Jumaat, 11 Oktober 2013

Kahwin kerana nafsu, jahil ilmu rumah tangga punca retak

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 3 Mei 2009

PERKAHWINAN hanya untuk melepaskan nafsu dan perkataan cerai dijadikan mainan dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan perceraian di kalangan suami isteri berusia muda.


“Mereka sebenarnya tidak memahami tujuan perkahwinan,” kata perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.


Katanya, ramai remaja dan pasangan muda mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan alasan tidak mahu bergelumang dosa, sedangkan ketika itu mereka tidak mempunyai ilmu perkahwinan.


“Jahil terhadap ilmu berumahtangga itulah yang menjadi punca utama kepada perceraian di kalangan pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga,” kata beliau yang juga Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin).

Malah, katanya, tempoh percintaan yang lama bukan penentu perkahwinan yang dibina kekal hingga ke hujung nyawa.



Tengku Asmadi berkata, sikap berterus terang, termasuk menjelaskan sejarah cinta lama masing-masing sebelum bersatu dengan pasangan yang dinikahi menjadi faktor penting dalam mengukuhkan hubungan suami isteri.


“Dalam kehidupan sekarang, kita tidak nafikan sebelum berkahwin masing-masing bercinta dengan orang lain. Ada kes, ketika bersatu sebagai suami isteri barulah rahsia sebelum ini terbuka.

“Ada suami berasa tertipu apabila mendapati isteri yang disangka suci sudah tiada dara lagi pada malam pertama dan apabila suami tidak boleh menerima kenyataan, tercetuslah pergaduhan sehingga membawa kepada perceraian,” katanya.


Berselindung di sebalik perbuatan baik ketika di alam percintaan juga boleh menjadi punca perceraian di kalangan pasangan baru berkahwin.


“Ramai pasangan bercinta berlagak baik demi menarik perhatian si kekasih. Apabila berkahwin dan duduk serumah, perkara negatif yang sebelum ini tidak pernah ditunjukkan tiba-tiba kelihatan, menyebabkan timbul rasa jelik atau benci.


“Ketika ini perlu ada kesediaan menerima pasangan seadanya kerana sebelum berkahwin kita melihat nilai positif di dalam diri pasangan, jadi kenapa selepas berkahwin kita tidak boleh menerima keburukan pasangan. Hargai kekurangan yang ada dan pada masa sama berseronoklah dengan persamaan yang wujud,” katanya.

Tengku Asmadi berkata, ketika awal pernikahan, cara berkomunikasi memainkan peranan utama dalam menentukan kerukunan rumah tangga berkekalan.


“Perlu diingat, setiap orang tidak suka jika sentiasa dipersalahkan dalam apa jua perkara. Justeru, amat penting pasangan yang baru berkahwin bersama-sama mengubah kekurangan diri dan berjanji untuk menjadi yang terbaik. Berilah masa kepada pasangan untuk mencari titik pertemuan dan persefahaman.


“Bagaimanapun, ada pasangan yang tidak dapat menerima kekurangan ketara pada pasangan sehingga membawa kepada perceraian pada awal usia perkahwinan. Misalnya, suami yang selama ini dirasakan mampu membimbing ke arah kebaikan berubah sikap tidak seperti diharapkan atau ada suami yang langsung tidak memberi nafkah.


“Ketika itu, pasangan perlu bersikap rasional demi mengelakkan perceraian kerana kita tidak boleh berputus asa terhadap mahligai yang dibina kerana perceraian adalah perkara halal paling tidak disukai Allah,” katanya.


Selain itu, pasangan muda sering dikaitkan dengan darah muda atau tidak sabar sehinggakan perkataan cerai mudah dilafazkan tatkala berlaku perselisihan faham kecil.


“Pesan saya, perkataan pertama yang perlu dipadamkan terus daripada fikiran seorang suami ialah cerai kerana ia menandakan anda sememangnya ingin memberikan komitmen penuh untuk menjayakan sesebuah perkahwinan.


“Pasangan muda sekarang tidak nampak impak perceraian kerana mereka tidak memikirkan soal tanggungjawab, selain tidak mendalami ilmu pernikahan sehinggakan mereka berani mempermainkan perkataan cerai itu sendiri,” katanya


Tengku Asmadi berkata, modul kursus praperkahwinan yang ada untuk bakal pengantin diteliti semula dengan menekankan pelbagai elemen baru terutama yang membabitkan ilmu rumah tangga.


“Lebih elok jika tempoh kursus dilanjutkan supaya bakal suami dan isteri dapat belajar banyak perkara dan ilmu yang diajar benar-benar berkesan di hati,” katanya.


INFO: Punca perceraian pasangan muda

• Jahil ilmu rumah tangga
• Gaya hidup moden yang banyak menjurus kepada masalah sosial
• Belum bersedia menjadi suami isteri
• Gagal memahami dan menghargai pasangan
• Menyembunyikan sejarah silam
• Masalah komunikasi
• Kurang pemantauan daripada keluarga dan orang tua
• Kurang masa berkualiti bersama-sama
• Gagal memenuhi tuntutan batin pasangan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman