Oleh : Siti Razasah Abd Razak
Kolum : Hak Muslim
Sumber : Berita Harian
Tarikh : xx 2007
Hak Muslim: Huraian punca kes fasakh ditangguh
SAYA menfailkan permohonan perceraian secara baik dengan suami tetapi beliau enggan melepaskan saya dan kini saya memohon perceraian secara fasakh dengan menggunakan khidmat Biro Bantuan Guaman. Kes ini berlarutan lebih setahun di mahkamah. Sehingga kini suami masih tidak menjawab pembelaan terhadap tuduhan saya. Hakim di mahkamah juga seakan-akan memberikan kebebasan kepada suami dengan menangguhkan kes walaupun suami tidak membuat pembelaan. Setiap kali saya mengajukan pertanyaan kepada Biro Bantuan Guaman, jawapan yang diterima daripada peguam saya adalah: "Kita tak boleh buat apa-apa sebab suami puan juga menggunakan khidmat biro bantuan guaman." Adakah saya tiada hak untuk mempercepatkan kes hanya kerana saya dan suami menggunakan khidmat Biro Bantuan Guaman? Harap dapat penjelasan pihak tuan.
Isteri keliru,
Kuala Lumpur
ISU dalam persoalan ini menjurus kepada prosedur atau tatacara di Mahkamah Syariah sebelum kes diputuskan oleh hakim. Dalam sistem kehakiman Islam, sebelum menjatuhkan hukuman atas sebarang tuntutan, ada garis panduan wajib dipatuhi hakim.
Garis panduan itu dinyatakan dengan jelas bahawa hakim perlu membuat keputusan berpandukan al-Quran, as-Sunnah dan ijtihad selepas mengambil kira hak kedua-dua pihak dipenuhi. Antaranya hak memberikan keterangan bagi pihak menuntut dan hak membela diri bagi pihak dituntut.
Hakim dan peguam perlu mematuhi setiap tatacara serta garis panduan ditetapkan hukum syarak supaya mahkamah boleh membuat keputusan dengan adil tanpa sebarang syak wasangka. Panduan itu bukan untuk melewatkan perjalanan kes atau menganiaya mana-mana pihak tetapi demi mencapai keadilan selepas hak kedua-dua pihak bertikai di dengar di mahkamah.
Demi memudahkan hakim dan peguam, diwujudkan Akta/Enakmen Prosedur Mal berkaitan garis panduan yang selari dengan sistem kehakiman Islam. Jika garis panduan itu tidak dipatuhi oleh hakim, hakim berkenaan bukan saja menanggung dosa di sisi Allah, malah keputusan kes diputuskan olehnya akan mudah untuk dirayu semula oleh pihak yang kalah menggunakan alasan hakim tersilap daripada segi hukum syarak dan prosedur undang-undang kerana tidak mematuhi garis panduan sebelum menjatuhkan hukuman.
Apabila puan memohon sesuatu di mahkamah sama ada secara bersendirian atau diwakili peguam syarie, mahkamah perlu menentukan terlebih dulu sama ada saman dan pernyataan tuntutan puan sudah diterima suami.
Pada hari pendengaran kali pertama kes fasakh puan, jika suami hadir di mahkamah, soalan yang perlu mahkamah pastikan adalah sama ada suami puan sudah menerima saman dan pernyataan tuntutan kes fasakh itu.
Jika suami sudah menerima dokumen berkenaan, mahkamah perlu memastikan sama ada suami bersetuju dengan tuntutan fasakh puan atau tidak dan ingin membuat pembelaan terhadap tuntutan itu.
Jika suami berhasrat untuk membuat pembelaan, itu adalah hak bagi seseorang defendan membela dirinya dan hakim perlu memberikan peluang. Dalam Islam, sesiapa dituduh atau orang yang dituntut berhak diberi peluang membela diri dengan menjawab tuntutan terhadapnya dan menfailkan pembelaan.
Sebagai seorang awam, suami puan tentu kurang arif berkaitan bahasa undang-undang dan tatacara menyediakan pembelaan. Oleh itu, suami berhak menggunakan khidmat peguam. Penyediaan pembelaan bukan mudah dan boleh dibuat secara spontan di hadapan hakim. Ia perlu dibuat secara bertulis dan difailkan di mahkamah sebagai dokumen yang akan direkodkan bagi memudahkan pihak puan menjawab balas pembelaan suami.
Apabila hakim membenarkan defendan menyediakan pembelaannya, hakim akan menangguhkan kes untuk didengar pada masa akan datang bagi memberikan peluang defendan memfailkan pembelaan secara bertulis dan teratur.
Secara praktikalnya, tindakan hakim menangguhkan kes puan kerana suami belum memasukkan pembelaan bukan bermaksud memberikan kebebasan kepada suami dengan sengaja untuk menangguhkan kes.
Ia bertujuan memberi peluang sekali lagi bagi beliau jika alasan kelewatan kali pertama untuk memasukkan pembelaan adalah munasabah dan boleh diterima hakim. Jika sehingga dua kali pendengaran kes, suami puan atau wakilnya masih belum menfailkan pembelaan, maka puan berhak memohon untuk meneruskan kes dengan perbicaraan.
Kes puan sudah berlarutan selama satu tahun adalah kerana pada pendapat saya, awalnya puan menfailkan kes perceraian secara persetujuan tetapi apabila suami enggan menceraikan secara baik, puan terpaksa memohon cerai secara fasakh.
Oleh itu, apabila sampai kepada pendengaran kes fasakh, tempoh puan berulang alik ke mahkamah boleh mencapai hingga satu tahun. Ia tidak akan berlaku jika daripada awal permohonan, puan menfailkan permohonan cerai fasakh.
Isu sama ada puan dan suami sama-sama menggunakan khidmat peguam Biro Bantuan Guaman atau peguam swasta menyebabkan pembelaan suami puan lewat difailkan ke mahkamah atau menyebabkan kes ditangguhkan tidak timbul.
Kemungkinan kelewatan penyediaan pembelaan oleh peguam yang mewakili suami puan adalah disebabkan kegagalan suami berbincang dengan peguam beliau berkaitan isu pembelaan diri. Untuk pengetahuan puan, peguam hanya akan menyediakan pembelaan berkaitan isu diarahkan anak guamnya saja.
Adalah bersalahan dengan etika kepeguaman jika peguam menyediakan pembelaan tanpa arahan dan perbincangan dengan anak guamnya terlebih dulu kerana hanya pihak terbabit yang tahu masalah rumah tangga mereka.
Tugas peguam adalah sebagai pemudah cara di samping membantu mahkamah untuk membuat keputusan dengan adil. Walau bagaimanapun, jika puan masih ingin mendapatkan jawapan lebih terperinci berkaitan khidmat biro bantuan guaman, puan dinasihatkan berhubung terus dengan pihak berkenaan.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com
Artikel-artikel yang dijumpai oleh pemilik blog ini yang berkaitan dengan isu-isu Mahkamah Syariah yang disiarkan di sini untuk tujuan bacaan sendiri, rujukan bagi yang memerlukan maklumat dan juga renungan kita bersama. Semoga ianya bermanfaat, insyaAllah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Talian NUR 15999
Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan