup. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak harus berwasiat kepada ahli waris, melainkan wasiat itu dipersetujui semua ahli waris yang lain.”

Oleh itu, selepas si mati meninggal dunia, semua waris hendaklah berkumpul dan dibacakan wasiat si mati, kemudian waris dikehendaki memberi keputusan sama ada bersetuju atau tidak bersetuju dengan kandungan wasiat berkenaan.

Jika seorang waris tidak bersetuju, maka wasiat itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan. Namun waris yang bersetuju boleh mengambil harta seperti disebut dalam wasiat jika pembahagiannya sesuai dan tidak mengganggu hak faraid waris yang tidak bersetuju. Inilah perbezaan besar antara wasiat orang Islam dengan wasiat bukan Islam.

Ramai kalangan masyarakat Melayu tidak mengetahui waris mempunyai hak di sisi hukum syarak untuk tidak bersetuju dengan kandungan wasiat yang dibuat oleh si mati. Walau bagaimanapun pada masa sama, mengambil kira adat dan adab Melayu yang menekankan konsep menghormati orang tua, patuh pesanan orang tua dan sebagainya adalah wajar dan lebih luhur jika wasiat itu dihormati oleh waris.

Mungkin ada sebab dan alasan si mati membuat pesanan begitu dalam wasiatnya. Ini juga dapat mengelakkan pertelingkahan dan perpecahan antara waris jika ada yang tidak bersetuju dengan wasiat itu. Jika wasiat kepada waris itu tidak dipersetujui semua waris, maka pembahagian harta peninggalan si mati perlu dibahagi mengikut hukum faraid.

Apabila berlaku kematian, waris perlu berkumpul untuk berbincang mengenai pembahagian harta pusaka. Selepas segala hutang arwah dan kos pengebumian diselesaikan menggunakan harta arwah, maka baki wang atau harta peninggalan arwah itulah yang perlu dibahagikan kepada waris.

Waris perlu terlebih dulu menyiasat sama ada arwah meninggalkan wasiat kepada bukan waris. Jika ada, wasiat itu perlu dilaksanakan terlebih dulu setakat satu pertiga harta arwah. Selepas itu waris perlu berbincang sama ada untuk mengikut hukum faraid atau secara persetujuan bersama dalam membahagikan harta itu.

Pembahagian secara persetujuan bersama bermaksud pembahagian harta tanpa mengikut hukum faraid. Sebagai contoh, semua waris bersetuju wang peninggalan arwah dibahagi secara sama rata kepada semua waris atau waris bersetuju dengan pembahagian mengikut wasiat dibuat arwah.

Perbincangan untuk membahagikan harta secara persetujuan perlu dibuat terlebih dulu. Jika tidak mendapat persetujuan, barulah waris membahagikan harta mengikut hukum faraid.

Ini bermakna, dalam Islam, pembahagian harta pusaka tidak semestinya mengikut hukum faraid, ia boleh dibuat secara persetujuan dengan syarat waris reda dengan cara pembahagian berkenaan. Peruntukan daripada sudut undang-undang serta prosedur pengurusan harta pusaka di Malaysia akan dibincangkan dalam keluaran akan datang.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar dan persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman