Ahad, 15 Mac 2015

Kepentingan mendaftar perkahwinan

Oleh : Prof Dr Najibah bt Mohd Zin
Sumber : Kosmo
Tarikh : 13/03/2015

PASANGAN yang berkahwin mengikut perundangan di negara ini akan memudahkan pengurusan konflik rumah tangga. – Gambar hiasan



SAYA diundang ke Kabul, Afghanistan baru-baru ini untuk berkongsi tentang pengalaman Malaysia dalam melakukan reformasi undang-undang keluarga Islam. 

Afghanistan boleh dikatakan terkehadapan dalam kanun undang-undang sehingga menjadi contoh kepada negara-negara lain berkaitan isu-isu hak kekeluargaan terutama hak isteri yang tidak diberi perhatian.

Namun, masih terdapat dalam kalangan masyarakat Islam di sana yang mengamalkan tradisi seperti menjodohkan anak-anak sejak kecil dan menjadikan tempoh pertunangan panjang.

Anak-anak tidak mempunyai kebebasan untuk memilih jodoh mereka. Bagi sesetengah keluarga yang mementingkan hubungan kekeluargaan, isu itu boleh menjadi punca pergaduhan dalam keluarga.

Keadaan itu mengingatkan sedikit sebanyak tentang keperluan diwujudkan undang-undang pendaftaran kahwin dan cerai.

Selain penting untuk tujuan pentadbiran dan keadilan, langkah itu dapat memastikan elemen seperti kahwin bawah umur, kahwin paksa atau perceraian dan rujuk yang tidak terkawal dapat dielakkan.

Proses permohonan perkahwinan akan memastikan segala syarat untuk berkahwin dapat dipenuhi.


Kerelaan pihak-pihak yang akan berkahwin, keizinan wali iaitu bapa atau saudara-mara terdekat jika bapa tiada dan umur perkahwinan mestilah melebihi 18 tahun bagi lelaki serta 16 tahun bagi perempuan perlu dipenuhi.

Jika pihak perempuan masih di bawah umur 16 tahun, maka kebenaran daripada mahkamah adalah perlu dan mahkamah hanya boleh memberikan kebenaran jika ada keperluan.

Mengikut bancian yang dibuat oleh pihak kerajaan, umur perkahwinan di negara ini adalah lebih kurang 29 tahun bagi lelaki dan 25 tahun bagi wanita.

Walaupun prosedur yang ditetapkan itu bersifat pentadbiran, ia tetap penting untuk dipatuhi bagi memastikan proses pendaftaran perkahwinan dapat dilakukan dengan baik bagi mengelakkan kekeliruan tentang pengesahan perkahwinan dan apa-apa ketidakjelasan yang berkait dengan proses tersebut.

Prosedur undang-undang

Saya secara peribadi sering dihubungi oleh pihak perempuan yang dipujuk oleh pihak pengantin lelaki untuk berkahwin di sebuah daerah di Thailand.

Tempat tersebut bukan tempat yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia untuk berkahwin.

Mengikut prosedur undang-undang yang betul, pasangan ingin berkahwin di luar negara perlu mendapat kebenaran daripada pihak kedutaan dan seterusnya mendaftar perkahwinan sekiranya kembali ke Malaysia dengan syarat bahawa perkahwinan tersebut adalah sah dari sudut hukum syarak.

Sebarang dokumen yang mengatakan pasangan berkenaan berkahwin boleh membantu untuk tujuan tersebut walaupun kesalahannya terpaksa diperiksa oleh pihak yang berwajib.

Malangnya, kes seperti ini selalunya menghadapi masalah kerana tiada sebarang dokumen untuk menyokong pernyataan tersebut.

Apabila ditanya tentang saksi, jawapannya ialah mereka tidak kenal sesiapa.

Kes seperti ini memberi impak yang besar terutama kepada kaum wanita yang mungkin ditinggalkan selepas itu. Masalah status anak turut menjadi isu kerana tiada sebarang dokumen untuk menyokong kelahiran dan proses pendaftaran anak tersebut.

Ramai juga dalam kalangan anak yang tidak mendapat hak kewarganegaraan di negara ini kerana masalah gagal mendaftarkan perkahwinan. Hak anak-anak terjejas dalam proses mendapatkan pengenalan diri dan bersekolah.

Ia membantutkan keupayaan anak-anak untuk mengembangkan potensi diri jika tidak mendapat pendidikan yang formal di sekolah. Di beberapa negara tertentu, hak anak-anak untuk mendapat pendidikan tetap diberikan walaupun mereka bukan warganegara supaya keupayaan mereka dapat diperdayakan.

Walaupun cinta tidak mengenal batasan, penting mengetahui tentang perlunya setiap upacara perkahwinan dilangsungkan mengikut prosedur perundangan.

Dokumen palsu

Masalah ini bukan mudah untuk diselesaikan kerana ia memerlukan proses pengsahihan dokumen.

Malah, ada juga dokumen yang dikemukakan palsu. Sudah tentu ia menjejaskan proses pendaftaran perkahwinan dan boleh menjadi semakin sulit jika pasangan tersebut sudah bercerai.

Saya juga pernah terbaca laporan kes melibatkan perkahwinan tidak didaftarkan secara majoritinya berakhir dengan perceraian.

Walaupun hasil dapatan ini agak relatif kepada keupayaan pasangan menguruskan rumah tangga masing-masing, pengurusan keluarga yang diasaskan atas dasar masalah juga berakhir dengan masalah.

Penting buat masyarakat Islam mempunyai ilmu dan maklumat supaya kehidupan tidak diasaskan kepada kejahilan dan nafsu semata-mata.

 

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Talian NUR 15999

Hubungi Talian Nur (15999) oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk kes penderaan, kes keganasan rumahtangga, kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain.

Halaman