Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 29/03/2015
Mengapakah perlu kita menjadi isteri penyayang dan bagaimanakah hendak menjadi isteri penyayang? Jom audit diri adakah kita memiliki ciri-ciri isteri/ibu yang penyayang? Wanita dikahwini kerana empat perkara. Pertama, kerana rupa parasnya. Kedua, kerana hartanya. Ketiga, kerana keturunannya. Keempat, kerana agamanya. Jika cukup empat perkara ini daripada seorang wanita, insya-Allah dapatlah lelaki atau suami itu seorang isteri yang baik dunia dan akhiratnya. Lelaki yang bijaksana akan menikahi wanita itu kerana kebaikannya; dari segi hati budi dan agamanya. Kebaikan hati budi seseorang itu datang dari hati/jiwa dan rohnya.
Yang membezakan mayat dengan manusia ialah roh. Mayat tidak ada roh tetapi seorang manusia/insan itu ada roh dan jiwanya. Apabila jiwa kita penuh dengan kasih sayang, wajah akan sentiasa tersenyum, dan orang sekeliling akan bahagia. Isteri penyayang itu mestilah seorang yang mampu menyejukkan mata suami memandang, dan menyejukkan hati suami mengenang.
Sebelum menjadi isteri, berkenalanlah dengan bakal suami dan keluarganya. Layanan kita sebagai bakal isteri, iaitu dari segi pertuturan, budi bahasa, adab perilaku kita dengan pasangan kita perlu dijaga dengan baik. Pastikan apa-apa yang kita buat kebaikan sebelum kita berkahwin itu berkekalan, malah menjadi semakin baik setelah kita berkahwin. Sebab apabila berkahwin, sebenarnya kita berkahwin dengan tiga orang. Pertama, kita berkahwin dengan orang yang kita sangka siapa dia. Kedua, selepas kita kahwin baru kita kenal siapa sebenar dia (negatif/positif). Ketiga, siapa dia jadi selepas berkahwin dengan kita. Sebelum kita berkahwin memang kita kena bersedia, mantapkan akidah, ibadah dan akhlak serta ekonomi kita. Kalau mantap keempat-empat perkara ini, insya-Allah sesudah berkahwin kita akan dapat apa yang kita idamkan, iaitu rumah tangga yang bahagia.
Banyak rumah tangga yang mengalami masalah dan keruntuhan, walaupun sudah mempunyai anak yang ramai. Keruntuhan rumah tangga berlaku kerana salah satu sebabnya, isteri suka menyalahkan suami atau orang lain (faktor yang luar daripada dirinya). Jika berlaku sesuatu dalam hidup kita yang tidak seperti kita harapkan, kita mesti lihat diri sendiri dahulu. Sebab apabila kita berubah barulah orang lain akan berubah.
Jika isteri kata suaminya kasar, suaminya ada perempuan lain, kita lihat kembali diri kita yang dahulu, ketika kita mula berkenalan dengan suami kita. Mengapakah dalam beribu orang manusia ini (ketika baru berkenalan dahulu/sebelum berkahwin dahulu), mengapa mata suami kita hanya nampak kita? Kita dipilih oleh suami kerana maknanya, kita ialah wanita istimewa dan terpilih di hatinya. Tetapi, mengapa selepas berkahwin keadaan dan perasaan suami berubah, kita tidak lagi menjadi pilihannya? Audit diri kita dahulu, baru kita tunjukkan punca kesalahan itu datang daripada suami.
Isteri penyayang kunci nombor satu kebahagiaan rumah tangga. Sebab isteri yang penyayang akan membahagiakan suami, akan membahagiakan anak-anak, mentua, dan ipar-duai. Jadi, kalau suami kita tidak seperti yang diharapkan, kita hendaklah terlebih dahulu melakukan perubahan. Sebab isteri penyayang, tentulah ibu yang penyayang, dan isteri/ibu penyayang akan mewujudkan suasana keluarga penyayang. Anak-anak yang dibesarkan oleh ibu yang penyayang akan bijak dan sihat.
Wanita yang penyayang ciri-cirinya; pertama, memek muka senyum. Kedua, lembut bicara dan bahasanya. Ketiga, bahasa badannya nampak tidak sombong dan bongkak serta sangat lemah lembut perilakunya. Keempat, intonasi percakapannya sangat menghormati orang dan menyenangkan hati orang. Keempat-empat ciri ini amat penting bagi mewujudkan komunikasi yang mesra dan ceria serta penuh tawaduk.
Komunikasi
Dalam perhubungan sosial manusia, komunikasi amat penting serta memberikan kesan dan impak yang besar. Komunikasi ada tiga situasi. Pertama, perkataannya atau ayatnya cuma 7 peratus. Cara kita bercakap 38 peratus. Tetapi, cara dan intonasi kita bercakap (fisiologi) 55 peratus. Sebab itu jika fisiologi kita penyayang, 55 peratus kita sudah menang, jika intonasi kita positif. Kalau suami asyik tengok isteri tidak memberangsangkannya; lemah, tidak bermaya dan tidak bersemangat dari segi fisiologinya, maka isteri akan terus lemah/negatif. Cara kita melihat dan emosi yang kita bawa ketika melihat seseorang akan menentukan tenaga seseorang. Tetapi, kalau suami memandang isteri penuh dengan inspirasi, pandangan positif suami terhadap isteri itu sahaja sudah mampu memberikan tenaga positif kepada isteri.
Pernahkah para suami berhadapan dengan situasi apabila di pejabat suami berasa ceria, bertenaga dan bersemangat. Tetapi, apabila balik dari kerja sampai di rumah, berasa lemah. Sebab situasi ini berlaku adalah kerana, pandangan isteri kepada suami yang tidak bermaya dan ceria, tidak merangsang semangat dan tenaga suami. Bayangkan jika suami balik, isteri menyambut suami dengan kasih sayang dan penuh keceriaan, suami juga akan berasa seronok untuk berada di rumah. Hal ini adalah kerana suami tahu ada orang yang menanti kepulangannya dan berasa kehadirannya sebagai suami, melengkapkan hidup isterinya dan membahagiakan isterinya.
Biasanya suami, apabila berada di luar rumah, dia dihormati, orang sekeliling sambut dan suka kehadirannya, dan mereka memandang tinggi kedudukannya. Sedangkan di rumah, isteri pandang rendah kepadanya, malah berasa tidak ada apa-apa makna pun kehadiran suaminya. Maka, kerana itu, suami tidak bahagia di rumah, dan dia juga tidak akan membahagiakan isterinya, kerana konsep ADA – BERI – DAPAT. Pandang pasangan kita dengan penuh kasih sayang dan menghargainya, barulah kita juga disayangi dan dihargai oleh pasangan kita. Kedua-dua suami dan isteri mesti memainkan peranan masing-masing dan tidak boleh menyalahkan. Beri sayang akan dapat sayang. Kita tidak akan dapat sayang, kalau tidak beri sayang, dan kita tidak boleh beri sayang kalau tidak ada sayang, (konsep ADA – BERI – DAPAT).
Untuk menjadi isteri penyayang, kita kena menyayangi diri sendiri dahulu. Kalau kita tidak boleh sayang diri kita, bermakna kita tidak kenal dan sayang Pencipta kita, Allah SWT. Para isteri, alangkah rugi kalau kita sibuk mencari kasih sayang suami, hingga kita tidak ada masa untuk mendapatkan kasih sayang Allah. Siapa yang mencari kasih sayang Allah, yakinlah akan dapat kasih sayang manusia. Jika kita fokus mencari kasih sayang manusia, kita akan tercicir daripada nikmat hidup akhirat. Ingatlah suatu hari nanti suami yang kita sayangi itu juga, akan kita tinggalkan atau suami kita itu yang akan tinggalkan kita, apabila kematian berlaku. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.
Prof. Dr. Muhaya Muhamad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan