Sabtu, 7 Mac 2015

Menjaga hak kanak-kanak

Oleh : Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 18/02/2015


Apakah implikasi CRC kepada Malaysia?

kanak-kanak mesti dilayan sebagai manusia biasa yang mempunyai Kanak-kanak mesti dilayan sebagai manusia biasa yang mempunyai hak yangs ama seperti orang dewasa. - GAMBAR HIASAN


UNDANG-UNDANG terbahagi kepada undang-undang domestik dan antarabangsa. Undang-undang domestik adalah undang-undang yang diluluskan oleh parlimen sesebuah negara dan Undang-undang antarabangsa dibuat oleh badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Undang-undang domestik dipanggil akta atau ordinan jika diluluskan di Parlimen Persekutuan dan enakmen atau ordinan jika diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri. Undang-undang antarabangsa dipanggil triti atau konvensyen atau protokol.

Undang-undang antarabangsa mengikat negara yang menandatanganinya sahaja dan ia perlu diratifikasi oleh negara tersebut dan diluluskan sebagai undang-undang domestik untuk penguatkuasaan.

Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menerima Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) pada 20 November 1989. Malaysia telah menerima konvensyen ini pada 1995. Konvensyen ini mengandungi 54 artikel dah hak yang diberikan adalah yang tidak membezakan warna, agama, jantina, bahasa, pegangan politik, etnik, ketidakupayaan, tempat kelahiran dan sebagainya. Konvensyen ini memperkenalkan konsep Best interest of the child atau kepentingan kanak-kanak. Hak kanak-kanak dalam konvensyen terbahagi kepada:

a. Hak untuk hidup

Seorang anak berhak kepada perkara-perkara asas untuk hidup seperti makan minum dan tempat tinggal serta kepada kehidupan yang sihat dan mencukupi atau dalam bahasa Inggerisnya,

A child is entitled to the basic right to life, to a healthy life and adequate standard of living. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan anak membesar dalam persekitaran yangterbaik. Artikel yang berkaitan dengan peruntukan ini ialah 6, 24 dan 27.



b. Hak untuk membangun peribadi melalui pelajaran

Hak ini bertujuan memastikan anak-anak menamatkan persekolahan rendah dan menghapuskan diskriminasi gender di sekolah rendah dan menengah menjelang 2015. Artikel berkaitan ialah
6, 28, 29, 23 dan 18.

c. Hak untuk dilindungi daripada semua jenis penganiayaan, penyalahgunaan dadah, mangsa perang, mangsa pelarian dan mangsa proses pengangkatan

Hak ini merangkumi semua jenis perlindungan yang diberikan kepada kanak-kanak daripada penganiayaan dan penderaan, kanak-kanak yang diperdagangkan, yang dilarikan, yang menjadi mangsa peperangan dan kanak-kanak yang melalui proses pengangkatan. Antara artikel yang berkaitan ialah artikel 33, 34, 7, 8 dan 20.

d. Hak untuk mengambil bahagian

Kanak-kanak mesti terlibat dalam proses membuat keputusan yang melibatkan kanak-kanak. Kanak-kanak mesti didengar dan bukan sekadar dilihat. Misalnya perkara yang melibatkan kanak-kanak secara terus seperti isu pendidikan, perubatan, hak bersuara dan sebagainya. Antara artikel yang berkaitan ialah 12, 14, 16, 17 dan 31.

Malaysia telah menerima Konvensyen Hak Kanak-Kanak pada 17 Februari 1995 dengan 12 reservasi, yang mana empat daripadanya telah ditarik balik dengan meninggalkan reservasi berikut:
a. Art 1- takrifan anak
b. Art 2- prinsip tidak mendiskriminasi;
c. Art 7- Nama dan kerakyatan;
d. Art 13- Kebebasan bercakap;
e. Art 14 –Kebebasan berfikir dan beragama
f. Art 15- Kebebasan berpersatuan;
g. Art 28(1) Pelajaran sekolah rendah yang wajib dan percuma;
h. Art 37- Penyeksaan dan kehilangan kebebasan

Manusia biasa

Pada 2010, Malaysia menarik balik reservasi artikel 1, 13 dan 15. Ini bermakna, kanak-kanak di Malaysia berhak diberi kebebasan bercakap dan berpersatuan. Oleh kerana ia adalah peruntukan konvensyen antarabangsa, maka ia masih terikat dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta mana-mana undang-undang domestik yang ada di Malaysia.

Konvensyen ini menganjurkan supaya semua orang mesti melayan kanak-kanak sebagai manusia biasa yang mempunyai hak yang sama dengan manusia dewasa, menghormati hak dan kerahsiaan peribadi (privacy), tidak memalukannya di khalayak, tidak dianiaya, didera fizikal, mental dan emosi.

Di Malaysia untuk mencapai hasrat konvensyen, satu akta yang dinamakan Akta Kanak-kanak telah diluluskan oleh Parlimen untuk mengimplimentasikan hasrat konvensyen. Akta Kanak-Kanak 2001 menggabungkan tiga akta iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 
dan Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991.

Seperti yang kita tahu di Malaysia terdapat Undang-undang Sivil dan Undang-undang Islam. Undang-undang Sivil adalah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Persekutuan dan terpakai kepada semua orang di Malaysia. Manakala, Undang-undang Islam diluluskan di Dewan Undangan Negeri kerana Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri. Namun undang-undang Islam hanya terpakai kepada orang Islam sahaja, sedangkan Undang-undang Sivil terpakai kepada semua.

Akta Kanak-kanak terpakai kepada semua kanak-kanak Islam dan bukan Islam, namun dalam beberapa perkara kanak-kanak Islam dikawal di bawah negeri.

Akta Kanak-kanak pula membahagikan kanak-kanak kepada lima (5) kumpulan iaitu:
(i) Kanak-kanak yang memerlukan jagaan dan perlindungan;
(ii) Kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan pemulihan;
(iii) Kanak-kanak yang di luar kawalan
(iv) Kanak-kanak yang dilarikan dan diperdagangkan;
(v) Kanak-kanak yang melakukan kesalahan jenayah.

KERAJAAN juga mewajibkan pendidikan sekolah rendah di mana Akta Pelajaran (Pindaan) 2002 (Akta A1152) diluluskan. Seksyen 29A memperuntukkan mengenai tanggungjawab ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah semasa anak genap enam tahun pada hari pertama bulan Januari tahun berkenaan dan hendaklah tamat sekolah rendah sebagai tempoh wajib. Jika tidak, ibu bapa telah melakukan suatu kesalahan dan jika sabit boleh didenda RM5,000 denda atau enam (6) bulan penjara atau kedua-dua sekali.

Dalam masa yang sama larangan merotan kanak-kanak di sekolah juga dikeluarkan terutama public canning atau merotan di khalayak sebagai hukuman. Di sekolah yang boleh merotan murid ialah Guru Disiplin dan Pengetua atau Guru Besar.

Merotan kanak-kanak menjadi isu besar baru-baru ini apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membuat kenyataan yang perbuatan merotan anak akan dijadikan suatu kesalahan jenayah.

Isu merotan anak dalam hukum Islam telah saya bincang sebelum ini dan saya hanya akan menyentuh sedikit daripadanya sahaja. Jika kita amati, Akta Kanak-kanak diluluskan bagi tujuan melindungi kanak-kanak daripada semua jenis penganiayaan dan penderaan.

Jika perbuatan merotan kanak-kanak dilakukan oleh sesiapa pun – guru, ibu bapa, nenek atau datuk atau sesiapa yang menjadi penjaga anak sehingga anak tersebut cedera, maka ia boleh menyebabkan orang yang melakukan perbuatan tersebut dihadapkan ke mahkamah. Dengan melarang guru merotan murid di tempat awam, secara tidak langsung, hasrat untuk mencegah kanak-kanak daripada didera atau dianiaya telah tercapai.

Kita mahu mendidik masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam tindakan mereka. Akta Kanak-kanak 2001 adalah undang-undang domestik atau undang-undang yang kita buat sendiri dan luluskan di Parlimen. Ia terpakai kepada kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

Akta Kanak-kanak menggantikan Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991. Tujuan utamanya ialah memberi perlindungan kepada semua kanak-kanak tanpa mengira bangsa dan agama.
Konvensyen Hak Kanak-kanak pula adalah satu perundangan yang diluluskan atas dasar persetujuan. Jika sebuah negara merasakan peruntuk konvensyen bertentangan dengan undang-undang domestiknya, maka mereka boleh menolak aplikasi konvensyen atau menerima dengan reservasi.

Sebagai contoh, Malaysia masih mereservasi artikel 14 mengenai kebebasan beragama. Ini kerana mengikut Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, agama seorang kanak-kanak ditentukan oleh ibu, bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut sehingga kanak-kanak mencapai umur 18 tahun. Malaysia juga perlu memastikan Konvensyen Hak Kanak-kanak tidak mencabar agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Bersama Prof. Datin Noor Aziah Mohd. Awal
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UKM serta Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, 
UKM & Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, (Yadim). Boleh dihubungi di naha61@gmail.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman