Rabu, 25 Mac 2015

Jaga tak nak, duit nak

Bekas suami minta duit daripada anak-anak yang selama ini diabaikan

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 25/03/2015


Duit boleh membuatkan seseorang lupa tanggungjawab dan hilang rasa malu. - Gambar hiasan

Jika diikutkan cerita-cerita seperti ini sudah biasa didengari, malah bagi yang pernah mengalami atau mengetahui cerita seperti ini, sudah tentu bukan satu perkara yang baharu.

Namun, apabila berpeluang berjumpa kawan-kawan lama di sebuah majlis perkahwinan baru-baru ini, cerita yang sama masih diulang-ulang oleh seorang rakan yang hadir sebagai tetamu pada majlis berkenaan.

Sebagai rakan, kami semua sudah mengetahui Rina (bukan nama sebenar), 55, telah berpisah dengan suaminya sejak 25 tahun lalu akibat perselisihan faham yang berpunca daripada peranan orang ketiga.

Berkahwin awal, iaitu pada usia 19 tahun, Rina akhirnya bercerai dengan suaminya, Borhan, (bukan nama sebenar), selepas 10 tahun berumah tangga.

Setelah bercerai, Borhan kembali mendirikan rumah tangga bersama pasangan baharu setahun kemudian, sementara Rina tidak berkahwin lagi sehingga sekarang.

Rina yang seakan serik dengan peristiwa perceraiannya itu, menjaga dengan baik keempat-empat anaknya.



Menurut Rina, sepanjang perceraiannya itu, Borhan tidak pernah bertanya tentang keempat-empat anaknya, apatah lagi memberi nafkah, sementelah dia sendiri mempunyai dua orang anak tiri dan dua orang anak sendiri hasil perkahwinan yang baharu.

“Selepas bercerai, Borhan tinggal dan menetap di pantai timur, saya pula terpaksa mencari pekerjaan kerana ketika mula berkahwin dahulu Borhan tidak membenarkan saya bekerja.

“Memandangkan umur sudah agak lanjut, saya hanya dapat bekerja di sebuah kilang di Shah Alam dengan gaji RM1,700 sebulan. Dengan duit yang ada itulah, saya berdikit-dikit menyekolahkan anak-anak dan menyara kehidupan yang serba kekurangan.

“Namun, saya bersyukur kerana tinggal di rumah sendiri (rumah arwah ibu) dan ada adik-beradik yang membantu sekiranya saya dalam kesusahan. Keadaan itu memudahkan saya untuk meneruskan kehidupan dengan membina seribu kasih sayang yang amat bermakna kepada anak-anak.

“Pada mulanya, anak-anak saya yang ketika itu berusia di antara 10 hingga setahun sentiasa bertanyakan ayahnya. Saya tidak menghalang malah saya memberi mereka nombor telefon ayah mereka.

“Pada mulanya mereka saling berhubungan, namun lama-kelamaan mereka sendiri enggan bertanya khabar dan mengadu ayah mereka enggan melayan,” kata Rina yang melihat kami terus khusyuk mendengar ceritanya.

Dijadikan cerita, kesemua anak-anak Rina lulus dengan cemerlang dalam semua peperiksaan di sekolah dan kemudian melanjutkan pelajaran ke universiti.

Peliknya, setiap kali anak-anaknya mendapat keputusan, suaminya yang akan menelefon mereka dahulu bertanyakan kelulusan anak-anak. Rina syak, tujuan bekas suaminya berbuat demikian untuk bercerita dan bermegah kejayaan anak-anaknya kepada kawan-kawannya.

Namun, lebih menyakitkan hati apabila Borhan dari jauh mahu menentukan pengkhususan yang sepatutnya diambil anak-anak, di mana mereka patut meneruskan pengajian, apa yang harus mereka buat dan sebagainya sedangkan selama ini kebajikan anak-anak ketika belajar tidak diambil kisah.

“Tetapi anak-anak saya tidak ambil pusing kehendak ayahnya itu dan mengambil kursus yang mereka minati. Kini ada yang telah menjadi peguam, seorang lagi doktor, guru dan paling kecil kini bakal bergelar pensyarah.

“Kini Alhamdulillah, anak-anak saya pun sudah bekerja dan mempunyai gaji bulanan masing-masing. Saya tidak pernah terlepas daripada menerima duit mereka setiap bulan. Tidak kira banyak mahupun sikit.

“Khabar terbaharu pula, saya dapat tahu setelah 25 tahun tidak memberi apa-apa sumbangan, bekas suami saya dengan tidak ada rasa malu meminta gaji anak-anak saya diberikan kepadanya.

“Yang peliknya, dia menetapkan pula anak yang sulung perlu beri dia berapa, anak yang kedua beri dia berapa dan seterusnya.

“Anak-anak saya pada mulanya ingin juga beri walaupun tahu selama ini ayah mereka tidak pernah ambil pusing tentang anak-anak. Namun, mereka mula marah sebab ayah mereka menetapkan berapa jumlah sebenar yang perlu mereka berikan kepada dia,” jelas Rina.

Katanya, biarpun bekas suaminya itu adalah ayah kepada anak-anaknya, tetapi Rina tidak faham mengapa selepas berpuluh tahun, baharu sekarang dia menghubungi anak-anaknya untuk mendapatkan sumbangan bulanan daripada anak-anak.

“Saya rasa muka macam dia ni memang tidak tahu malu. Minta anak beri dia yang bukan-bukan sedangkan dia sendiri mempunyai dua orang anak sendiri bersama dia yang sehingga kini masih lagi menganggur.

“Saya rasa perkara macam ni sepatutnya dia sendiri perhalusi diri dahulu sebelum meminta kepada anak-anak. Saya bukan apa, kasihan dengan anak-anak yang baru sahaja bekerja dan ingin meneruskan kehidupan sendiri terpaksa berkorban untuk bapa yang selama ini ‘hilang’ di mata mereka dengan memberi belanja yang bukan sedikit,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman