Oleh : Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
Sumber : www.zaharuddin.net
Mengulas persoalan talaq atau penceraian dalam Islam memerlukan huraian yang panjang lebar dan boleh mencecah tahap sebuah buku. Justeru, saya hanya akan memetik beberapa bahagian sahaja.
Penceraian adalah jalan terakhir yang disediakan Islam bagi pasangan suami isteri yang menghadapi masalah sama ada ketidakserasian atau juga masalah lain berkait dengan zalim, tidak tunai tanggung jawab dan lainnya.
Soalan
Minta jasa baik ustaz untuk menerangkan tentang displin penceraian dalam Islam. Satu lagi, sekarang ini biasa berlaku di tempat kita, bila bercerai isteri akan balik rumah ibu bapanya. Saya ada dengar ia tidak dibolehkan, benarkah?
JAWAPAN
Mengulas persoalan talaq atau penceraian dalam Islam memerlukan huraian yang panjang lebar dan boleh mencecah tahap sebuah buku. Justeru, saya hanya akan memetik beberapa bahagian sahaja.
Penceraian adalah jalan terakhir yang disediakan Islam bagi pasangan suami isteri yang menghadapi masalah sama ada ketidakserasian atau juga masalah lain berkait dengan zalim, tidak tunai tanggung jawab dan lainnya.
Terdapat ulama yang menyatakan talaq ini sebenarnya amat dibenci sehingga sampai tahap dilarang dan ia hanya diharuskan apabila cukup syarat dan sebabnya atas nama 'keringanan' atau 'rukhsah'.
Nabi s.a.w bersabda :-
أبغض الحلال إلى الله الطلاق
Ertinya : "Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah Talaq ( penceraian suami isteri)"( Riwayat Abu Daud, Al-Hakim ; As-Suyuti, Ibn 'Adiyy : Sohih ; Al-Munawi, tidak sohih )
Namun pendapat ini tidaklah kuat kerana Nabi sendiri pernah menjatuhkan talaq ke atas hafsah Bt Umar Al-Khattab dan kemudian ruju' kembali. Kesimpulannya ia hanyalah makruh. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, Nailul Awtar, 6/247 )
Ini bertepatan dengan sebuah lagi hadith: -
"Saya tidak suka kepada laki-laki yang suka kawin cerai dan perempuan yang suka kawin cerai." (Riwayat Thabarani dan Daraquthni)
Dan juga hadith :
إن الله لا يحب الذواقين والذواقات
Ertinya : "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada laki-laki yang suka kawin cerai dan perempuan-perempuan yang suka kawin cerai." (Riwayat Thabarani dengan sanad Dhoif kata Al-Munawi)
Namun demikian, talaq yang hendak dijatuhkan mestilah mengikut tatacara dan displin yang ditentukan Islam seperti berikut : -
1) Jangan Dicerai Ketika Isteri Haid & Nifas.
Haram dan berdosa hukumnya seorang suami menjatuhkan talaq isterinya dalam keadaan isterinya dalam keadaan :
* haid
* nifas
* setelah disetubuhi waktu suci isteri kecuali sudah jelas wanita itu mengandung.
Justeru, bagi suami yang ingin menceraikan isterinya, pastikan bukan dan tiga situasi tersebut.
Ini adalah tanda fitrahnya (bertepatan dengan naluri manusiawi yang normal) hukum Islam, kerana dalam keadaan haid, termasuk juga nifas, seorang suami wajib menjauhi isterinya. Barangkali karena terhalangnya dan ketidakmampuannya mengawal nafsunya itu yang mendorong untuk menjatuhkan talaq.
Ia juga mungkin terdorong oleh perilaku isteri sewaktu haid. Sedangkan diketahui mental dan mood sang isteri tidak stabil diwaktu haid dan nifas terutamanya. Justeru tidak wajar sama sekali dibenarkan penceraian di waktu itu jika terdorong dek rasa marah dan tidak puas hati itu.
Syeikh Al-Qaradawi berkata :
"Sebagaimana diharamkannya mencerai isteri di waktu haid, begitu juga diharamkan menceraikannya sewaktu suci sesudah bersetubuh. Sebab siapa tahu barangkali si perempuan itu memperoleh benih dari suaminya pada kali ini, dan barangkali juga kalau si suami setelah mengetahui bahawa isterinya hamil kemudian dia akan merubah niatnya, dan dia dapat hidup senang bersama isteri karena ada janin yang dikandungnya." ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam )
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dikisahkan, bahwa Abdullah bin Umar Ibnul-Khattab pernah mencerai isterinya waktu haid. Kejadian ini sewaktu Rasulullah s.a.w. masih hidup. Maka bertanyalah Umar kepada Rasulullah s.a.w., maka jawab Nabi kepada Umar:
Ertinya : "Suruhlah dia (Abdullah bin Umar) supaya ruju' kembali, kemudian jika dia mahu, cerailah sedang isterinya itu dalam keadaan suci sebelum disetubuhinya. Itulah yang disebut mencerai pada iddah, sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam firmanNya: Hai Nabi! Apabila kamu hendak mencerai isterimu, maka cerailah dia pada iddahnya. Yakni menghadapi iddah, yaitu di dalam keadaan suci."
Di satu riwayat disebutkan:
مره فليراجعها ثم ليطلقها طاهرا أو حاملا
Ertinya : "Perintahlah dia (Abdullah bin Umar) supaya kembali, kemudian cerailah dia dalam keadaan suci atau dalam keadaan mengandung (kerana waktu itu isteri dalam keadaan suci)." (Riwayat Bukhari)
JIKA DIJATUHKAN KETIKA HAID, ADAKAH SAH ?
Menurut pendapat majoriti mazhab Islam, talaq itu tetap sah, tetapi si pelakunya berdosa. Ia berdalilkan sebuah hadis Abdullah Ibn Umar tadi, apabila menceraikan isterinya dalam keadaan haid, nabi mengarahkannya agar segera ruju' kembali. Ini bererti talaqnya jatuh cuma berdosa. (Al-Mughni, 7/99 ; Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah, hlm 225 )
Sementara kumpulan minoriti ulama berpendapat talaq tidak jatuh dan tidak sah, sebab talaq itu samasekali tidak menurut aturan syara' dan tidak dibenarkan. Oleh karena itu bagaimana mungkin dapat dikatakan berlaku dan sah?
Namun, pendapat yang lebih kuat adalah sah dan jatuh talaqnya.
2) Perempuan yang Dicerai Tetap Tinggal di Rumah Suami Selama dalam Iddah
Perempuan yang dicerai wajib tetap tinggal di rumah suaminya selama dalam 'iddah. Dia diharamkan keluar rumah, dan suami diharamkan mengeluarkan bekas isterinya itu dari rumah tanpa suatu alasan yang dapat dibenarkan.
Hal ini disebabkan suami, selama dalam 'iddah, masih diperkenankan merujuk dan mengembalikan isteri kepada perlindungan perkawinan untuk sekali lagi --apabila talaq ini baru satu atau dua kali.
Seorang isteri yang masih tinggal bersama di dalam rumah suami membuka ruang untuk membangkitkan perasaan suami dan mengingat-ingat serta berfikir sebelum habis 'iddah itu, dan sebelum berakhirnya bulan-bulan 'iddah dimana perempuan diperintahkan supaya menunggu agar yakin akan bersihnya rahimnya dari benih suami serta melindungi hak suami dan kehormatan isteri. Sebab hati selalu berubah, fikiran selalu baru, seorang yang sedang marah kadang-kadang menjadi rela, orang yang naik pitam kadang-kadang menjadi dingin dan orang yang benci kadang-kadang menjadi cinta.
Sehubungan dengan persoalan perempuan yang dicerai ini, Allah s.w.t. telah berfirman dalam al-Quran sebagai berikut:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاء فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَلِكَ أَمْرًا
Ertinya : "Dan takutlah kamu kepada Allah, Tuhanmu. Jangan kamu usir mereka itu dari rumah-rumah mereka dan jangan sampai mereka itu keluar rumah, kecuali apabila mereka berbuat kejahatan yang terang-terangan; dan yang demikian itu adalah batas-batas ketentuan Allah, dan barangsiapa melanggar batas-batas ketentuan Allah, maka sungguh dia telah berbuat zalim pada dirinya sendiri; kamu tidak tahu barangkali Allah akan mengadakan hal baru sesudah itu."(at-Thalaq: 1)
3) Talaq Mesti Dijatuhkan Mengikut Aturan Kiraan
Islam memberikan kepada seorang muslim tiga talaq untuk tiga kali, dengan suatu syarat tiap kali talaq dijatuhkan pada waktu suci, dan tidak disetubuhinya. Kemudian ditinggalkannya isterinya itu sehingga habis iddah. Kalau nampak ada keinginan merujuk sewaktu masih dalan 'iddah, maka dia boleh merujuknya.
Sekiranya dia tetap tidak merujuknya sehingga habis 'iddah, dia masih boleh untuk kembali kepada isterinya itu dengan aqad dan mahar (maskawin) baru. Dan kalau dia tidak lagi berhasrat untuk kembali, maka si wanita boleh berkahwin dengan orang lain.
Jika si laki-laki tersebut kembali kepada isterinya sesudah talaq satu, tetapi tiba-tiba terjadi suatu peristiwa yang menyebabkan jatuhnya talaq yang kedua, si lelaki masih boleh ruju' semula dalam tempoh 'iddah.
Dan kalau suami kembali dan menceraikan isterinya buat kali ketiga, maka ini merupakan suatu bukti nyata, bahwa perceraian antara keduanya itu harus dikukuhkan, sebab persesuaian antara keduanya sudah tidak mungkin.
Oleh karena itu dia tidak boleh kembali lagi, dan si perempuan pun sudah tidak lagi halal buat si laki-laki tersebut, sampai dia kawin dengan orang lain secara syar'i. Bukan sekedar menghalalkan si perempuan untuk suaminya yang pertama tadi. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam)
TALAQ TIGA SEKALI LAFAZ?
Menjatuhkan talaq tiga dengan satu kali ucapan, adalah salah di sisi Islam.
Para ulama berbeza pendapat berapa talakkah yang jatuh sekiranya ia dilakukan juga seperti berikut :-
Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali : Jatuh talaq tiga sekaligus. ( Al-Mughni, 7/104 ; Hasyiah Ad-Dusuqi, 2/385 )
Ibn Taimiah & Ibn Qayyim : jatuh satu Talaq sahaja ( Zad Al-Ma'ad, 4/67 )
Apapun, di Malaysia pendapat majoriti mazhab adalah terpakai, ini bermakna sesiapa yang menyebut cerai talaq tiga dalam satu lafaz, jatuhlah talaq tiga.
Kes Zakaria Talib lwn Norziah Ahmad [2005] 1 CLJ (Sya) 132 adalah contoh dimana suami menlafazkan talak tiga sekali gus melalui surat dan hakim berpendapat bahawa talak tiga telah jatuh kerana lafaz telah jelas dan niat tidak perlu dibuktikan.
Hasilnya, suami tidak boleh rujuk atau nikah semula dengan isterinya kecuali setelah isterinya berkawhin dengan lelaki lain, cerai dan tamat iddahnya.
Namun, walalupun jatuh talaq tiga itu, Ia dikira satu kesalahan spiritual dari sudut Islam . Satu ketika Rasulullah s.a.w. diberitahu tentang seorang laki-laki yang mencerai isterinya tiga talaq sekaligus. Kemudian Rasulullah berdiri dan marah, sambil bersabda:
أيُلعبُ بكتابِ اللَّه عزَّ وجلَّ وأنا بينَ أظهُرِكم حتى قامَ رجلٌ فقال يا رسولَ الله أَلاَ أقتُله
Ertinya : "Apakah dia mahu mempermainkan kitabullah, sedang saya berada di tengah-tengah kamu? Sehingga berdirilah seorang laki-laki lain, kemudian dia berkata: Ya Rasulullah! apakah tidak saya bunuh saja orang itu!" (Riwayat Nasa'i, 2/349 )
Tebus Talak
Seorang perempuan apabila tidak suka kepada suaminya tidak sanggup bergaul bersama, maka dibolehkan menebus dirinya dan membeli kemerdekaannya dengan mengembalikan harta yang pernah diberikan oleh suami kepadanya berupa maskawin, atau hadiah dengan sedikit berkurang atau lebih menurut kesepakatan bersama.
Akan tetapi yang lebih baik si laki-laki tidak mengambil lebih dari apa yang pernah diberikan.
Firman Allah:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ يُقِيمَا حُدُودَ اللّهِ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللّهِ فَلاَ تَعْتَدُوهَا
Ertinya : "Jika kamu kawatir mereka berdua tidak dapat menegakkan batas-Batas ketentuan Allah, maka tidak dosa atas keduanya tentang sesuatu yang ia menebus dengannya." (al-Baqarah: 229)
Isteri Tsabit bin Qais pernah datang kepada Nabi s.a.w. mengadukan:
"Ya Rasulullah! Sesungguhnya Tsabit bin Qais tidak saya cela budi dan agamanya, tetapi saya tidak tahan marahnya. Kemudian Nabi bertanya tentang apa yang pernah dia ambil dari suaminya itu. Ia menjawab: Kebun. Lantas Nabi bertanya lagi., Apakah kamu mau mengembalikan kebun itu kepadanya? Ia menjawab: Ya. Maka bersabdalah Nabi kepada Tsabit: Terimalah kebun itu dan cerailah dia." (Riwayat Bukhari dan Nasa'i)
Namun demikian, seorang isteri tidak dibenarkan cepat-cepat minta cerai tanpa alasan yang dapat dibenarkan dan tanpa suatu pendorong yang dapat diterima yang kiranya bisa membawa kepada perceraian antara keduanya. Sebab Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagai berikut:
قال رسول الله أيما امرأة سألت زوجها الطلاق من غير بأس حرم الله عليها أن تريح رائحة الجنة
Ertinya : "Siapa saja perempuan yang minta cerai kepada suaminya tanpa suatu sebab yang dapat dibenarkan, maka dia tidak akan mencium bau syurga." (Riwayat Abu Daud, Al-Hakim, 2/218 ; At-Tirmizi, 3/493 ; Al-Hakim : Sohih dengan syarat Bukhari & Muslim ; At-Tirmidizi : Hadis Hasan)
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
ORIGINAL ARTICLE:http://www.zaharuddin.net/content/view/704/96/
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan